Showing posts with label Bajet PR. Show all posts
Showing posts with label Bajet PR. Show all posts

Wednesday, October 10, 2012

Bajet pakatan, ekonomi rakyat – negara berkat

oleh Subky Latif

 

Pakatan Rakyat adalah kerajaan menunggu. Apabila membentangkan versi bajetnya, tiadalah yang dapat dikuatkuasakannya selagi jadi kerajaan menunggu.

Lalu diperli BNlah, berangan-anganlah.

Tetapi ia adalah persediaan apabila Putrajaya dapat dibebaskan selepas PRU13 kurang daripada enam bulan dari sekarang. Apabila bertukar saja ia dari status kerajaan menunnggu kepada kerajaan betul, maka bajetnya itu akan diisinyalah.

Semua yang digaris dalam bajet itu adalah menjuruskan kepada keperluan ekonomi tuan punya Negara ini iaitu rakyat. Apabila ia diisi dengan keperluan rakyat, maka moga-moga negara pun berkat.
Ia menuju kepada sebuah negara yang berkat. Kerajaannya adalah kerajaan dunia, tetapi menyediakan segala yang diperlukan oleh orang yang hendak ke akhirat.

Doa dalam tema bajet itu ialah mencari sebuah negara yang berkat. Berkat itu adalah kata-kata menuju akhirat. Iaitu mencari kesenangan di dunia dan kesenangan di akhirat.

Itulah matlamat hidup Islam. Bagi orang Islam ia dapat semua – kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ia juga dengan sendirinya menjadi dunia yang disenangi oleh orang bukan Islam, baik mereka rakyat dan yang bukan rakyat yang bertandang ke sini.

Itulah tema dan persedia untuk menjadi sebuah negara berkebajikan. Pengisian terperincinya, bacalah keterangan pembentangan Ketua Pembangkang atas bajet itu.


Ia memberi tempoh kurang daripada enam bulan dari sekarang kepada penguasa yang ada sekarang untuk berbuat apa-apa yang suka sebelum Putrajaya terlepas daripada tangan.

Inilah masa untuk melarikan apa-apa yang ada di Petronas dan apa-apa yang boleh dicapai sebelum kerajaan menunggu mengambil alih kerajaan.

Lepas itu, Petronas tidak boleh buat apa-apa yang ia suka lagi. Ia akan ikut apa yang aktanya mahu dan apa-apa yang ia suruh buat.

Negeri yang berminyak iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan sedang menunggu akan ada syarikat minyak dan gasnya sendiri yang dinaungi oleh pentadbiran baru Petronas.

Berkata mereka itu, apalah untungnya Petronas selepas ini? Negeri yang ada minyak akan ambil panggunya dulu. Royalti terjamin dan untang syarikat pula melapangkan lagi. Yang Petronas dapat, tidak lagi akan dibolot klik Qarun seperti yang bersarang dalam Pertamina di seberang Selat Melaka dulu.

Pada peringkat mula ini, sekalian lintah darat yang gerun hilang harta Qarun yang disedutnya selama ini menakutkan orang-orang awam tentang banyaknya tawaran percuma yang hendak diberi kerajaan menunggu.

Tiada lagi pinjaman PTPTN. Boleh mengaji percuma, boleh lalu lebuhraya tanpa tol, motokar sudah murah kerana tidak banyak cukai lagi.

Cukup duitkah kerajaan? Royalti minyak naik sampai 20 peratus. Dulu semua duit masuk pada Petronas, lepas ini sebahagiannya diniagakan oleh syarikat negeri berminyak itu. Cukupkah duit?

Memang banyak yang kerajaan terpaksa tanggung bagi menampung segala pampasan konsesi lebluhraya dan lain-lain. Tetapi ketirisan dan duit yang disapu oleh lintah darat dan segala tumbuk rusuk lebih banyak lagi. Dengan segala beban yang kerajaan tanggung itu jadi sikit dibandingkan dengan yang lintah darat hisap.

Adapun kerajaan menunggu itu tiadalah memfaraidkan duit kerajaan dan duit rakyat. Segala-galanya akan dicurahkan balik kepada rakyat. Apabila rakyat tak payah bayar tol, belajar percuma, motokar murah dan minyak murah. Banyak duit mereka lebih.

Yang takut dengan bajet Pakatan itu ialah lintah darah dan klik Qarun. Rezeki sempit. Tetapi rakyat awam Insya-Allah akan dilimpahi barakah.

Wednesday, September 26, 2012

[#tanyanajib] 7 teras utama Belanjawan Pakatan Rakyat 2013

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 meletakkan tujuh fokus sebagai teras utama agar ia selari dengan matlamat mengawal defisit dan menurunkan hutang negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan bertema Ekonomi Rakyat Negara Berkat tersebut menegaskan antara tujuh perkara teras itu adalah mengangkat martabat wanita.

"Kita ingin meningkatkan martabat kaum wanita dan atas usaha itu kita (Pakatan Rakyat) akan melaksanakan Caruman Wanita Nasional untuk suri rumag membabitkan peruntukan RM3 bilion setiap tahun.

"Selain itu juga kita akan memastikan reformasi dan ketelusan pada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dengan antara lain kita akan membubarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mempunyai fungsi yang sama dengan Khazanah Nasional" jelas beliau di Bilik Taklimat di Parlimen.

Tambahnya lagi, melalui belanjawan kali ini juga Pakatan Rakyat turut mewujudkan bina dayasaing demi pertumbuhan dengan mengubal undang-undang anti-monopoli dan Suruhanjaya Anti Monopoli demi menggalakan pertumbuhan syarikat bersaiz sederhana dan merombak herotan ekonomi.

Hasil minyak untuk negeri turut diutamakan dengan menubuhkan syarikat-syarikat minyak PetroSabah, PetroSarawak, PetroTerengganu untuk menyertai pembangunan lapangan kecil (marginal field) yang kini diboloti oleh syarikat kroni.

"Skim khusus diwujudkan agar Petronas menaungi syarikat-syarikat ini supaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa dalam tempoh 10 tahun.

"Mengenai perumahan rakyat, penubuhan Perbadanan Perumahan Negara untuk menjalankan amanah menyediakan perumahan mampu milik secara besar-besaran," kata beliau.

Tambahnya lagi, melalui perumahan rakyat ini program pemilikan bersama (50:50) di antara kerajaan dan rakyat bagi perumahan terpilih.

Selain penurunan harga kereta menjadi teras utama, reformasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diberi perhatian dengan mengalihkan sumber manusia dan kewangan kepada kegiatan membanteras jenayah.

Malah kenaikan gaji sebanyak 5 peratus kepada anggota juga turut akan diumumkan, tidak ketinggalan juga pengumuman kenaikan gaji 20 peratus kepada kakitangan perubatan.

Belanjawan yang meletakkan jumlah perbelanjaan RM233 bilion iaitu jumlah lebih kecil dari jumlah yang dijangka diumumkan oleh kerajaan iaitu melepasi RN250 bilion tetapi terus meningkat sebanyak RM13 bilion berbanding Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

Selain itu juga pertumbuhan ekonomi pengikut penganalisis dan ramalan ekonomi kekal optimistik pada kadar 5.2 peratus berbanding kerajaan yang menggunakan unjuran 5 hingga 6 peratus.

Dalam pada itu sasaran yang lebih drastik pada defisit belanjawan apabila Pakatan Rakyat mensasarkan 3.5 peratus jika dibandingkan pada belanjawan yang dibuat pada Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang meletakkan 4.4 peratus.

Walaubagaimana pun, kerajaan dijangkakan mengumumkan defisit sekitar 4 peratus kerana angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah disemak kembali menggunakan asas harga tahun 2005.

Ini dia Belanjawan Pakatan Rakyat - ‘Ekonomi Rakyat Negara Berkat’


Belanjawan Pakatan 2013 tambah kebajikan untuk rakyat dan realistik

KUALA LUMPUR 26 Sept: Pakatan Rakyat hari ini membentang Belanjawan 2013, dengan beberapa tawaran baru yang menguntungkan segenap lapisan rakyat dan bersifat realistik.

