TARIAN POCO-POCO SECARA ASASNYA HARUS
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)
S.S Mufti Perak, Ybg Tan Sri Harussani telah mengharamkan tarian poco-poco atas asas ia berasal dari agama lain yang berunsur pemujaan ruh dan bercirikan agama Kristian. Pihak beliau mungkin ada alasan yang tersendiri. Namun, dengan menghormati hak Negeri Perak, S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, izinkan saya ingin memberikan pandangan mengenai hal ini. Ini kerana bimbang prinsip asas Islam disalahfahami oleh sesetengah pihak yang lain. Berikut perkara yang perlu difahami oleh kita;
i. Pada asasnya, semua urusan harian (daily life) dalam kehidupan manusia yang membabitkan persoalan keperluan atau kepentingan hidup insan adalah harus dilakukan KECUALI jika terdapat dalil yang jelas mengharamkan hal tersebut. Maka, segala bentuk senaman, tarian, makanan, perhiasan dan seumpamanya adalah harus atau dibolehkan melainkan ada bukti yang jelas dari nas syarak ia diharamkan, atau dimakruhkan.
Justeru itu, Nabi s.a.w tidak mengharamkan banyak budaya Arab yang memberikan faedah kepada insan secara langsung atau tidak langsung, antaranya; nyanyian dan gendang semasa perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari:
Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Nabi bersabda: “Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”. Hadis menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan hiburan yang menjadi amalan dalam sesuatu masyarakat.
- Gambar Hiasan
ii. Cumanya, jika ada unsur yang tidak baik, baginda Nabi s.a.w menegur atau menapisnya. Sebab itu apabila baginda Nabi s.a.w mendengar wanita menyanyi dengan lirik
“Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).
Ungkapan dalam lirik tersebut yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok adalah salah. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, Nabi s.a.w membetulkan lirik itu, tetapi tidaklah pula mengharamkan nyanyian atau lirik lain yang tidak bercanggah dengan akidah atau hakikat yang sebenar.
iii. Muslim hendaklah tahu tentang keluasan Islam dalam hal ini. Nabi s.a.w apabila mengizinkan hiburan pertunjukan permainan pedang dan lembing dalam masjid pada hariraya, baginda menegaskan:
Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam. Apatah lagi kita yang hidup dalam masyarakat yang serba rencam dan pelbagai cabaran ini.
iv. Atas asas ini, -pada pandangan saya- tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah. Jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah, atau dicampuri perbuatan yang salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik.
v. Jika tarian poco-poco diharamkan atas asas asal-usulnya yang tidak islamik, sekalipun yang mengamalkan tidak meniru atau beriktikad perkara yang salah, maka nanti akan membawa kesan diharamkan aktiviti lain yang mempunyai latar yang tidak Islamik juga seperti tai-chi, chi-kung, kata tae-kwondo dan pelbagai lagi.
vi. Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan.
No comments:
Post a Comment