Monday, June 27, 2011

Wahai Refree.. Ini salah satu yang BERSIH mintak..!!

Larang BN kempen guna media jika PR tidak boleh

ALOR SETAR - Pas kawasan Alor Setar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang Barisan Nasional (BN) berkempen menggunakan media bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berterusan tidak dibenarkan menyampaikan mesej parti menerusi saluran itu.

Setiausahanya, Adnan Saad berkata, tuntutan itu akan disampaikan melalui perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2 yang akan diadakan 9 Julai ini bagi memastikan SPR buka mata dan menyedari media di negara ini dikongkong sepenuhnya Kerajaan Pusat.

Menurutnya, SPR perlu mencontohi proses pilihan raya umum yang dijalankan di Turki baru-baru ini apabila media bersifat telus dengan membenarkan setiap parti berkempen melalui televisyen, radio dan media cetak, sekali gus memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan terbaik.

“Kebebasan media untuk menyiarkan laporan berita adil amat diperlukan bagi mengelakkan rakyat terkeliru dengan konsep perjuangan PR di samping memberi ruang mereka menyuarakan pandangan berhubung pelaksanaan kerajaan adil dan saksama.

“Jika kita lihat sewaktu pilihan raya kecil (PRK), calon PR terpaksa berceramah ke segenap pelosok kampung untuk berkempen tetapi calon BN diberi ruang seluas-luasnya berkempen melalui media. Saya fikir SPR sudah menafikan hak pengundi untuk mengetahui manifesto calon kedua-dua pihak kerana PR dilarang berkempen melalui media,” katanya sewaktu berucap di Kompleks Sri Burhanuddin al-Helmy, Alor Mengkudu, di sini Khamis lalu.

Adnan berkata, Pas Alor Setar turut menuntut SPR meneliti semula bilangan daftar pengundi baru yang dilaksanakan BN di Kedah kerana bimbang senario yang berlaku terhadap Kerajaan Negeri Pas di Terengganu pada PRU ke-11 berulang kembali.

Katanya, maklumat peningkatan bilangan pertambahan pengundi 20,000 orang bagi suku tahun pertama 2011 amat meresahkan Pas Kedah kerana angka itu ternyata melebihi kadar pertambahan standard empat hingga tujuh peratus bagi tempoh itu.

“Pas minta SPR banteras sebarang penipuan dalam pendaftaran pemilih baru termasuk pelaksanaan ‘Projek IC’ yang dikatakan menular di Selangor dan Kedah,” katanya.

Menurutnya, Pas Alor Setar perlu berusaha keras mendekati pengundi mulai sekarang kerana persiapan yang teliti akan membuahkan hasil lumayan.

No comments:

Post a Comment