Dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa BERSIH 2.0 membuat tuntutan 'pelik' mendapat reaksi yang sama daripada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
"Apa yang pelik?" soal Mohamad kembali ketika diminta memberikan komennya terhadap kenyataan Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof itu.
Diterangkan pemberita tentang hujah-hujah SPR, Mohamad yang terkenal dengan kelucuannya ketika berceramah menjawab:
"Pernah tengok (filem) Musang Berjanggut? (Ada dialog) undang-undang ini kita yang bikin. Kita hendak tukar pun boleh."
Jawapan itu ternyata mengundang gelak ketawa wartawan yang hadir.
Abd Aziz pada 27 Jun lalu menyifatkan lapan tuntutan BERSIH sebagai 'pelik' kerana empat daripadanya bukan dalam bidang kuasa SPR - satu melibatkan pindaan perlembagaan dan tiga lagi antara usaha penambahbaikan yang sering dilakukan suruhanjaya itu.
Peringkat akhir saman kerajaan
Bercakap dalam sidang media selepas berceramah di Shah Alam malam tadi, Mohamad juga berkata, walaupun terdapat tuntutan di luar bidang SPR, suruhanjaya itu boleh memohon bantuan daripada badan kerajaan yang lain termasuk yang berbentuk kewangan.
"(Jadi) tiada masalah. Tiada yang pelik," kata Mohamad.
Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, antara tuntutan BERSIH, seperti penggunaan dakwat kekal selepas mengundi sudah menjadi amalan di peringkat antarabangsa, termasuk di Mesir baru-baru ini.
Lapan tuntutan BERSIH antaranya desakan supaya membersihkan senarai pengundi, memperbaharui sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, akses media yang adil dan telus dan memperkukuhkan institusi awam.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, dewan itu kini dalam peringkat akhir menyaman kerajaan yang didakwa membuat tangkapan secara salah, antaranya melibatkan penjual dan pemakai baju BERSIH.
Katanya, tindakan itu dijangka dibuat sebelum perhimpunan besar 9 Julai ini.
"Penangkapan ini tidak sah. Kita lihat mereka yang ditangkap antaranya yang memakai baju kuning dan baju BERSIH," katanya yang turut memakai baju kuning BERSIH pada masa itu.
No comments:
Post a Comment