Showing posts with label Khalid Samad. Show all posts
Showing posts with label Khalid Samad. Show all posts

Monday, January 7, 2013

Antara Dr.Novandri, Papagomo & Sobri Sudin.....!!!

Maaf: Khalid ucap tahniah kepada Dr Novandri


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengucapkan tahniah kepada Dr Novandri kerana berani mengakui kesilapan, memohon maaf dan membayar ganti rugi di atas fitnah terhadap beliau.

“Ini merupakan tindakan yang wajar dan waras memandangkan fitnah memfitnah itu adalah satu amalan terkutuk dan perlu dihentikan,” tulis beliau yang juga AJK PAS Pusat di dalam blognya http://www.khalidsamad.com.

Berikut tulisan penuh beliau.

Kenyataan Maaf Dr Novandri

Saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Dr Novandri kerana berani mengakui kesilapan, memohon maaf dan membayar ganti-rugi di atas fitnah beliau terhadap diri saya. Ini merupakan tindakan yang wajar dan waras memandangkan fitnah memfitnah itu adalah satu amalan terkutuk dan perlu dihentikan.


Malaysia memerlukan corak kepimpinan politik yang menjauhkan diri dari budaya politik fitnah di mana hak rakyat dihormati dan diakui. Rakyat perlu diberikan peluang untuk mendengar penjelasan dari semua pihak, menilainya dan membuat keputusan secara bebas berdasarkan maklumat yang tepat. Budaya politik fitnah dan penguasaan maklumat di mana rakyat dihalang dari mendapat penjelasan dari semua pihak secara terus adalah corak politik yang ingin menguasai dan mengongkong rakyat. Ianya budaya politik lapuk yang tidak mempunyai tempat lagi di Malaysia.

Saya mengharapkan bahawa kesediaan Dr Novandri untuk mengakui kesilapannya, memohon maaf, membayar ganti rugi dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi adalah langkah ke arah corak dan budaya politik yang lebih matang dan bertamaddun bagi negara kita.

Budaya politik lapuk yang selama ini mencorakkan politik UMNO/BN perlu dikuburkan dan inilah apa yang perlu dilakukan rakyat dalam PRU ke 13 ini. Melalui kemenangan PR dalam PRU ke 13 ianya akan membuka lembaran baru ke arah politik baru yang akan menjamin terhentinya budaya politik fitnah dan monopoli maklumat, insyaAllah.

Berkaitan:

Shah Alam MP Khalid and blogger reach settlement (The Star)
Blogger apologises to Khalid Samad for crucifix caricature (The Malaysian Insider)
Pro-Umno blogger apologises to Khalid Samad (Malaysiakini)
Blogger Umno minta maaf kepada Khalid Samad (HarakahDaily)

Friday, November 9, 2012

Fathul Bari berbahas dengan Khalid Samad di twitter...!!!

Perbahasan Twitter dengan Fathul Bari

Beberapa hari sebelum ini saya telah terlibat dalam satu perbahasan melalui Twitter yang panjang lebar dengan Fathul Bari. Ia pada mulanya berkisar mengenai kenyataan Chua Soi Lek (CSL), Presiden parti MCA berhubung perlaksanaan hudud. Kemudiannya ia telah meleret sehingga melibatkan persoalan PAS dan perjuangannya.

Perbahasan ini bermula apabila seorang tukang twit menyebut nama Fathul Bari sebagai rujukan dan saya menjawab: “Saya kenal dia. Namanya baik tetapi dia bela CSL”. Oleh kerana Fathul Bari turut ‘ditag’ dalam twit tersebut, maka dia pun terus mencelah dan melibatkan dirinya dalam perbahasan tersebut.

Akhirnya perbahasan yang bermula melalui komen ringkas saya terhadap pendiriannya telah berpanjangan selama lebih dari 3 hari 3 malam dengan menyentuh bermacam-macam tajuk.

