Thursday, March 31, 2011

Kos dua kapal selam RM50 juta setahun

KUALA LUMPUR - Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya, kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.

Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam, beliau berkata, kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, dianugerahkan dan dilaksanakan syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd.

Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.

“Penyelenggaraan (setiap sebuah kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa.

“Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu) mengikut perjanjian yang dimeterai,” katanya

Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Februari tahun lepas.

Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Jan tahun lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar.

Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang seringkali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.

“Masalah teknikal yang dihadapi adalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment