MUNGKIN rakan sebangsa saya akan 'murih' kepada saya kalau saya mengatakan orang Melayu berjiwa kecil, akal pendek dan berani tidak bertempat. Mungkin ada mengatakan saya 'mengacung' (merepek) kepada bangsa sendiri. Tidak... sebenarnya apa yang saya katakan ini adalah kebenaranya. Bangsa Melayu tidak berjiwa besar. Lebih tepat lagi orang, sebahagian orang Melayu.
Kalau semua bangsa ia melibatkan semua orang Melayu yang dikelas atau dikelompokkan Melayu dengan kritria atau identiti tertentu. Bukan bangsa yang berjiwa kecil tetapi orang. Sesuatu kelompok yang sudah sampai ke title bangsa harus berjiwa besar. Jiwa besar di sini ialah ada wibawa, ada semangat dan ada pertimbangan waras selari dengan pegangan dan amalan (akal budi) bangsa itu. Yang bergerak selari dengan gerakan alam berpaksikan kepada ajaran agamanya.
Bagaimana saya boleh mengatakan orang Melayu berjiwa kerdil, saya tujukan kepada orang Melayu yang bermain politik dalam negara ini. Yang merebut kuasa seperti ketam dalam bakul yang sanggup tindih menindah di antara satu sama lain. Orang-orang Melayu ini tidak ada wibawa, tidak cukup ilmu dan dia lebih berpadukan kepada nafsu dan melebihi kepentingan diri yang dia merasakan berhak.
Contoh terbaru untuk kita mengenali orang Melayu yang tidak berjiwa besar ialah mereka yang 'murih gila' kepada Ambiga Seerevesanan (foto). Seorang perempuan India beragama Hindu. Puak orang Melayu ini merasakan dia hebat, dialah pejuang dan dialah pembela apabila dia murih gila kepada Ambiga. Kenapa tidak, pada ukuran kepalanya dia sudah berjaya membakar gambar Ambiga. Dia sudah berjaya meluahkan perasaan marah dengan mencaci maki Ambiga. Hantar SMS ancam untuk bunuh Ambiga.
Kepada saya kerja-kerja seperti itu adalah kerja orang berjiwa kecil. Orang yang pandai menyalak tetapi tidak pandai menggongong. Salak satu hal ..gonggong satu hal. Orang yang bermain dengan api tetapi tidak tahu mengawal api adalah orang yang berjiwa kecil. Orang hanya boleh membakar dan menggugut tetapi orang yang tidak tahu dan berani membunuh!
Orang berjiwa kecil suka melakukan sesuatu mengikut perasaan. Suka menghebuhkan sesuatu yang tidak memberi apa-apa kesan dan bekas pun. Suka membuat geger untuk menarik perhatian haiwan bagi menunjukkan dialah kuat dan raja konon. Tenguk apa jadi dengan Ambiga sekarang ini. Makin dibakar gambarnya dia jadi makin popular. Jawaban yang diberikannya menunjukkan kredibiliti dan ketinggi akalnya. Kebesaran jiwanya. Dia tidak pedulilah apa yang dilemparkan kepadanya. Kehebatan Ambiga ini akan mengatasi kehebatan tokoh-tokoh India lain yang sudah mempariakan diri mereka lebih awal.
Apabila di adiancam untuk dibunuh dia jadi semakin hebat. Taraf Ambiga hari ini sama dengan Anwar Ibrahim atau dengan Dr Mahathir Mohamad. Saat kehebatan Mahathir dan saat orang membencinya ada orang yang meluahkan kemarahan untuk membunuh Mahathir. Tidak musathil untuk di masa depan Ambiga akan jadi seorang serikandi India nombor wahid di negara ini. India yang berjiwa besar dan tidak suka kepada todi dan mabuk akan menerima Ambiga. Ambiga lebih hebat dari Samy Vellu jauh lebih hebat dari Nalakarupan ataupun Gobalakrisha.
Oang Melayu yang berjiwa kecil dan pengecut boleh melawan Ambiga dengan cara itu saja. Ugut, asak dan melemparkan kebencian dalam pelbagai prosa atau nyanyian. Kata huduh kepadanya dan bangkitkan asal usulnya. Kemarahan dan kebencian begitu adalah retorik bagi saya tanpa memberi apa-apa kesanpun.
Demi membangkitkan kebencian maka diungkitkan segala macam aktiviti Ambiga. Penglibatannya dengan pelbagai forum yang menyinggung hati orang Melayu berjiwa kecil. Dia membela kes Azlina Jailani @ Lina Joy yang memohon untuk murtad, dia menjadi pejuang Suruhanyaya Antara Agama, (IFC) mengadakan forum dan seminar mencabar Islam dan sebagainya lagi.
Kalau diperhatikan segala aktiviti Ambiga itu menurut perlembagaan. Dia berbuat sesuatu kerana ada ruang dalam perlebagaan. Dia tidak maki orang tidak tentu fasal. Tidak ngangga mulut macam beruk jantan tanpa usul periksa. Mulut Ambiga bukan mulut yang tidak ada ensel macam Ibrahim Ali. Dia mencari kemenangan menerusi undang-unang. Dia berjuang dengan akal tetapi bukan dengan mulut yang cabul seperti meriam bulu.
Sudah lama saya melihat perkara ini, mengenai situasi orang-orang Melayu berjiwa kecil tetapi cuba mahu jadi Melayu berjiwa besar. Orang Melayu berjiwa kecil asal marah tidak berkenaan mereka menggunakan status mereka yang sudah tidak laku itu, iaitu Bumiputera. Mereka akan cuba mendaulatkan diri mereka sebagai peribumi, sebagai orang asal. Walhal semua itu sudah basi dan sudah relai direlaikan sendiri oleh pemimpin mereka yang juga berjiwa kecil.