Bagi saya, walaupun Fathul sering menyebut beliau bersikap adil dan tidak bias dalam menilai sesuatu, hakikatnya sikapnya teramat keUMNOan. Sikap yang adil dan tidak bias dapat dikesan dan dinilai tanpa disebut berulang kali. Begitu juga sebaliknya.

Bacaan saya terhadap pendirian Fathul ialah beliau percaya pihak berkuasa perlu disokong selagimana ketuanya beragama islam. Atas dasar ini semua pendirian dihasilkan.

Jangka masa panjang sikap ini tidak akan menjadi masalah kerana selepas PRU akan datang, sekiranya PR menang, sudah pasti Fathul Bari akan menjadi penyokong tegar PR!

Tidak mungkin saya ingat kembali semua tajuk yang dibahas namun yang terpenting, mengikut ingatan saya, adalah seperti yang berikut:

1. Fathul bela CSL.
2. Kenyataan Karpal berbanding CSL.
3. Sejarah latar belakang kenyataan Karpal.
4. Parti Islam dan yang bukan parti Islam.
5. Bersatu atas dasar apa? Kenapa tidak dengan UMNO?
6. Kerjasama atas dasar apa? Kenapa tidak dengan UMNO.
7. Soal hudud dan perlaksanaannya.
8. Soal mendapatkan izin DAP.
9. Soal memilih di antara DAP dan UMNO.

Saya akan membuat posting satu atau dua tajuk setiap hari, menjelas dan mengupasnya dan bagi yang berminat bolehlah mereka memberi komen di Blog, Twitter atau punFacebook. Yang mana yang sempat saya akan respond. Yang mana yang tidak, saya minta maaf terlebih dahulu.

1. FATHUL BELA CSL

Tuduhan saya bahawa Fathul bela CSL dibuat selepas saya menonton video yang dipos di Blog tertentu yang mana linknya diberi oleh tukang twit pertama. Saya melihat memang betul Fathul menyatakan kenyataan CSL dan Karpal Singh, kedua-duanya tidak patut dikeluarkan mereka kerana ianya menggangu sensitiviti ummat Islam. Namun bagi saya itu semua hanya ‘ayat bunga-bunga’ sahaja kerana apa yang dikatakan di hujung video tersebut adalah mesej sebenar yang hendak disampaikan.

Di penghujung video tersebut Fathul mengatakan kenyataan Karpal adalah lebih parah kerana Karpal sebut “langkah mayat saya” sedangkan CSL hanya menolak ‘hudud PAS’ bukan hudud Islam. Kenyataan Fathul jelas mengiakan kata-kata CSL dan membelanya, memberi gambaran apa yang dikatakan tidak ada kena mengena dengan Islam itu sendiri. Kalau dilihat, ianya bercanggah dengan ucapan bunga-bunga Fathul yang lebih awal yang mengatakan ucapan CSL juga menyentuh sensitiviti ummat Islam.

Ini persepsi saya terhadap video berkenaan. Ianya dibuat dengan tujuan membela CSL.

Hujjah ‘hudud PAS’ memberi lesen kepada sesiapa sahaja, khususnya CSL, untuk memperlekehkan apa yang telah diusahakan oleh PAS dalam menghasilkan sebuah enakmen supaya sistem perundangan Islam, khusus hudud, dapat dilaksanakan. Enakmen ini merupakan usaha mulia dari berbagai pihak untuk menghasilkan enakmen yang menepati tuntutan Allah yang terkandung di dalam Al-Quran. Termasuk di dalamnya adalah hukuman terhadap kesalahan zina, qazaf, mencuri dan lain-lain yang telah disebut secara khusus di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW).

Mungkin ada aspek-aspek yang tertentu ada perbezaan pendapat dan tidak dipersetujui oleh Fathul, itu perkara biasa. Namun untuk menolaknya secara mutlak dan keseluruhan adalah tindakan tidak bertanggung-jawab di mana sudah pasti akan ada bahagian-bahagian yang ditolak yang merupakan hukum Qat’i yang telah ditetapkan Allah.

Kalau ada cacat celanya atau kekurangan dalam menghasilkannya, usaha manusia sememangnya begitu walaupun dalam menghasilkan undang-undang dari Al-Quran dan Sunnah. Apa yang patut diusahakan oleh Fathul ialah untuk menjelaskan apa dia yang tidak dipersetujui dan meminta ianya dikaji semula berdasarkan hujjah dan dalil. Bukan memberi lesen pada CSL atau mana-mana pihak menolaknya dan memperlekehkannya secara total.

Saya yakin Fathul sendiri memahami persoalan ini. Sudah pasti beliau juga sedar bahawa usaha sebegini langsung tidak dilakukan oleh UMNO yang memegang teraju kekuasaan dewasa ini.

Demi menutup kekurangan UMNO dan kegagalannya, maka hujjah yang paling mudah dan paling lekeh ialah untuk menolak enakmen hudud berkenaan atas alasan ianya ‘hudud PAS’ tanpa membentangkan enakmen hudud yang kononnya menepati kehendak Islam. Dan atas alasan itu kebiadapan CSL dihalalkan ulama UMNO muda ini.

Itulah sebabnya saya menyatakan Fathul bela CSL.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tuesday, September 18, 2012

Khalid Samad - Polis baru siasat tapi menteri kata dah di tangkap.. mana satu betul nie?

Siasatan Polis Berhubung Gambar Pimpinan PR Yang Dipijak dan Dikencing

Susulan dari peristiwa "Pijak Gambar Pemimpin Negara Perbuatan Melampau" yang hangat dibincangkan sejak kebelakangan ini; saya telah dikunjungi oleh seorang pegawai Polis dari Gombak pada hari Khamis pada 13 September sekitar jam 3 petang. Laporan dibuat di Balai Gombak oleh seorang yang sudah pasti meluat dengan sikap berat sebelah pihak berkuasa yang hanya mengambil berat persoalan gambar Najib dipijak tetapi tidak menghiraukan apabila gambar pimpinan PR dilakukan sedemikian rupa, malah lebih dari itu. Atas laporan tersebut pegawai berkenaan telah bertemu saya kerana telah tersebar luas di Internet bagaimana gambar saya dan pimpinan utama PAS, DAP dan PKR pernah juga dipijak oleh para samseng politik.

Semasa pertemuan tersebut, pegawai berkenaan meminta maklumat berhubung peristiwa yang melibatkan gambar saya dipijak di perkarangan Masjid Negeri Shah Alam. Saya memaklumkan bahawa ianya berlaku pada awal 2010 dan bukan sekadar gambar, video pun ada. Apabila ditanya samada saya kenal atau tidak samseng tersebut, saya katakan tidak, tetapi boleh mengagak dari 'cawangan' mana. Saya memberitahunya sekiranya diperlukan, saya boleh cuba dapatkan maklumat berhubung siapakah mereka ini.


Pada masa sama saya juga menunjukkan gambar budak upahan UMNO/BN yang kencing di atas gambar saya dan TGNA serta TGHH. Saya memaklumkan kepadanya bahawa banner yang dikencing itu adalah banner PRU 2008 yang dipasang oleh PAS Shah Alam. Pegawai berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada saya bahawa ia adalah kes yang berasingan dan sedang disiasat oleh Polis dari Terengganu kerana laporan dibuat di Kerteh. Dengan itu perbincangan berakhir dan saya berjanji untuk menghantarkan video dan apa jua maklumat berhubung peristiwa tersebut kepadanya. Oleh yang demikian, sekiranya saudara saudari kenal mereka ini, sila maklumkan kepada saya melalui email atau datang sendiri ke pejabat saya di Seksyen 13 Shah Alam.




Esoknya, pada hari Jumaat 14 September, saya mendapat panggilan dari seorang lagi pegawai Polis! Beliau dari Terengganu dan sudah berada di Shah Alam. Beliau ingin berjumpa saya juga berhubung peristiwa gambar TGNA dan TGHH yang telah dikencing itu. Saya berjumpa beliau pada jam 3 petang juga selepas solat Jumaat.

