Lokasi tak sesuai

SUNGAI PETANI – Kira-kira 500 penduduk dari Bandar Puteri Jaya, Bandar Utama, Bandar Sri Astana dan Bandar Perdana membuat perhimpunan membantah pembinaan kuil yang didakwa akan dibina di sebuah kawasan lapang yang menghubungkan kesemua bandar tersebut.

Pengerusi Badan Bertindak Membantah Pembinaan Kuil, Mohd Sattar Mohd Saad berkata, bantahan yang diadakan selepas sembahyang Jumaat itu, merangkumi suara majoriti penduduk yang meliputi 70 peratus adalah Melayu dan beragama Islam.

Menurutnya, perhimpunan aman dilakukan bagi menyuarakan hasrat penduduk yang tidak mahu pembinaan kuil didirikan di kawasan tersebut memandangkan kawasan cadangan pembinaan kuil dikelilingi orang Melayu.

“Kawasan tanah lapang ini sebenarnya milik pekerja estet yang dipindahkan sebaik sahaja tanah asal mereka diambil pemaju untuk membangunkan projek perumahan.

“Saya bersama beberapa pemimpin tempatan juga telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mendapati tiada permohonan mendirikan kuil dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Bandar Puteri Jaya, Abdul Rahman Abdul Kadir Jalani berkata, bantahan dilakukan bertujuan membuka mata pihak berkenaan supaya hasrat penduduk didengari, selain mahukan langkah pencegahan awal dilakukan sebelum kuil didirikan.

Menurutnya, kawasan tanah sudah diratakan untuk tujuan upacara pecah tanah yang dikatakan akan diadakan pada 27 November depan oleh seorang menteri.

“Selama ini tiada masalah penduduk berlainan agama tinggal dalam satu kelompok, tetapi sekiranya ingin membina rumah ibadat kaum Hindu di kawasan majoriti penduduk agama Islam tindakan ini adalah tidak wajar sama sekali,” katanya.

Setiausaha Masjid Bandar Puteri Jaya, Ibrahim Abdul Rahman berkata, penduduk di kawasan tersebut tidak membenarkan kuil dibina, walau dalam keadaan mana sekalipun dan akan terus mempertahankan kawasan itu berikutan dihuni lebih 70 peratus dari 100,000 penduduk dari keempat-empat bandar.

“Memang tidak sesuai kuil dibina di kawasan orang Melayu dan kedudukannya juga tidak wajar,” katanya.

Pengerusi Surau Bandar Utama, Abd Rahman Osman berkata, cadangan kedudukan kuil yang akan dibina di atas bukit dengan ketinggian melebihi dua hingga tingkat itu sudah semestinya akan memberi impak yang cukup besar kepada penduduk beragama Islam.

“Jadi penduduk berharap agar rumah ibadat ini tidak dibina di sini yang sememangnya tidak strategik,” katanya.