Rajagobal tetap optimis
MESKIPUN sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Taiwan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 malam tadi, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap optimis mengenai peluang skuad kebangsaan untuk mara ke pusingan kedua.
Menurut Rajagobal, kemenangan itu tetap dilihat sebagai satu kelebihan buat skuad Harimau Malaya kerana mereka bakal berkunjung ke tempat lawan bagi menghadapi aksi kedua pada Ahad ini.
“Menang tetap menang. Kita bukannya seri ataupun tewas kepada Taiwan. Jadi saya percaya ia mampu memberi kelebihan buat kami (skuad kebangsaan) apabila menghadapi Taiwan pada aksi kedua nanti.
“Biarpun kita beraksi di tempat lawan, kita perlu yakin bahawa kita masih mampu mencatat kemenangan. Jika pemain-pemain memiliki tahap keyakinan seperti itu, tidak mustahil kejayaan memihak kepada kita,” kata Rajagobal kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, dua jaringan masih-masing satu daripada kapten, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan tonggak pertahanan, Mohammad Aidil Zafuan Abdul Razak (ke-54) sudah cukup untuk memberi bekalan buat anak-anak buah Rajagobal sebelum berkunjung ke Taiwan.
Begitupun, kelekaan barisan pertahanan skuad kebangsaan dihukum apabila Chen Po Liang menjaringkan gol bagi merapatkan jurang buat Taiwan pada minit ke-75.
Kesilapan itu telah menghadirkan kebimbangan kepada Rajagobal yang tidak mahu ia berulang lagi ketika aksi kedua nanti.
“Kita tidak sepatutnya melepaskan gol mudah kepada Taiwan begitu sahaja. Apa yang saya dapat lihat ialah barisan pertahanan kita ‘tidur’ dan hilang tumpuan.
“Justeru, saya akan melakukan sesuatu bagi mengatasi kelemahan tersebut sebelum aksi kedua nanti,” jelas Rajagobal.
Sementara itu, jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yakin anak-anak buahnya akan kembali bangkit pada aksi kedua nanti.
Jelas Chih-Tsung, pasukan itu sebenarnya menampilkan corak permainan secara menyerang tetapi apabila beraksi di Malaysia, mereka perlu berhati-hati dan lebih banyak bertahan.
“Pada aksi kedua nanti, saya yakin kami akan kembali kepada corak permainan asal kami. Kami akan menerapkan corak permainan secara menyerang.
“Kami perlu mencari gol dalam usaha untuk mara ke pusingan kedua. Saya yakin kami masih memiliki peluang yang cerah untuk ke pusingan berikutnya,” jelas Chih-Tsung.
No comments:
Post a Comment