Munajat hindar bencana banjir

LANGGAR - Dalam keghairahan pelbagai pihak mengatur pelbagai persediaan menghadapi bencana banjir yang diramalkan berlaku, semua pihak diingatkan agar tidak lupa berdoa memohon segala bencana yang datang dihindarkan dengan izin ALLAH SWT.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau tidak menafikan kepentingan persediaan material sebelum dan selepas berlakunya banjir, namun pada masa sama tidak mengetepikan perkara paling penting iaitu memohon pertolongan daripada ALLAH SWT.

Menurutnya, program berunsur kerohanian juga tidak boleh diketepikan, malah perlu seiring dengan persediaan menghadapi bencana alam seperti banjir.

“Hari ini kita melihat pelbagai persediaan yang diadakan lebih menjurus kepada persediaan material, tetapi persediaan dari aspek kerohanian masih kurang.

“Oleh itu, dalam persediaan fizikal yang dilihat seakan mampu menampung bencana banjir, kita langsung tidak boleh lupa untuk bersama berhimpun menadah doa serta bermunajat memohon menghindari bencana kerana semuanya datang daripada-NYA,” katanya kepada Sinar Harian selepas penganjuran Program Munajat Rakyat Menghindari Bencana di Masjid Nurul Ehsan, Markas Pas Kawasan Pokok Sena.

Munajat itu dipimpin oleh Mudir Madrasah Ar Rahmaniah Pondok, Sik, Kedah, Tuan Guru Haji Salleh Musa.

Yang Dipertua Pas Kawasan Pokok Sena itu berkata, program itu sentiasa dianjurkan oleh pihaknya sebelum ini.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu mengadakan perkara sama dan mengajak semua umat Islam bermunajat memohon agar bencana seperti banjir besar dielakkan.