Thursday, March 15, 2012

Sekolah pondok boleh berdaftar dengan MAINK

ALOR SETAR – Sekolah-sekolah pondok yang terdapat di negeri ini tidak berdaftar dengan mana-mana pihak dan dibangunkan sendiri oleh guru-guru yang mendapat pendidikan dari Mesir dan Timur Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, pihak pengurusan sekolah pondok berkenaan boleh mendaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAINK) bagi tujuan kawalan, rekod dan keselamatan.

“Sekiranya mereka mendaftar, ia amat bagus sekali kerana secara tidak langsung, kita dapat mengetahui tahap serta prestasi sekolah-sekolah pondok yang terdapat di negeri ini,” ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan sekolah-sekolah pondok dikhususkan untuk orang-orang tua bagi mengikuti pembelajaran berkaitan ilmu umumi iaitu Fekah, Tasawuf dan Tafsir.

“Kita juga ada Sekolah Tahfiz yang tidak berdaftar dan ia sama dengan sekolah pondok dengan pembelajarannya meliputi bab Tahfiz Al-Quran tetapi khusus untuk kanak-kanak sahaja,” jelasnya.

Taulan memberitahu, pihak pengurusan sekolah tahfiz diminta mendaftar dengan MAINK dan diharapkan agar prestasi dan tahap hafazan dapat ditingkatkan serta memenuhi kualiti pembelajaran dan juga tahap sekolah itu.

Dalam pada itu, katanya, terdapat tiga kategori sekolah agama di negeri ini iaitu 17 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan yang mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat.

“Manakala 40 buah Sekolah Agama didaftarkan di bawah MAINK dan lebih daripada 50 buah Sekolah Agama Rakyat yang sekarang ini dikelolakan di bawah Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA),” tambahnya.

No comments:

Post a Comment