Wednesday, June 29, 2011

Wardina: Saya tak sertai parti politik, tiada niat tanding PRU

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Selebriti popular dan pengacara rancangan Malaysia Hari Ini, Wardina Safiyyah Fadlullah berkata buat masa ini beliau tidak ada niat untuk menjadi calon pilihan raya atau bertanding mana-mana pilihan raya.

“Buat masa ini, saya tidak ada niat untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya umum,” kata beliau yang sejak beberapa lalu dikaitkan dengan Parti Keadilan Rakyat dan Himpunan Bersih 2.0.

Selebriti itu menafikan beliau merupakan anggota PKR atau menyokong Himpunan Bersih 2.0.

Malah beliau juga menjadi kecaman blog-blog pro-Umno sejak dikaitkan dengan komponen Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun selepas menafikan tanggapan itu beliau pula menjadi kritikan blog yang berlainan aliran politik.

“Saya menyatakan di sini bahawa saya tidak menyokong mana-mana parti sama ada parti pembangkang atau pun kerajaan dan saya juga bukan ahli PKR,” katanya dipetik Utusan Malaysian hari ini.

Tulisan-tulisan blog dan mesej Twitter sejak awal minggu ini memberi gambaran beliau menyokong Himpuan Bersih 2.0 dan berada bersama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada satu majlis baru-baru ini.

Mesej Twitter yang dihantar atas akaun unitmediabaru menyebut “gambar Wardina Bersama Azmin Ali di Majlis Pakatan — TV3 Hanya Diam?: Kita tidak dengki dengan Wardina.”

Menyentuh tentang kehadirannya di Karnival Mesra Rakyat Sabtu lalu, Wardina berkata, beliau hadir sebagai jemputan untuk memberi ceramah motivasi keibubapaan.

“Oleh sebab itu saya hadir pada karnival tersebut tetapi saya tidak pun diberitahu Azmin Ali akan hadir sama.

“Apabila saya dijemput minum oleh penganjur, saya terkejut kerana Azmin Ali pun ada. Tak akan saya nak beredar,”
katanya lagi.

Wardina berkata tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya oleh penulis-penulis blog adalah satu perkara yang serius dan mengaibkan diri dan keluarganya.

Justeru katanya, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya artikel-artikel yang tersiar termasuk gambar-gambar lamanya di dalam blog, tidak dikeluarkan daripada blog berkenaan secepat mungkin. -TMI

No comments:

Post a Comment