Thursday, June 30, 2011

Jerai bakal jadi pusat buah


YAN - Jabatan Pertanian Kedah berhasrat menjadikan Parlimen Jerai pusat pengeluaran buah-buahan tempatan terkemuka di Kedah dalam tempoh masa terdekat.

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Mohd Muhaimin Ibrahim berkata, jabatan itu mengenal pasti lebih 400 hektar tanah terbiar di Parlimen Jerai yang dianggap berpotensi untuk dipulihara dan dimajukan dengan tanaman buah-buahan tempatan pelbagai jenis melalui program Projek Pemulihan Tanah Terbiar (PPTT).

Menurutnya, hasrat jabatan untuk membantu meningkatkan ekonomi lebih 2,200 petani buah-buahan tempatan sekitar Parlimen Jerai diperkukuhkan lagi dengan faktor muka bumi dan tanah kawasan itu yang terletak di kaki Gunung Jerai dan beriklim sederhana panas, sesuai untuk tanaman buah-buahan tempatan terkemuka seperti durian, rambutan dan manggis.

“Bermula tahun 2010, lebih 30 hektar tanah terbiar di kawasan Singkir Darat berjaya dikumpul pihak jabatan untuk diusahakan di bawah projek PPTT termasuklah tanah dusun yang mempunyai tanaman buah-buahan tempatan yang berusia lebih 30 tahun untuk dijalankan penanaman semula.

“Melalui program PPTT, setiap satu hektar tanah terbiar yang dimajukan jabatan akan diberi bantuan RM20,000 meliputi kos baja, pembersihan kawasan, pembelian benih tanaman dan infrastruktur kawasan dusun dan setakat ini, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha-pengusaha dusun tempatan,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di Program Membasmi Musuh Tanaman dan Taklimat Pertanian di Kampung Singkir Genting, di sini baru-baru ini.

Mohd Muhaimin berkata, pada tahun ini, jabatan merancang mengusahakan program PPTT di Tanjung Jaga, di sini di atas tanah terbiar seluas 70 hektar dan yakin mampu meningkatkan keluasan sehingga 200 hektar sekiranya lebih ramai pengusaha buah-buahan berminat menyertai program itu.

Menurutnya, daerah Yan menjadi pilihan jabatan dalam beberapa kategori buah-buahan untuk dimajukan dan dikomersialkan ke luar negara terutamanya durian, rambutan, manggis dan cempedak.

“Jabatan Pertanian akan memastikan lebih banyak buah-buahan tempatan keluaran Parlimen Jerai dikomersialkan ke peringkat luar negara sebagaimana saranan Kementerian Pertanian sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment