Thursday, March 31, 2011

Sukarnya urusan di Pejabat Tanah Sik

DAHULU saya hanya mendengar rintihan dan rungutan kawan-kawan yang berurusan dengan pejabat tanah di daerah mereka kerana memberikan perkhidmatan yang sangat lemah dan lembap. Akibatnya urusan yang hanya memerlukan beberapa hari sahaja untuk diselesaikan mengambil masa berbulan-bulan.

Kini saya sendiri yang berdepan dengan pelbagai kerenah kakitangan Pejabat Tanah Sik, Kedah, di Bahagian Teknikal berkaitan satu urusan yang perlu segera saya selesaikan.

Apa yang dapat saya jelaskan di sini ialah berdasarkan pemerhatian dan aduan daripada orang ramai yang berurusan dengan kakitangan Pejabat Tanah Sik, mereka tidak menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Contohnya waktu bekerja mereka masuk lewat dan keluar masuk sesuka hati. Sepatutnya waktu pejabat bermula pukul 8 pagi tetapi saya dapati mereka hanya masuk pada pukul 9 pagi. Lebih mengecewakan, setelah masuk beberapa minit, mereka keluar lagi untuk minum pagi.

Saya telah memperuntukkan waktu cuti sekolah baru-baru ini untuk menyelesaikan urusan saya memandangkan saya bertugas di Sarawak. Malangnya disebabkan pelbagai kerenah Bahagian Teknikal, urusan saya tidak dapat diselesaikan. Surat yang sepatutnya dikeluarkan tidak dapat dikeluarkan sehingga saya kembali semula ke Sarawak.

Saya memohon kerjasama pihak yang bertanggungjawab untuk turun memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan semua kakitangan di Pejabat Tanah Sik. Tolong pastikan mereka menjalankan tugas tanpa menyusahkan orang awam yang datang berurusan, terutamanya warga emas yang terpaksa datang berulang kali untuk bertemu dengan pegawai yang sering tidak ada di pejabat.

Nampaknya terbukti dengan jelas bahawa mutu perkhidmatan yang ada di kebanyakan Pejabat Tanah perlu diperbaiki dan dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab. Ini supaya kakitangan yang bekerja menjalankan tugas dengan penuh integriti.

INSAN PRIHATIN

Kedah@Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment