Tuesday, June 28, 2011

Mai dok bawa cerita Sidang DUN tergempar laa pulak...

MB perjelas Sidang DUN tergempar

ALOR SETAR - Awal pagi semalam, pihak media digemparkan dengan khabar angin kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah akan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar dan agenda utama adalah untuk membubarkan DUN.

Khabar angin yang bertiup kencang itu agak heboh apabila beberapa pemimpin dan wakil rakyat turut mendapat khabar yang sama, dan membuatkan ramai pihak tertanya-tanya ‘kenapa isu ini dibangkitkan secara tiba-tiba’, sedangkan tiada isu panas melanda Kedah buat masa ini.

Ketika persoalan itu diajukan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada 2.30 petang semalam, beliau yang pada mulanya agak terperanjat dengan khabar angin itu akhirnya ketawa kecil, sambil menyifatkan ianya fitnah semata-mata.

“Saya tak tahu apa-apa mengenai perkara itu, saya baru sahaja selesai menghadiri mesyuarat di pejabat. Siapa pula yang sebarkan khabar tidak betul ini,” katanya.

Azizan berkata, sepatutnya pihak media bertanya kepada pihak yang menyebarkan khabar angin itu, kerana ianya bukan daripada kenyataan rasmi Kerajaan Negeri.

“Saya malas nak layan khabar angin macam ini sebab ianya tidak betul,” katanya.

Bagaimana pun Azizan enggan membuat spekulasi berhubung penyebaran khabar angin itu sama ada sengaja diadakan oleh parti lawan atau sekadar dijadikan ‘bahan lawak’ oleh beberapa individu yang mahu mencetuskan kontroversi.

“Cukuplah penjelasan saya bahawa tidak ada Sidang DUN tergempar untuk bubar DUN Kedah, tak perlu saya ulas lebih lanjut dan perkara ini juga tak perlu diperbesarkan,” katanya.

Azizan tidak menolak kemungkinan isu itu sengaja dibangkitkan setelah Kerajaan Negeri berjaya menerbitkan buku penjelasan kejayaan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) seperti yang dinyatakan dalam buku, “Pencapaian Kedah Sejahtera’.

“Mungkin ada pihak yang panik bila lihat buku itu berjaya diedarkan pada rakyat, sehingga mereka ketandusan idea untuk calarkan imej Kerajaan Negeri dengan sebar perkara tidak benar,” katanya.

No comments:

Post a Comment