Beliau meminta maklumat dari saya berhubung peristiwa tersebut. Saya memaklumkan kepadanya bahawa ianya berlaku semasa tempoh kempen PRU 2008 iaitu pada awal Mac. PAS Shah Alam telah memasang 5 sepanduk besar ukuran 10'x20' dan memasangnya dibeberapa lokasi strategik. Banner yg dikencing adalah salah satu darinya dan mungkin ianya banner yang dipasang di Seksyen 7.

Itu sahaja maklumat yang ada pada saya. Gambar itu jelas menunjukkan kumpulan berkenaan berpakaian baju BN dan mungkin juga merupakan para petugas yang pemasang bendera yang diupah untuk berkerja pada waktu malam. Saya rasa mereka bukan warga Shah Alam tetapi adalah tenaga kerja dari luar. Selepas itu beliau minta diri dan meminta saya untuk memberikan apa jua maklumat tambahan kalau ada pada dirinya sebagai pegawai penyiasat.

Saya beranggapan siasatan baru sahaja bermula; maka saya amat terkejut apabila Hishamuddin memaklumkan bahawa ada yang telah ditahan pada hari Sabtu keesokan harinya. Betulkah perkara ini saya tertanya? Atau satu lagi helah politik mainan UMNO sepertimana biasa?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tuesday, August 28, 2012

“Adakah hudud tidak dilaksanakan di Malaysia oleh kerana Karpal?”

 Adakah Darah Karpal Halal?


Lanjutan dari isu Nasharudin Mat Isa dan Karpal Singh, saya telah menerima SMS dari seorang ‘hamba Allah’ yang menyatakan bahawa darah Karpal halal dan PAS perlu membunuhnya sekiranya PAS ikhlas dan bersungguh-sungguh ingin melaksanakan hudud. Kenyataan tersebut membuat saya tergelak terbahak-bahak! “Adakah hudud tidak dilaksanakan di Malaysia oleh kerana Karpal?” saya tanya kembali. Adakah Karpal Perdana Menteri Malaysia? Adakah DAP parti pemerintah saya bertanya lagi! Kasihan seribu kali kasihan, orang Melayu yang diperbodohkan UMNO dan sub-kontraktornya!

Mengapa Karpal dijadikan sasaran sedangkan MCA jauh lebih lantang menolak hudud? Sedangkan kempen MCA secara jelas menyatakan bahawa “undi MCA dan MCA akan pastikan Malaysia tidak menjadi Negara Islam dan Hudud tidak dilaksanakan”. Oleh itu, kata-kata menuduh Karpal sebagai anti-Islam adalah kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang yang mempunyai agenda politik tersendiri, maka pandangannya bias dan berpilih kasih!

Telah saya nyatakan berulang kali, adalah menjadi perkara biasa sekiranya orang bukan Islam menolak hudud. Itu tidak menjadikan darah mereka halal. Mereka menjadi ‘harbi’ sekiranya mereka mengangkat senjata menentang sebuah kerajaan Islam, tetapi sekiranya mereka mengemukakan sesuatu hujjah, maka biarlah hujjah lawan hujjah.

Dalam masa yang sama, seorang lagi sub-kontraktor UMNO pula berkempen; tolak PR (undi UMNO) kalau tidak Negara menjadi Negara Kristian! Aduahai, semakin rancak usaha memperbodohkan Melayu.

Sudahlah, hentikan sandiwara!! Sanggup mempertahankan rasuah dan penyelewengan dengan memutar-belitkan ajaran Islam, semata-mata supaya UMNO/BN kekal berkuasa dan kamu mendapat imbuhan. “Shame on you!”. Inilah golongan yang menjualkan agama dengan harga yang rendah seperti yang digambarkan Allah di dalam Al-Quran berhubung rahib Bani Israel.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Monday, August 27, 2012

Kupasan Isu Nasharudin dan Karpal oleh Khalid Samad

Khalid Samad: Isu Nasharudin dan Karpal
Khalid Abdul Samad
Khalid Samad
 
SAMBIL kita tengah sibuk menghayati bulan Ramadan, tercetus pula isu baru, Ustaz Nasharudin Mat Isa meminta Pas keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan menuduh Karpal Singh sebagai anti-Islam kerana menolak hudud!

