Sunday, March 27, 2011

MIC perlu keluar BN jika rasa dikhianati dalam 100 halaman Interlok

Oleh H FANSURI

OLEH kerana berasa dikhianati, Uthaya Sankar SB bersama panelis MIC pun berundur daripada jawatankuasa khas yang membahaskan novel Interlok itu.

“Kami rasa dikhianati,” kata beliau ketika menjelaskan kedudukan sebenarnya selepas membentangkan cadangan mereka kepada Muhyiddin. Sebelum ini semua pihak sepakat menggugurkan perkataan ‘paria’ di dalam novel tersebut.

Sebenarnya, rasa diri dikhianati ini bukanlah milik Uthaya dan MIC sahaja. Umno dan Barisan Nasional pernah mengkhianati ramai orang termasuk parti politik berhaluan kiri di negara ini. Sejarah tidak boleh dipadamkan berhubung kes Tunku Abdul Rahman ‘menggulingkan’ Ketua Menteri Sarawak dan hal Tun Abdul Razak membuat helah dan tipu daya di Sabah. Ini antara deretan helah dan pengkhianatan. Novel Interlok tidak dedahkan helah Umno, BN ini.

Uthaya dan rakan-rakan panelnya dalam MIC mungkin baru hari ini terasa diri mereka dikhianati Muhyiddin, Umno dan BN. Rasa dikhianati itu hadir saat Uthaya dan MIC mengisytihar bahawa pendapat mereka selama ini berhubung isu Interlok adalah mewakili pendirian kaum India semua, lalu Muhyiddin menolak permintaan mereka tiba-tiba.

Jadi ketika ‘berjuang’ membela nasib dan maruah kaum India, mereka temui kegagalan dan jalan buntu kerana Muhyiddin tidak endahkan pindaan yang sudah babitkan kira-kira 100 halaman dalam novel berkenaan.

Uthaya kecewa. Dia layak kecewa. MIC juga berhak kecewa. Semua orang mesti kecewa setelah dikhianati. Justeru, ada baiknya MIC keluar BN saja. Jika tidak, perjuangan MIC sia-sia sahaja selama ini demi membela maruah, nasib kaum India gara-gara pindaan Interlok itu tidak diendahkan Muhyiddin.

Kalau cuma berani bertindak keluar daripada jawatankuasa tersebut, maka kata anak-anak muda zaman ini, “Apa barang keluar jawatankuasa itu?” Atau, “Kalau setakat berani keluar jawatankuasa Interlok itu, apa kes?” Dan bermacam lagilah kata-kata bertimba-timba dan bertindantindan penghinaan yang meremehkan perjuangan Uthaya dan MIC khasnya yang terkait dengan novel Interlok ini.

Najib Razak mungkin lemah berbanding Muhyiddin dalam isu Interlok? Uthaya dan MIC boleh cuba berjumpa Perdana Menteri Najib Razak atas nama semangat 1Malaysia. Kalau Najib bersetuju Bible Melayu diedarkan sebab ingin mengambil hati non Muslim di Sarawak, maka kenapa tidak MIC mengguna saluran Najib pula? Najib mungkin agak lemah berbanding Muhyiddin. Jika pertemuan dengan Najib pun tidak berhasil kerana kesibukannya, barulah MIC boleh membuat tindakan yang lebih revolusioner, iaitu keluar daripada BN. Jika tidak, itu bererti Uthaya dan MIC sudah mengkhianati perjuangan bangsa sendiri.

Kata Uthaya, sikap keluar jawatankuasa itu diambil setelah melihat panelis lain berubah fikiran kerana menolak kira-kira 100 pindaan yang mereka syor. Sebenarnya, ada banyak hal yang Uthaya, MIC boleh lakukan apabila Muhyiddin menolak 100 pindaan Interlok. Antaranya MIC juga boleh memanfaatkan Merdeka Center atau lain-lain badan penyelidikan untuk mengadakan referendum pungutan suara berhubung perkataan yang wujud di dalam Interlok itu. Selain itu, ada juga hal dibangkitkan Uthaya - wujud peribahasa India yang salah; ejaan ‘tali’ yang merujuk kepada ikatan perkahwinan masyarakat India dan penggunaan huruf ‘t’ besar bagi merujuk kepada Tuhan bukan Islam. Sukar diselami dan disukat perkara sensitif di hati MIC dan Uthaya kerana pendirian entiti Uthaya dan entiti MIC telah pun dinisbahkan sebagai pendirian kaum India semua. Ini pun suatu hal yang mesti dibincangkan juga.

“Kata mereka (semua penggunaan) itu tidak sensitif. Mana mereka tahu sensitif atau tidak? Kami masyarakat India, kami tahulah mana yang sensitif, mana yang tidak,” kata Uthaya dalam suatu laporan. Menurut Uthaya, dalam laporan sama, tindakan tarik diri daripada jawatankuasa itu bukan protes.

Tapi, atas semangat yang sama, kita ingin tanya, mana Uthaya tahu hal penarikan diri itu bukan protes atau tidak? Bagaimana jika masyarakat semua di negara ini menganggap tindakan itu adalah protes? Kami tahulah sebab kami pun pernah protes juga, baik di jalan raya atau pun lewat pilihan raya.

Soalan kepada Uthaya, adakah beliau benar-benar mewakili masyarakat India ketika berasakan sesuatu itu sensitif atau tidak? Atau, ini hanya pendirian Uthaya yang cuba dikembangkan dalam wadah MIC? Atau, ini hanya pendirian Uthaya seorang dan bukan mewakili pendirian kaum India seluruhnya?

Dalam suatu pertemuan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia pada awal Februari lalu, ada pertanyaan yang dilemparkan Dr Sohaimi Abdul Aziz kepada kumpulan politikus dan pensyarah India, “Dalam Interlok, termuat kata-kata yang menikam rasa kaum Cina termasuklah kaum Melayu juga. Kenapa Cina dan Melayu tidak melenting?”

Soalan ini dijawab dengan sepi dan senyum sahaja oleh kalangan politik dan pensyarah India. Sebab itu, kita mahu bertanya Uthaya juga, jangan-jangan ini hanya rasa sensitif anda seorang lalu dikembangkan dalam MIC lalu suara hati anda dikatakan sebagai mewakili rasa kaum India seluruhnya?

Akhir kata, kita tutup surat ini dengan pepatah Melayu, “Alangalang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan.” Mungkin ada pepatah Tamil yang sama makna dengannya, tetapi yang penting di sini, pepatah itu menganjurkan supaya - jika kita mahu berjuang, maka berjuanglah sehingga ke akhirnya. Jadi, alangalang tarik diri daripada jawatankuasa Interlok itu, maka MIC pun tariklah diri terus daripada BN kerana isu Interlok ini membabitkan maruah kaum India seluruhnya.

Kalaulah Uthaya boleh melobi MIC untuk memerangi Interlok, kenapa tidak melobi MIC agar keluar BN? Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan.

No comments:

Post a Comment