Mana-mana bangsa di dunia ini tidak dapat mempertahankan hak mereka dengan keberanian dan kekuatan fizikal lagi, kecuali kalau mereka ada kekuatan dan keberanian menggunakan akal.
Kalau benar orang Melayu berjiwa kecil ini mahu melawan aktiviti Ambiga atau mereka yang bersekutu dan sewaktu dengannya, gunalah akal. Guna ruang dalam perlembagaan. Bukan dengan memaki hamun. Berperanglah dengan menggunakan ilmu. Tektik dan serangan maki hamu dan kuno seperti bakar gambar, ugut itu sudah usang dan lapok tidak relevan lagi di zaman serba canggih dan langit terbuka ini.
Zaman ini semua orang sudah cerdik, sudah pintar dan tahu memintal. Bila orang sudah cerdik orang akan mengambil undang-undang dan hak diri sendiri untuk membela dan melawannya. Mereka akan cari mana-mana ruang dan kesempatan yang ada untuk membela diri mereka. Mana-mana lubong yang tiris disebabkan kealpaan satu pihak akan dimasuki. Mula mereka akan cocok kelingking, kemudian ibu jari kemudian tangan dan seterusnya kepala. Makanya untuk memastikan kelingking tidak masuk, maka tutuplah segala lubang dan rapatkan segala yang renggang. Itu tindakan berakal.
Jadi apa yang dibuat oleh Ambiga selama ini ialah kerana mencari ruang kebenaran dalam perlembagaan itu. Mereka juga jadi lebih kuat dan selamat kerana perbuatan mereka adalah mengikut rentak dunia. Dan kelemahan orang berjiwa kecil ialah hari-hari menempa lubang dan membekahkan kerenggangan kepada orang lain.
Hoi... Melayu yang berjiwa kecil, peperangan menggunakan senjata sudah lama berakhir. Kekuatan fizikal dan keluasan nganggaan mulut, sudah tidak boleh dipakai lagi di zaman ini. Keris, tombok, golok, parang, lawi ayam dan lain-lain sudah lama tersangkut di dinding, reput di Muzium. Kalau pun ia sesekali di gunakan hanya oleh penyamun dan penyangat jalanan saja yang selalu membuli orang atau memecah masuk rumah tidak bertuan.
Kalau zaman dulu ya lah. Dulu sesiapa yang kuat fizikal, sasa, pandai bertikam dan menikam dari belakang maka dialah hero. Bahkan kalau pandai berpantun dan berseloka pun akan diambil sebagai orang istana. Pandai membelit dan mnenipu juga akan diangkat menjadi panglima dan hulubalang. Akan dinobat sebagai pahlawan yang akan diraikan sultan dengan tarian dan makan dan pesedekahan gundik. Tetapi hari ini sudah habis. Raja-raja Melayu kita pun tidak lihat lagi kepada kekuatan itu sebab itulah ada mereka yang dianugerahkan Dato' tidak diketahui apakah jasa dan bakti mereka kepada nusa dan bangsa. Datuk beli pun ada.
Sebenarnya Melayu yang berjiwa kecil ini tidak mengikut peredaran zaman. Dia masih bernostalgia dan suka membaca wasiat pesaka daripada datuk neneknya yang ditulis tangan dengan tulisan jawi dan diselit dalam baju kot lama yang tergantung ditiang seri rumah tradisi. Sebahagian wasiat itu sudah carik dan dimakan lipas dan dikencing dek tikus.
Sedarilah orang Melayu berjiwa kecil. Kalaulah corak perjuangan seperti yang anda lakukan hari ini akan menghina diri anda sendiri. Dalam dunia membuat pendekatan (konsesus) dengan perundingan, perdebatan, hujah dan fakta, anda tidak akan menang. Sebab didalam mahkamah mana-mana pun kekuatan fizikal, keluasan mulut memaki hamun orang tidak akan diterima.
Begitu juga dari kalangan orang-orang yang soleh, yang berpegang kepada agama dan adat budaya bangsanya. Mereka juga akan menolak kelakuan atau tindakan persis beruk lapar atau musang beranak. Mereka yang ada akal budi akan menggunakan akal untuk menilai dan memutuskan sesuatu.
Jadi apa yang baiknya orang yang tidak berjiwa besar, berhentilah menunjuk 'gedebe' yang tidak mahu dibeli orang. Berhentilah melawan orang dengan memaki hamun dan ugut bunuh. Kembalilah kamu semua ke sekolah alam dan akhir semula. Belajar membaca abjab dan angka ilmu hidup dan ilmu mati. Nescaya kalau kamu belajar ilmu hidup dan ilmu mati kamu akan menjadi sebahagian orang yang pandai membaca dan mengira yang akhirnya akan bertawa kepada Allah.
Memang benar Allah s.w.t. menyuruh kita membela hak kita tetapi kalau teknik pembelaan kita itu menyalahi adat dan keadaan semasa, kita bukan tidak terbela, tetapi kita juga akan terbunuh oleh diri kita sendiri. Seperti mana kita diajar bertahrah... tetapi kalau tidak kena gaya jubur kita bukan bersih dan suci tetapi akan berdening (belengah) dengan taik. [wm.kl.8:27 am 24/06/11]
Mohd Sayuti Omar,
No comments:
Post a Comment