Kepimpinan PAS Kedah di semua peringkat tiba-tiba saja diberikan satu tugas luar jangka iaitu menjawab pertanyaan semua pihak yang ingin tahu; sama ada dari dalam atau luar parti. Pergolakan dalam PAS bukan tidak pernah berlaku di negeri ini tetapi rakyat biasa tidak peduli waktu itu berbanding setelah PAS menerajui sebuah kerajaan sekarang.
Sifat ingin tahu adalah naluri semulajadi manusia, justeru mereka tidak boleh diperbodohkan dengan jawapan seringkas, "Tidak ada apa-apa, ini cuma ribut di cawan kopi." Apatah di lagi di zaman manusia berkomunikasi di alam maya melalui pelbagai peralatan canggih. Semua orang menagih jawapan yang pasti.
Sukar juga untuk mengukur sebesar mana krisis yang berlaku di Kedah ini tetapi yang pasti ia tidaklah sebesar yang digambarkan oleh media-media primitif pro BN juga laman-laman maya pro mereka. Bagi jentera propaganda BN sekecil mana pun krisis, jika berlaku pada PR maka ia mesti dieksploit habis-habisan. Cerita sejengkal jadi sehasta, secupak jadi segantang.
Sebuah akhbar harian primitif pro BN menjadikan pergolakan isu ini sebagai berita utama akhbar mereka dengan tajuk 'Azizan diboikot, 5 Exco PAS Kedah pulau mesyuarat khas bersama MB'. Kononnya ia berlaku dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Ustaz Azizan Razak. Walhal mesyuarat yang dimaksudkan adalah mesyuarat lajnah politik yang membincangkan mengenai persiapan pilihanraya. Dua dari Exco yang dimaksudkan ialah Dato' Dr. Hamdan Mohd Khalib dan Ustaz Abdul Ghani Ahmad. Mereka bukan ahli jawatankuasa lajnah politik, maka mereka tidak diundang ke mesyuarat tersebut. Timbalan Pesuruhjaya, Dato' Phahrolrazi Zawawi sedang bercuti manakala Dato' Amiruddin Hamzah mempunyai urusan rasmi di Kuala Lumpur jadi tidak dapat hadir manakala Dr. Ismail Salleh juga tidak dapat hadir bersebab.
Ia satu contoh bagaimana media BN mengeksploit isu melalui pembohongan. Begitulah juga dengan cerita yang mengaitkan kononnya konspirasi Datuk Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan Ustaz Azizan, strategi puak Erdogan, perebutan jawatan, perebutan projek dan perang puak; semuanya karut dan merapu.
Empat tahun PAS memimpin PR mentadbir negeri Kedah penuh dengan kecemerlangan. Pelbagai kejayaan dicatatkan. Menteri besar dibantu oleh 10 orang Exco. Ustaz Azizan tidak mentadbir negeri seorang diri. Pelbagai potfolio yang terdapat diagihkan kepada kesemua Exco. Jika natijahnya ialah senarai kejayaan yang mampu dicatatkan kerajaan negeri, maka ia bukan buah tangan menteri besar seorang. Demikian sebaliknya jika masih terdapat kegagalan dalam potfolio tertentu maka ia bukan kegagalan menteri besar seorang. Ia juga kegagalan Exco berkenaan atau semua pihak yang sepatutnya menjayakan potfolio berkenaan.
Ada kalangan rakyat membangkitkan mengapa pelaksanaan Islam tidak sehebat di Kelantan? Orang pertama yang bertanggungjawab ialah Exco yang memegang potfolio agama. Di luar parti sana terdapat Dewan Ulamak PAS serta ribuan ulamak dalam PAS. Mereka pun bertanggungjawab juga. Sejauhmana mereka berperanan dan memberi sumbangan membantu Exco berkenaan? Ada yang membangkitkan perihal pertambahan pusat hiburan. Tentulah ia urusan Exco kerajaan tempatan. Saya menyebutnya sekadar contoh. Cuma nak ceritakan bukan semua kelemahan yang berlaku mesti diletakkan kesalahan di atas kepala menteri besar sedang kerja kita cuma peluk tubuh, cekak pinggang dan tuding jari.
Berbeza pendapat dalam mentadbir adalah perkara biasa kerana pemikiran manusia tidak boleh diklonkan. Cuma yang perlu ada pada kepimpinan ialah kebijaksanaan menguruskan perbezaan. Dalam setiap pertikaian selalunya manusia memikirkan cara meminimumkan perbezaan melalui kaedah 'menang-menang.' Semua pihak tidak menang seratus peratus tetapi tidaklah rugi seratus peratus. Tetapi jika kaedah 'aku saja yang betul', ‘hang mengaji mana?’ ia boleh mengundang malapetaka. Apatah lagi jika pandangan pihak luar lebih digunapakai berbanding Exco, atau rakan jamaah.
Dalam jamaah Islam apa saja isu yang berbangkit bukan masalah besar kerana konsep syura digunakan, sebarang pertikaian rujuklah kepada syura. PAS tidak boleh dikesampingkan dalam apa jua isu. Sekali lagi apa yang dicatatkan di sini tiada kena mengena dengan yang hidup atau mati. Dewan Ulamak terutamanya kena bertegas dari awal dan sepanjang masa untuk memantau pentadbiran negeri. Direstui atau tidak bukan persolannya kerana mereka bertanggungjawab dalam persoalan hukum hakam terhadap Allah bukan terhadap manusia. Bertindak terus jika ada yang tersasul. Bukan menghimpun 4 tahun sekali untuk bertindak dengan 'hukuman' yang sangat mengejutkan pula.
Apa sebenarnya pergolakan yang berlaku di Kedah? Saya sedar Harakah bukan medan untuk mendedahkan segalanya, lebih baik serahkan pada pucuk pimpinan jamaah untuk selesaikan. Berwalaklah (patuh) dengan arahan dan jika tidak mampu beruzlahlah.
Jangan terburu nafsu dalam bertindak kerana ia bukan akhlak seorang haraki. Kata orang cinta itu buta. Orang yang sedang ghairah bercinta hanya nampak kekasih hatinya sebagai satu-satunya manusia yang mesti dicintai. Dia lupa untuk mencintai ibu bapa, saudara mara, pelajaran atau pekerjaan. Kadang-kadang sampai lupa mencintai dirinya sendiri.
Sama saja ragamnya dengan orang yang memusuhi seseorang. Keghairahannya hanya untuk memusuhi musuh yang satu, seolah-olah musuh utama yang lain bukan musuh. Golongan yang bermusuh ini seolah-olah lupa untuk melihat implikasi terhadap perpaduan jamaah, menyemai kehodohan akhlak dalam membelasah dan memburukkan peribadi sesama sendiri, meluntur semangat perjuangan aktivis parti di semua peringkat, imej parti yang rosak menjelang pilihanraya, memberi peluru kepada musuh untuk memanipulasi, menjahanamkan siqah dan walak ahli terhadap kepimpinan dan meletakkan parti dalam keadaan yang sukar untuk berhadapan dengan rakyat. Mereka lupa musuh mana yang lebih utama. Ini pun buta juga.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua dan mengampunkan kesilapan kita jika tersasul di luar sedar. Wallahuaklam
Sunday, March 4, 2012
Meruncing sangatkah pergolakan di Kedah? [V2]
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Sudah agak lama tidak sibuk dengan pertanyaan yang bertalu-talu melalui lisan, telefon dan SMS. Tapi itulah yang berlaku ekoran tercetusnya isu kononnya berlaku pergolakan dalam kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang melibatkan Exco dan Menteri Besar. Ia benar-benar mengganggu tumpuan terhadap kerja utama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment