Sunday, June 26, 2011

Mesra Bersama Komuniti

JITRA - Bagi mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan persekitaran bersih dan rakyat sihat, satu program Mesra Bersama Komuniti sempena kempen pengosongan tangki septik individu diadakan di Taman Rasa Sayang di sini, semalam.

Program anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kubang Pasu itu berjaya menarik kira-kira 2,000 penduduk setempat dan kawasan sekitar mengikuti kempen terbabit.

Pengurus Wilayah Utara IWK, Din Sariaat berkata, pengosongan tangki septik secara berkala perlu dilakukan bagi memastikan tangki itu sentiasa dapat beroperasi dengan efisien sekali gus tidak mencemarkan alam sekitar dan perairan.

Menurutnya, sekurang-kurangnya perkhidmatan pengosongan tangki septik harus dilakukan secara berkala dalam tempoh dua tahun sekali.

“Bayangkan jika pemilik rumah membiarkan tangki septik tanpa disedut mengikut jadual berkala yang ditetapkan, sudah pasti ia akan melimpah seterusnya mencemarkan alam sekitar dan kawasan paling dekat dengan kita ialah sistem saliran longkang dan sungai,” katanya kepada Sinar Harian selepas perasmian kempen itu, semalam.

Sebanyak 150,000 tangki septik di Kedah iaitu lebih 12,000 tangki septik yang terdapat di daerah Kubang Pasu.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan lori-lori pengosongan tangki septik bagi memudahkan penduduk di taman sekitar untuk mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki terbabit.

Menurutnya, IWK sebagai operator perkhidmatan pembetungan bersedia menggalas tanggungjawab mengosongkan tangki-tangki septik berkenaan.

Beliau berkata, kegagalan mengosongkan tangki septik boleh membawa kepada pencemaran yang berpunca dari air sisa kumbahan tidak terawat dan ia menimbulkan pelbagai penyakit bawaan air seperti taun dan Hepatitis A.

Menurutnya, tiada sebarang bayaran dikenakan sewaktu pengosongan tangki dilakukan sebaliknya bil pembetungan hanya akan dihantar ke rumah-rumah setiap enam bulan sekali dengan caj sebanyak RM6 sebulan.

“Kita akan meneruskan kempen seperti ini secara berperingkat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pengosongan tangki septik mengikut jadual berkala yang ditetapkan,” katanya.

Cegah lebih baik daripada mengubati...

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Rasa Sayang, Kamaruzzaman Bakar berkata, program yang dijalankan disambut baik seluruh penduduk taman ini dan sekitarnya.

Menurutnya, walaupun pengosongan tangki septik itu penting namun kefahaman masyarakat masih kurang, jadi melalui kempen sebegini ia dapat membantu meningkatkan pengetahuan terhadap kepentingan pengosongan tangki berkenaan.

“Mencegah lebih baik dari mengubati, itu ungkapan yang harus digunakan oleh anggota masyarakat mengenai peranan dalam mengosongkan tangki septik individu,” katanya.

No comments:

Post a Comment