Thursday, March 15, 2012

Kes Dirang: Kembalilah kepada hukum Allah

oleh Jofri Jaraiee

Kes pembunuhan kanak-kanak semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Pembunuhan kanak kanak dianggap satu jenayah yang hina dan kejam dalam kebanyakan dunia. Mereka ini mudah terdedah dalam kes yang melibatkan penculikan dan pembunuhan.

Perlindungan kanak-kanak daripada penderaan dan kematian, mungkin sering melibatkan dan mengganggu struktur keluarga kanak-kanak terbabit. Ada yang sanggup membunuh mangsa dengan kejam tanpa ada perasaan perikemanusiaan.

Pihak pemerintah seharusnya bertindak dengan lebih tegas lagi ke atas penjenayah yang kejam ini dengan melaksanakan hukuman yang benar-benar menakutkan para penjenayah atau mereka yang mempunyai keinginan untuk melakukan jenayah berat keatas kanak-kanak.

Kerajaan wajar menyemak semula undang-undang sivil yang ada sekarang, kerana ianya dilihat kurang berkesan membenteras jenayah kejam yang dilakukan keatas mangsa yang terlalu lemah dan tidak berdaya untuk melawan nafsu serakah pembunuh yang kejam tersebut. Kalau sekadar dipenjara seumur hidup, belum tentu ini akan memberi kesan dan pengajaran kepada orang ramai yang melakukan jenayah ke atas kanak-kanak yang lemah dan tidak berdaya ini.

Berbagai usaha dan cara sudah dilakukan oleh pihak pemerintah untuk mencegah atau menghukum pembunuh zalim ini, namun perkara ini tetap juga berlaku, seolah-olah penjenayah sekarang berani mencabar perundangan yang sedia ada. Berbagai pandangan orang ramai untuk menghukum pesalah atau pembunuh kejam ini sudah dikemukakan, tetapi sehingga kini tiada suatu pun yang dapat diterima sebagai jalan penyelesaian.

Maka inilah masanya bagi pihak pemerintah kembali semula kepada perundangan syariah atau hukuman yang diturunkan Allah kepada setiap manusia agar perkara ini dapat dibendung atau menyekat kegiatan pembunuhan kejam ini dari berleluasan. Selain daripada itu didikan agama sejak dari kecil juga perlu dipertingkatkan..

Jangan tunggu sampai anak-anak kita jadi mangsa barulah kita mahu kembali kepada perundangan Islam. Semoga Allah melindungi kita semua dari perkara yang dasyat dan tidak diingini ini berlaku keatas keluarga kita.

Hanya dengan melaksanakan hukum Allah saja, manusia akan gerun dan takut untuk melakukan sesuatu perbuatan kejam walaupun memang benar ada yang akan terus melakukan dosa tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak berani melakukan dosa besar tersebut secara bebas dan terang-terangan.

Kepada yang bukan Islam mereka tidak perlu takut dengan perundangan syariah kerana semua ini adalah untuk keselamatan dan kebaikan kita semua.

Apabila manusia mendengar hukum Allah saja, mereka sudah merasa takut dan secara tidak langsung dapat mencegah perbuatan kejam seperti pembunuhan kanak-kanak kecil yang tidak berdosa ini terus berlaku seperti apa yang berlaku sekarang dan ini termasuk juga mereka yang membunuh bayi juga patut menerima hukuman yang sama seperti pembunuh kejam.

Hukum Hudud atau hukuman syariah adalah terbaik untuk menyelesaikan masalah jenayah berat seperti rogol, bunuh dan sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Kembalilah kepada syariah Islam demi kesejahteraan ummah.

Hanya Hukum Allah yang sesuai dan terbaik untuk semua. Allah yang mencipta segala mahluk di muka bumi ini, maka Allah yang maha mengetahui yang terbaik untuk menyelesaikan segala masalah manusia sejagat.

* Penulis adalah Yang Dipertua PAS Miri merangkap Timbalan Pesuruhanjaya PAS Sarawak

No comments:

Post a Comment