Tuesday, August 16, 2011

Permohonan baru industri walit lebih ketat

http://utusan.com.my/pix/2008/0613/utusan_malaysia/sains_&_teknologi/st_01.1.jpg

ALOR SETAR - Permohonan baru untuk mengusahakan projek burung walit perlu memenuhi beberapa syarat atau prosedur tambahan bagi mengelak masalah berbangkit.



Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, langkah itu perlu kerana sebelum ini ia banyak menimbulkan masalah kepada orang ramai.



Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sudah menyiapkan garis panduan yang perlu dipatuhi pengusaha manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang merangka undang-undang kecil mengenai industri itu untuk tujuan penyelarasan dan penyeragaman. “Antara syarat dalam garis panduan itu ialah pengusaha perlu mengemukakan pelan bangunan untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), mendaftar dan mengikuti kursus anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta membina premis di kawasan perindustrian atau pertanian sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.



Menurutnya, maklumat lengkap mengenai garis panduan itu akan dimaklumkan kepada orang ramai sedikit masa lagi.



Beliau berkata, setiap pengusaha burung walit yang mendaftar perlu mengikuti kursus anjuran JPV untuk melayakkan mereka mendapatkan permit bagi membolehkan mereka melaksanakan projek itu.



“Melalui pengezonan premis, kami percaya akan dapat mengatasi masalah pencemaran bunyi burung yang mengganggu ketenteraman penduduk yang tinggal berdekatan,” katanya.



Selain itu, Kerajaan Negeri melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan pengusaha yang sedang melaksanakan projek itu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.



“Kami memberi tempoh sehingga Jun tahun depan untuk mereka memohon kebenaran daripada PBT dan JPV mendapat lesen. Untuk itu, lesen sementara dikeluarkan bagi membolehkan mereka beroperasi dan dalam masa sama berusaha memenuhi syarat yang dikehendaki,” katanya.



http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9435095.asp

No comments:

Post a Comment