Ia dibentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan utama Pakatan kira-kira jam 2 petang tadi, dua hari lebih awal daripada Barisan Nasional (BN). 

Intipati Belanjawan dibuat berdasarkan polisi sebelum ini, selain selari dengan matlamat mengawal inflasi dan menurunkan hutang.

Tujuh teras utama digariskan iaitu reformasi dan ketelusan GLC, membina daya saing ekonomi, mengangkat martabat wanita, hasil minyak untuk negeri, menurunkan harga kereta, reformasi membanteras jenayah dan perumahan untuk rakyat.


Belanjawan bertema ‘Ekonomi Rakyat Negara Berkat’ itu juga mengandungi beberapa tawaran baru yang menarik, antaranya: -
  • Peruntukan RM3 bilion setiap tahun melalui Caruman Wanita Nasional.
  • Penubuhan syarikat minyak negeri antaranya PetroSabah, PetroTerengganu.
  • Penubuhan Perbadanan Perumahan Negara bagi meyediakan rumah mampu milik secara besar-besaran.
  • Penurunan Harga kereta melalui pengurangan cukai eksasis sebanyak 20 peratus, selain sistem bidaan AP dibuat secara terbuka sehingga 2015 sebelum ia dihapus.
  • Mengalih sumber manusia dan kewangan polis kepada membanteras jenayah selain kenaikan gaji lima peratus kepada anggotanya.
  • Kenaikan gaji 20 peratus kepada kakitangan perubatan.
Sungguhpun Umno menuduh tawaran kebajikan yang dibuat Pakatan boleh membankrap negara, ia sebenarnya melibatkan RM33.5 bilion sahaja.

Sedangkan, sejumlah RM15 bilion diperoleh dari dasar penjimatan 10 peratus perbelanjaan negara dan RM6 bilion dari pendapatan ekonomi yang rancak pada kadar enam peratus.

Hal ini dibuktikan di negeri Pakatan, khususnya Selangor yang memberi pelbagai kebajikan kepada rakyat tetapi memiliki rezab simpanan tunai yang tinggi.

Jumlah itu akan meningkat berkali-kali ganda  jika dasar penjimatan diperluas ke negeri yang masih ditadbir BN dan mengawal perbelanjaan di peringkat Pusayt, apabila Putrajaya ditawan

Secara keseluruhan, jumlah belanjawan ialah RM233 bilion, lebih kecil daripada angka juta yang dijangka dibentang BN (melepasi paras RM250 juta) walaupun meningkat RM13 bilion Belanjawan Pakatan tahun lalu.

Ia dibuat berdasarkan pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus yang diramal penganalisis dan ahli ekonomi berbanding BN yang menggunakan unjuran lima hingga enam peratus.

Ia juga mensasarkan defisit 3.5 peratus yang lebih drastik berbanding 4.4 peratus pada 2012 walaupun BN dijangka menggunakan tahap defisit 4 peratus.

Sebanyak RM134.6 bilion pendapatan negara diperoleh dari sumber cukai iaitu cukai langsung (RM102.3 nilion), cukai tidak langsung (RM32.4 bilion).

Pendapatan bukan cukai ialah RM56.8 bilion, lesen dan permit (RM13.9 bilion), pelaburan (RM36.7 bilion) dan lain-lain (RM6.2 bilion), menjadikan pendapatan keseluruhan RM191.5 bilion.

Sebanyak 189 bilion pendapat negara dicatat sebelum RM2 bilion berkurang disebabkan dasar kebajikan Pakatan tetapi berupaya menambah RM4 bilion hasil dasar penjimatan kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan.

Ia menjadikan pendapatan bersih negara ialah RM191 bilion dengan RM42 bilion hutang baru, sedangkan Belanjawan Pakatan melibatkan RM233 bilion sahaja.

Sedang BN dijangka menggunakan jumlah  lebih besar walaupun ia tidak menjurus kepada kebajikan rakyat secara berstruktur.

BN dijangka memanipulasi belanjawan kali ini bagi meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13 dijangka melambakkan taburan wang ringgit yang mengikut Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘menyerupai rasuah’

- Keadilan Daily

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=36804