Soal Ustaz Nasha bersama Najib di Makkah dan bertindak sebagi penterjemah hanya menzahirkan betapa Umno ketandusan ulama.

Tiada orang lainkah dalam Umno? Sama ada ia sandiwara atau sebaliknya, kita tidak perlu memikirkannya. Kalau Ustaz Nasha hendak berumrah bersama Rosmah pun tidak menjadi masalah bagi saya.

Hanya yang menjadi pertikaian ialah kenyataan beliau berhubung Pas agar perlu keluar dari PR dan bagaimana Pas tunduk pada DAP.

Lagu dan irama lama, didendangkan kembali untuk menutup peristiwa pergolakan di Sabah. Kalau benar beliau ikhlas, mengapa tidak dibawanya ke dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat? Sebaliknya mendiamkan diri seribu bahasa sambil bergendang di luar di dalam pangkuan Umno/BN.

Bukan lagi menjadai satu rahsia bahawa beliau sudah lama tidak bersama Pas dari segi semangatnya. Semenjak terlibat dalam perundingan Pas Umno pasca-PRU 2008 beliau kelihatan berbeza.

Mungkinkah ada umpan yang terkena dan tidak dapat dilupai rasanyakah? Bertambah pula dengan kekalahannya dalam pertandingan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang digambarkan oleh wartawan ‘The Star’ sebagai kali pertama melihat beliau kehilangan senyuman yang bagaikan sentiasa terpahat di bibirnya, sehingga menurutnya lagi terus tidak hadir pada hari terakhir muktamar Pas pada tahun itu.

Pendedahan Pas Kelantan bahawa beliau tidak lagi disenaraikan sebagai calon sudah pasti diketahui lebih awal oleh dirinya sendiri.

Masa depannya bersama Pas seolah-olah semakin malap dan jalan permaidani merah yang biasa dilaluinya sudah tidak lagi kelihatan.

Maka oleh itu tidak mustahil beliau mencari pilihan yang lain bagi diri dan masa depannya. Mungkin sepertimana Hassan Ali, beliau menganggap dirinya tidak lagi dihargai Pas dan sebaliknya lebih dihargai pihak sebelah sana.

Dalam pada itu, pertelingkahan beliau dengan Karpal pula boleh dianggap agak melucukan. Dituduhnya Karpal ‘anti-Islam’ kerana menolak Hudud! Wooooit! Hudud ditolak oleh Karpal seorang sahajakah?

Untuk makluman semua, Umno/BN sudah lama menolak hudud dan itulah sebabnya ia tidak dilaksanakan di negara kita! Mengapa pula tidak diistihar Umno/BN sebagai anti-Islam? Kerana mungkin itu tidak menepati ‘game-plan’ Umno/BN?

Orang bukan Islam menolak hudud, malahan agama Islam itu sendiri, adalah perkara biasa. Nama pun bukan Islam. Tetapi persoalannya, mengapakah Umno yang mengaku Islam menolak? Tidakkah sepatutnya beliau mengistiharkan yang di sebelahnya dalam gambar di Mekah itu sebagai anti-Islam terlebih dahulu sekiranya penolakan hudud adalah hujjah untuk mengisytiharkan seseorang itu anti-Islam!
* Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

Friday, June 15, 2012

Ketua Kampung, Perompak dan UMNO

Oleh Khalid Samad

Baru-baru ini ada seorang hamba Allah sempat bersembang dengan dan menyuruh saya supaya bersyukur kepada UMNO/BN. Bila saya tanya mengapa, dia menjawab kerana BN telah membangunkan Negara ini dengan pelbagai jenis pemba

ngunan dan seterusnya mula menyenaraikan segala jenis pembangunan yang mampu difikirkannya satu persatu. Selesai dia bercakap, maka saya menjawab balik, “adakah patut saya bersyukur kepada BN yang membina sesuatu dengan harga RM 500 Juta sedangkan benda yang sama boleh dibina dengan harga RM 300 Juta?

Kalau tuan merupakan Pengarah Syarikat dan salah seorang kakitangan tuan membayar RM500 untuk barang yang bernilai RM300 adakah tuan akan berterima kasih dengan dia?” Dia kemudianya diam tidak berkata apa-apa.

Bagi memudahkan seseorang memahami apa yang ingin kita sampaikan, perumpamaan adalah amat berkesan. Dalam soal apa yang berlaku di bawah kerajaan UMNO/BN ini, saya selalu berikan beberapa perumpamaan supaya ianya bertambah mudah untuk difahami. Dua perumpamaan mudah yang boleh difikirkan bersama adalah begini:

Satu kumpulan penduduk yang tinggal di sebuah kampung berpakat melantik salah seorang dari mereka menjadi Ketua Kampung. Kerana kedudukan kampung tersebut yang jauh dari bandar menyukarkan mereka dalam urusan jual beli, maka mereka kemudiannya mengutip duit dari setiap anggota dan diserahkan kepada ketua mereka untuk membeli makanan di bandar berhampiran. Ketua ini mengambil 30% untuk dirinya dan menggunakan baki 70% itu untuk membeli makanan. Setelah dibeli maka diserahkan kepada anggota lain untuk memakannya. Maka ada yang bertanya, “kenapa sikit sangat?” Ketua itu menjawab,kamu sepatutnya berterima kasih dengan apa yang telah saya berjaya belikan untuk kamu. Di kampung sebelah sana, habis semua duit diambil oleh ketua yang mereka lantik! Di sini sekurang-kurangnya kamu dapat juga makanan!

Pada masa yang sama, sebuah rumah di kampung yang berhampiran telah dimasuki perompak. Setelah mengikat tuan rumah sekeluarga maka perompak tersebut mula mengaut barang kemas dan wang yang dijumpainya. Tuan rumah yang diikat mula mengutuk perbuatan tersebut dan menyatakan bahawa perbuatan mencuri harta keluarganya adalah zalim dan tidak bertamadun. Lalu dengan satu nafas perompak itu menjawab, “kamu patutnya bersyukur kerana saya tidak bawa lori dan curi seluuuruh isi kandungan rumah kamu! Saya berbaik hati meninggalkan TV serta peti sejuk dan saya tidak mencederakan ahli keluarga kamu. Kalau pencuri lain, habis licin dia kerjakan kamu!”

Sebenarnya inilah apa yang berlaku di bawah BN. Mereka khianat dan mencuri tetapi mereka ingin rakyat bersyukur kepada mereka dan terus mengundi mereka. Mereka tunjuk pada pembangunan yang telah mereka lakukan tetapi hakikatnya ianya hanya sebahagian (mungkin 70%) dari apa yang mampu dilakukan. Mereka telah mencuri sebahagian (mungkin 30%) dari kekayaan Negara untuk diri sendiri dan kroni mereka tetapi pada masa yang sama mereka minta rakyat bersyukur atas ‘pemberian’ mereka!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Wednesday, May 23, 2012

Saman Khalid Samad: Utusan kalah lagi

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan membayar gantirugi RM60,000-00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Pada 21 November lalu Hakim Prasad Sandhosham Abraham telah memutuskan bahawa artikel di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 10 September 2009 bertajuk 'ZULKIFLI BIDAS ‘PAK JANGGUT’ ” adalah memfitnah ke atas Khalid Samad.

Antara lain artikel tersebut menulis:
'Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seskyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

“Yang paling pelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,'katanya.'
Mahkamah memutuskan perkataan “Pak Janggut” di artikel tersebut adalah merujuk kepada Khalid Samad kerana sebelum artikel tersebut diterbitkan, Khalid ada menulis surat kepada penduduk seksyen 23 Shah Alam supaya mereka berlaku adil walaupun ke atas orang bukan Islam dalam isu penempatan semula kuil hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.

Utusan telah memfailkan rayuan ke atas keputusan hakim tersebut di mana rayuan tersebut telah didengar pada pagi ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Pada prosiding pagi ini Mahkamah telah membenarkan permohonan Notis Usul yang difailkan oleh Khalid Samad bagi membatalkan rayuan Utusan atas alasan Notis Rayuan tersebut cacat kerana pihak Utusan telah gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum memfailkan rayuan mereka.

Ketika membacakan keputusannya pagi tadi Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menyatakan bahawa beliau, Hakim Datuk Azhar Haji Ma’ah dan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail iaitu panel hakim yang mendengar rayuan tersebut sebulat surat menolak rayuan Utusan kerana kecacatan rayuan tersebut.

Mahkamah menyatakan rayuan tersebut adalah bercanggah dengan seksyen 68 (1) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahawa sebarang rayuan yang kurang dari RM 250,000-00 wajib mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu.

Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00 kepada Khalid Samad.

Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Utusan diwakili oleh Encik Mohana Kumar dari Tetuan Shafiee Mohan.

Friday, May 11, 2012

Hallo UMNO.. DAP lawan 48 kerusi jaa.. macamana mau itu DAP perintah MALAYSIA..??!!??!?!

'48 kerusi DAP tak gugat Melayu'

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad membidas dakwaan pihak tertentu bahawa kuasa Melayu akan tergugat sekiranya DAP - yang sinonim dengan kaum Cina - menguasai negara ini.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai "satu pembohongan dan tidak mempunyai asas" yang kukuh memandangkan DAP hanya bertanding 48 daripada 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"Sekiranya mereka menang semua 48 kerusi, mereka tidak perintah negara. Kalau rasa (Melayu) tergugat dengan 48 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan, fakta itu tidak ada asas.

"Untuk menang membentuk kerajaan, sekurang-kurangnya menang 112 kerusi, tetapi mereka bertanding 48 kerusi... (Dakwaan) itu satu pembohongan," katanya.
Sebaliknya, kata Khalid, secara umumnya sebanyak 137 kerusi parlimen akan ditandingi calon Melayu daripada Umno, PAS dan PKR dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, jika PAS tewas sekalipun, calon Melayu tetap menguasai 137 kerusi parlimen sama ada daripada Umno atau PKR.

Beliau menjawab soalan hadirin yang mengutarakan tanggapan kebanyakan orang Melayu yang beranggapan bahawa DAP akan menguasai Melayu sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain Khalid, turut dijemput menjadi panelis setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari, pensyarah Dr Maszlee Malek dan Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan.

Guan Eng tekankan hormat perlembagaan
Bercakap dalam forum bertajuk "Islam, Melayu dan DAP" anjuran akhbar Roketkini.com, isu DAP - yang dianggap sebagai 'chauvanis' - menggugat kuasa Melayu bukan merupakan isu sebenarnya.

Ahli jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, sebaliknya menegaskan, isu yang menjadi tumpuan sebenarnya adalah bagaimana mahu "menjatuhkan ahli politik yang kotor" dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengulas perkara yang sama, Dr Maszlee mendakwa penguasaan BN yang mencipta "stigma" bahawa DAP akan berbuat demikian sekiranya memerintah negara ini.

"Itu hanya propaganda," katanya di hadapan kira-kira 100 hadirin yang memenuhi Dewan Annex, Shah Alam Selangor petang semalam.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga menegaskan DAP tidak boleh membuat pindaan perlembagaan jika menguasai negara ini.

Ini kerana, tegasnya, parti itu memerlukan persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan perkenan Raja-raja Melayu untuk berbuat demikian.

Manakala Zairil pula, beliau tidak menjawab secara langsung perkara itu tetapi menegaskan sejak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mentadbir parti itu sejak 2005, Lim menekankan supaya ahlinya menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, hal demikian termasuklah artikel yang menjamin kepentingan orang Melayu, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu.

Tuesday, April 3, 2012

MCA kondem Islam.. DAP tanya IKIM nak tahu Islam..!!

