 PETALING  JAYA: Cubaan pihak yang cuba mengaitkan tokoh utama pembangkang dengan  individu di dalam rakaman video seks yang ditayangkan kepada wartawan di  Hotel Seri Carcosa semalam dianggap sebagai permulaan bagi menghalalkan  kepada percaturan politik menjatuhkan maruah sekaligus menjatuhkan  musuh politik.
PETALING  JAYA: Cubaan pihak yang cuba mengaitkan tokoh utama pembangkang dengan  individu di dalam rakaman video seks yang ditayangkan kepada wartawan di  Hotel Seri Carcosa semalam dianggap sebagai permulaan bagi menghalalkan  kepada percaturan politik menjatuhkan maruah sekaligus menjatuhkan  musuh politik.
Ketika sesetengah pihak menganggap ia bukanlah sesuatu yang baru dalam arena politik negara, pihak lain pula berpendapat, walaupun ini bukan pertama kali berlaku tetapi ia merupakan petanda satu permulaan baru yang lebih buruk dan tidak terkawal dalam politik negara.
Penayangan video seks semalam juga  dianggap membawa dimensi baru kepada percaturan politik lebih  menjengkelkan dengan peningkatan berganda dan terbuka terhadap tindakan  berbalas serangan demi menjatuhkan maruah dan moral musuh politik  kedua-dua belah pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Sebelum  ini, Ahli Parlimen Labis, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dikatakan  'diperangkap' oleh musuh dalamannya sendiri apabila rakaman video  seksnya disebarkan kepada umum dan membawa kepada perletakkan semua  jawatannya dalam MCA dan juga kerajaan. 
Cuma bezanya, ketika  itu tiada media dipanggil untuk 'tayangan perdana' dan Soi Lek sendiri  membuat pengakuan bahawa lelaki di dalam rakaman video lucah terbabit  adalah beliau.
Selain Soi Lek, Elizabeth Wong dari Parti Keadilan  Rakyat (PKR) turut menerima nasib yang sama apabila foto beliau sedang  tidur yang diambil tanpa pengetahuannya di kediamannya sendiri tersebar  di internet.  
Selain isu yang mengaibkan maruah Adun Bukit  Lanjan itu, ketika itu beliau juga hampir berputus asa dengan niat untuk  mengundurkan diri daripada arena politik negara.
Tindakan berkepentingan politik
Bagi  pihak yang mahu percaya dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa tindakan  seperti ini merupakan tindakan demi kepentingan moral masyarakat dan  bukannya satu tindakan  berkepentingan politik merupakan sesuatu yang  bodoh pada masa ini.
Lebih-lebih lagi, pada hari yang sama juga  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru sahaja dibubarkan bagi  membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang ke 10 diadakan.
Pada  masa artikel ini ditulis indentiti 'host tayangan perdana' terbabit  yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk T semalam masih belum dikenal  pasti dan pemimpin Barisan Nasional (BN) pula tentunya menafikan  penglibatan mereka dalam pembikinan dan  penayangan video tersebut.
Jadi bahan kempen PRN Sarawak
Ketika  pemimpin BN menafikan penglibatan mereka dan pada masa sama mengaku  'tidak mempraktikkan' sebarang tindakan serangan peribadi yang   mengaibkan, juga adalah bodoh untuk mempercayai isu ini tidak akan  digunakan sekurang-kurangnya di peringkat jentera mereka dalam kempen  PRN Sarawak nanti.
Malahan ketika Pilihan Raya Kecil DUN Tenang  sebelum ini tindakan menyerang peribadi lawan turut dipraktikkan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri apabila membuka isu kes  liwat yang membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam  satu ceramahnya ketika berkempen.
Bagaimanapun, serangan  tersebut dibalas kembali secara umum dengan kejadian yang di dalam  pengetahuan Anwar ketika masih di dalam kabinet, namun enggan  memperincikan lebih mendalam tentang skandal yang dimaksudkannya  itu.   
Di pihak PR, meskipun turut mengambil kesempatan  keuntungan politik terhadap sebarang isu yang membabitkan moral pemimpin  BN, namun tindakan mereka seringkali dilapikkan sebagai demi  mendapatkan keadilan.
Antara kes berprofail tinggi yang pernah  mendapat perhatian masyarakat dan pemimpin pembangkang ialah kes  kematian model warganegara Mongolia, Altantuya Sharibu beberapa tahun  lalu.         
Ketika perbicaraan kes ini telah lama selesai,  ia tetap menjadi ingatan apabila dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK),  Polis DiRaja Malaysia yang didakwa oleh peguam bela mereka merupakan  pihak yang tidak menerima sebarang faedah atas kematian mendiang telah  dijatuhkan hukuman mati.
Sementara itu, beberapa isu lain yang  membabitkan moral pemimpin BN, pada   masa ini masih kurang tersebar  secara terbuka dan meluas melainkan secara terpencil di alam siber.
Bagaimanapun,  'tayangan perdana' rakaman video lucah semalam dikatakan mampu menjadi  penyebab kepada pendedahan demi pendedahan isu moral yang membabitkan  pemimpin BN walaupun status sesetengah isu tersebut masih diragui  kesahihannya. 
Tindakkan itu nanti juga akan menimbulkan reaksi  berbalas serangan dengan membuka pekung lawan masing-masing sekaligus  menjadikan politik Malaysia maju setapak lagi melangkah ke era politik  lucah.
* Free Malaysia Today
 
No comments:
Post a Comment