Saturday, October 8, 2011

MBAS sedia khidmat talian

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mempraktikkan kecanggihan teknologi bagi memudahkan pelanggannya menjalankan pelbagai urusan.

Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, langkah yang dilaksanakan itu bagi menyahut seruan kerajaan menginovasi cara perhubungan dengan orang awam.

Menurutnya, segala urusan semakan cukai pintu, sewaan, lesen dan kompaun kini boleh disemak tanpa perlu datang ke kaunter atau pejabat.

“Sambil berehat di rumah, orang ramai kini boleh menyemak penyata dengan melayari laman sesawang MBAS, iaitu www.mbas.gov.my.

“Orang awam boleh membuat kemas kini dengan menggunakan kad pengenalan baru dan sekiranya belum membuat kemas kini kad pengenalan baru, mereka boleh menghubungi bahagian teknologi maklumat,” katanya.

Mat Noh berkata, selain membuat semakan, orang awam juga boleh melihat maklumat bayaran semasa dan nilai tunggakan yang perlu dibayar.

Menurutnya, satu lagi kemudahan yang disediakan oleh MBAS adalah dengan menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Perkhidmatan SMS yang disediakan ini membolehkan pelanggan membuat semakan bayaran cukai pintu, sewaan, tarikh tamat tempoh lesen dan pelbagai maklumat yang akan dipromosikan dari semasa ke semasa.

“Gerbang SMS yang disediakan ini amat mudah dan ringkas, orang awam yang ingin mendapatkan maklumat perlu menghantar ke 15888.

“Hanya satu nombor yang disediakan bagi memudahkan orang awam mengingatnya berbanding sebelum ini, agensi Kerajaan menyediakan pelbagai nombor berbeza yang mengelirukan,” katanya.

Mat Noh berkata, kedua-dua kemudahan yang disediakan itu sememangnya memudahkan orang ramai berurusan dengan MBAS.[Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment