Thursday, March 15, 2012

Dato’ Ir Amiruddin tangani isu banjir

BUKIT KAYU HITAM - Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah mengadakan lawatan ke Taman Bukit Kayu Hitam, di sini yang dilanda banjir pada 7 Mac 2012.

Sempena lawatan itu, YB. Amiruddin turut meninjau keadaan rumah dan juga kedai serta sistem perparitan di taman berkenaan dan juga kolam takungan air di sebuah kelab golf yang terletak bersebelahan taman itu.

Taman berkenaan dilanda banjir akibat kolam takungan air di kelab golf itu tidak dapat menampung jumlah air yang begitu banyak sehingga mengakibatkan air terus melimpah ke kawasan perumahan itu.

Kebanyakan rumah di situ dimasuki air sehingga mengakibatkan keretakan pada lantai rumah di samping longkang turut tersumbat dengan sampah sarap.

Jalan di taman berkenaan juga turut mengalami keretakan akibat air yang melimpah dari kolam itu dan kedai-kedai di situ juga turut dimasuki air.

Menurut Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kubang Pasu/Padang Terap, Osman Mamat, taburan hujan di Bukit Kayu Hitam dalam Daerah Kubang Pasu pada 5 Mac 2012 ialah 4.0 mm manakala di Sungai Bata ialah 10.0 mm.

“Manakala taburan hujan di Bukit Kayu Hitam pada 6 Mac 2012 ialah 3.0 mm dan di Sungai Bata ialah 1.0 mm. Sementara itu, taburan hujan di Bukit Kayu Hitam pada 7 Mac 2012 ialah 168.0 mm dan di Sungai Bata ialah 88.0 mm,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bacaan status paras air ketika banjir di Sungai Laka atau Padang Pasir, Changloon pada 8 Mac 2012 ialah 22.92 mm.

“Antara kawasan yang dilanda banjir ialah Perumahan Awam Laka Temin di Bukit Kayu Hitam, Taman Sayang, Kampung Paya Nongmi, Kampung Paya Lantau, Pekan Lama, Changloon, Kampung Masjid, Sungai Laka, Kampung Belukar, Kampung Changhai dan Kampung Sungai Petani,” katanya.

Osman menjelaskan, Jalan Changloon – Kodiang turut dinaiki air sedalam 0.175 mm dan kerosakan akibat banjir ialah pembentung, jambatan MTB, runtuhan tebing sungai, struktur utama konkrit, jalan lading, Stesen Hidrologi, struktur pengairan dan rumah pam JPS.

No comments:

Post a Comment