Manusia terbina daripada unsur jasad dan roh di mana pemakanan adalah untuk memenuhi keperluan unsur jasad, sedang berpuasa yakni berlapar bertujuan memenuhi hak unsur roh, demikian menurut Mudir Darul Hadis, Ustaz Muhd Zainal Asri Romli.
Oleh itu tegasnya, dalam menjalani ibadah puasa, kita disarankan makan tidak terlalu kenyang kerana bahagian tidak kenyang itu menjadi bahagian atau makanan untuk roh selain memberi keadilan dan tidak menzalimi unsur roh.
Malah, makan terlalu kenyang juga bermakna menuruti hawa nafsu yang menyanggahi hikmah disyariatkan berpuasa Ramadan sekaligus melemahkan roh.
Jelas beliau, roh yang lemah akan menyebabkan rasa sukar untuk melaksanakan ibadah-ibadah sepanjang Ramadhan.
Sedangkan katanya, ibadah Ramadhan yang dilakukan dengan penuh mengharap keampunan Allah, Dia telah menjanjikan keampunan untuk dosa terdahulu dan akan datang.
Maka ujar beliau, rugilah sekiranya roh tidak mampu melaksanakan ibadah tersebut kerana roh adalah seumpama enjin yang memberi kekuatan untuk menggerakkan ibadah.
Terangnya lagi, lawan kepada roh adalah nafsu dan nafsu boleh dilemahkan dengan mengurangkan makan.
Tetapi katanya, sering berlaku perbelanjaan melebihi kebiasaan untuk makanan walaupun sepatutnya di bulan puasa manusia kurang makan.
“Ini kerana mereka buat jamak takhir. Himpun sarapan pagi, himpun makan tengahari dan petang. Bila hendak makan tak habis, kemudian buang, membazir,” sindirnya.
Ustaz Zainal turut menegaskan bahawa puasa sepenarnya akan menjadikan manusia lebih kuat dan menolak tanggapan bahawa puasa itu melemahkan.
Bahkan menurutnya, kekuatan puasa juga terletak pada niat di mana ia meneutralkan peranan hempedu yang menyebabkan asid di dalam perut hingga menimbulkan gejala penyakit seperti gastrik dan seumpamanya.
Demikian itu, puasa yang sebenar-benarnya yakni puasa seluruh anggota akan melahirkan perasaan takwa pada diri manusia.
Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ustaz Abd Ghani Ahmad pula berkata, kehadiran Ramadhan yang disambut dengan gembira dan tawaduk untuk melaksanakan perintah Allah akan menghilangkan perasaan ghaflah atau ragu.
Sedangkan perasaan sedemikianlah membawa manusia kepada perbuatan yang akan merosakkan puasa seperti mengunjungi premis menjual makanan di siang hari dan pusat-pusat hiburan.
Demikian itu katanya, iman di dalam diri akan memberi jawapan terhadap kesediaan dan penantian diri untuk berada di dalam bulan Ramadan.
No comments:
Post a Comment