Tuesday, June 28, 2011

Tuntutan BERSIH nie hangpa tau ka apa dia sampai dok tentang sangat nie..??

Aku tidak suka demonstrasi. Panas! Kadang-kadang pedih mata percuma. Adakalanya penat dikejar ke sana ke mari. Hanya lokap dan pukulan cota sahaja yang aku belum rasai. Begitu juga dengan tumbukan padu dari Unit FRU. Paling hampir kelongsong gas pemedih mata melintas depan mata. Demonstrasi adalah antara pilihan terakhir bagi menyuarakan sesuatu bantahan atau tuntutan. Jika ada perundingan, sudah tentu itu lebih baik. Dalam kes-kes tertentu, biasanya perundingan dibuat acuh tak acuh sahaja. Lebih teruk, dibakul sampahkan sahaja. Lebih menyakitkan hati, di media bercakap lunak, hakikatnya memang sudah ada satu sikap yang mahu menolak perundingan.

Bersih 2 adalah kesinambungan Himpunan Bersih pada 10 November 2007. Pada ketika itu, Bersih mengemukakan 4 tuntutan iaitu:

1. Penghapusan Undi Pos
2. Pembersihan Daftar Pemilih
3. Akses Yang Adil Terhadap Media
4. Penggunaan Dakwat Hitam

Malangnya, kesemua tuntutan tersebut tidak mendapat respon yang baik. Penggunaan dakwat hitam bagi ditanda pada jari pengundi pula yang pada mulanya dilihat sudah diterima, akhirnya dibatalkan di saat menjelangnya PRU 12. Ini adalah sesuatu yang sangat-sangat dikesali oleh pihak Bersih. Bersih hanya membuat tuntutan ke arah pilihan raya yang lebih bersih dan lebih adil bagi parti-parti politik. Tuntutan yang sepatutnya dapat diterima oleh semua pihak. Supaya pertandingan berlangsung di atas padang yang sama rata, pengadil tidak berat sebelah. Itu sahaja.

Bersih 2 pula menambah beberapa tuntutan bagi penambahbaikan kepada perjalanan pilihan raya. Antara tuntutan tambahan tersebut adalah:

1. Masa berkempen minima 21 hari
2. Kukuhkan institusi awam
3. Hentikan rasuah
4. Hentikan politik kotor

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan sudah lebih 350 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak (dibaca UMNO dan Perkasa - UMNO juga!) bagi membantah perhimpunan Bersih 2. Dipercayai lebih banyak lakonan demi lakonan laporan polis dibuat bagi memberi gambaran buruk kepada rakyat mengenai Bersih 2. Sebagai salah seorang yang menyokong tuntutan Bersih 2, laporan-laporan polis tersebut sebenarnya langsung tidak memberi kegentaran kepada kami. Malah ianya tidak lebih kepada publisiti percuma kepada pihak Bersih 2. Makin ditekan, sebenarnya lantunan balas adalah semakin tinggi!

Di sini, aku suka mencadangkan satu tips kepada UMNO dan Perkasa yang dilihat gerun dan gentar dengan Himpunan Bersih 2. Bagi menggagalkan Himpunan Bersih 2 adalah dengan sama-sama mendesak pihak-pihak terbabit menunaikan tuntutan-tuntutan Bersih 2. Setelah tuntutan tersebut ditunaikan dan diterima, tiada lagi alasan untuk Bersih 2 berhimpun.

Wallahua'lam.
http://gajahmenta.blogspot.com

No comments:

Post a Comment