Tuesday, October 11, 2011

Azizan - Projek pembangunan negeri gerak lancar

ALOR SETAR - Kesemua projek pembangunan negeri berjalan lancar, terutama dalam sektor pendidikan dan pertanian.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, berdasarkan laporan yang dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan negeri baru-baru ini, ia mengesahkan tiada projek yang terbengkalai dan kemajuan mengikut jadual.

“Jawatankuasa ini ditugaskan untuk memantau kemajuan projek yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri, yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lapan bulan ini. Kita juga mengkaji sejauh mana pencapaian dan kelemahan dalam mana-mana projek yang sedang berjalan,” katanya.

Menurutnya, pengumuman ini dibuat bukan untuk meraih undi mahupun sebagai kempen pilihan raya, sebaliknya rakyat berhak tahu apa yang sedang dirancang oleh Kerajaan Negeri.

“Ini tanggung jawab Kerajaan Negeri untuk penuhi kehendak rakyat. Ingin saya tegaskan, setiap sen yang dibelanjakan akan sampai kepada sasaran, kita tak akan salah guna untuk kegunaan lain. Namun saya akur kita hanya mampu merancang untuk yang terbaik, berjaya atau tidak, itu perkara kedua,” katanya.

Azizan berkata, antara kemajuan yang berjalan rancak ialah projek pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang kini mencecah 37 peratus.

“Projek bernilai RM330 juta ini dijangka siap mengikut jadual iaitu akhir tahun depan. Saya yakin sesi pengajian dapat dimulakan pada tahun 2013. Malah saya percaya dengan adanya kampus ini, Kuala Ketil kelak akan menjadi bandar satelit,” katanya.

Menurutnya, untuk membangunkan projek itu, Kedah tidak membuat sebarang pinjaman kepada Kementerian Pengajian Tinggi atau Kerajaan Pusat sebaliknya menggunakan dana sedia ada selain mendapat pinjaman daripada institusi perbankan.

“Kemajuan Sekolah Tahfiz Sains yang kini dalam pembinaan di Pulau Tuba juga amat memberangsangkan. Saya yakin ia kelak dapat melonjak Kedah sebagai pusat ilmu sama ada di peringkat rendah mahupun tertinggi,” katanya.

Mengulas sektor pertanian yang kini menjadi fokus utama Kedah, Azizan berkata, pihaknya yakin Kedah akan muncul sebagai pengeluar nenas terbesar negara menjelang 2015.

“Buat masa ini Kedah berada pada kedudukan kedua selepas Johor. Malah kita turut membuat persediaan awal dengan menubuhkan kilang memproses sumber asas tani seperti rambutan dan nenas di Sungai Petani,” katanya.

Azizan berkata, pada masa akan datang, kesemua sumber asas tani yang berpotensi akan dimajukan secara komprehensif, bermula dari buah hingga ke pokoknya.

“Perancangan kita sekarang adalah memproses rambutan dan nenas, menghasilkan kiub buah, jem, jus, makanan ternakan dan hinggalah kepada baju barung berkualiti tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment