KUALA LUMPUR - Tindakan polis memanggil Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said untuk memberi keterangan berhubung Himpunan Bersih 9 Julai ini, merupakan satu bentuk intimidasi dan bertujuan menakutkan rakyat. Peguam yang mewakili beliau, Fadiah Nadwa Fitri berkata demikian mengulas tindakan polis menyoal siasat Pak Samad berhubung kehadirannya pada pelancaran Bersih 2.0, 19 Jun lalu.
Menurut Fadiah, pada majlis tersebut A Samad Said atau lebih mesra dengan panggilan pak samad antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul Unggun Bersih.
“Soal siasat ini tidak bersebab dan bukanlah sesuatu yang munasabah. Tiada apa kesalahan yang dilakukan pak Samad selain daripada menyokong gerakan untuk sistem pilihan raya yang telus dan adil”
“Ini jelas menunjukkan polis telah menyalah gunakan kuasa untuk mengekang gerakan ini dengan taktik berniat jahat dan intimidasi,” jelas Fadiah kepada Keadilandaily.com.
Fadiah yang mewakili pertubuhan Lawyers For Liberty juga berkata, beliau kesal kerana banyak tangkapan dilakukan polis ke atas orang awam kerana memakai T Shirt Bersih, yang bukan merupakan satu kesalahan jenayah.
“Ianya sama seperti memakai baju kuning. Adakah ianya juga menjadi satu kesalahan? Mereka bukannya mengancam keselamatan dan membuat huru-hara,” ujar beliau.
A Samad Said akan hadir di ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada jam 2.30 petang ini untuk memberi keterangan.
Turut dipanggil Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan yang diwakili oleh peguamnya, Pura Valen.
No comments:
Post a Comment