MCA, DAP dan Islam

Semasa menjawab soalan yang dikemukakan berhubung usaha dakwah yang dilakukan, Dr. Mashitah telah menyebut beberapa program yang dijalankan oleh kerajaan BN. Turut disebut ialah peranan IKIM dan untuk mengukuhkan hujjahnya, bagaimana DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan mengenai Islam.

Mungkin dari satu sudut maklumat ini dikemukakan sebagai bukti betapa gigihnya usaha dakwah yang dijalankan oleh pihak BN. Namun dari sudut yang lain ianya mendedahkan sikap ingin tahu dan keterbukaan DAP yang sering diselar oleh BN sebagai musuh Islam. Saya diberitahu bahawa ada dari kalangan penceramah UMNO yang melampau sehingga sanggup mengisytiharkan DAP sebagai ‘kafir harbi’! Pengistiharan ini sudah pasti dilakukan oleh seorang yang jahil tentang implikasi dari pengisytiharan yang sebegitu!

Apabila saya mendengar Dr. Mashitah mendedahkan bahawa DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan berhubung Islam, secara spontan saya bertanya, tetapi malangnya tanpa microphone, MCA tidak berhubung untuk tujuan yang sama ke? Soalan saya hanya sempat dijawab oleh Ahli Parlimen PR bahawa MCA tidak minat dan Dr. Mashitah terus duduk, mungkin merasa sedikit kesal bahawa maklumat tersebut telah didedahkan.
Apa pun kita semua memahami bahawa sikap MCA terhadap Islam adalah lebih keras berbanding DAP. Perkara ini semakin ketara hari demi hari. MCA menganggap mereka tidak perlu mempelajari Islam, mereka sudah pakar! Ini terbukti apabila MCA telah menganjurkan Seminar Hudud yang dihadiri ahli UMNO. MCA yang menjelaskan tentang betapa undang-undang hudud tidak boleh digunapakai di Malaysia dan ahli UMNO yang merupakan penasihat agama kepada MB Terengganu mengiayakannya dengan menyatakan bahawa undang-undang hudud yang digembar-gemburkan adalah sebenarnya hudud PAS dan bukan sebahagian dari undang-undang Islam.

Begitu juga baru-baru ini apabila telah diadakan debat di antara CSL dan LGE. Di antara serangan CSL terhadap LGE ialah kononnya bagaimana DAP dikudakan PAS. Dalam ucapan CSL beliau telah menyatakan bagaimana MCA telah berjaya memastikan UMNO tidak membawa isu perundangan Islam dan hudud! Beliau seterusnya mencabar LGE samada DAP sanggup membuat perkara yang sama terhadap PAS! Sekiranya tidak, maka kononnya ianya bukti bahawa DAP tunduk pada PAS.

LGE menjawab bahawa DAP tidak akan mengganggu ummat Islam dan amalan agama mereka sepertimana PAS juga tidak mengganggu orang bukan Islam dan amalan agama mereka.

Sikap menghormati Islam dan ummat Islam telah kerap dizahirkan oleh DAP kebelakangan ini. Ini termasuklah dasar-dasar yang dilaksana di Pulau Pinang di mana bajet untuk pentadbiran agama Islam telah dilonjakkan hampir 5 kali ganda dan bantuan terhadap sekolah agama Islam dan Maahad Tahfiz jauh melebihi apa yang pernah diberikan oleh BN sebelum ini. Fakta sebegini tidak ditonjolkan media perdana yang dikuasai UMNO/BN. Media UMNO/BN ingin terus membohongi rakyat, khususnya orang Islam.

Apabila ditanya oleh pemberita akhbar Cina mengapa LGE memberi sumbangan yang begitu banyak kepada pendidikan agama Islam di Pulau Pinang, termasuk sumbangan wang kepada golongan murid yang berjaya menghafal Al-Quran, LGE menjawab, “Apabila ummat Islam berpegang kepada ajaran agama Islam, mereka tidak akan terlibat dalam rasuah”.

Sikap ingin ummat Islam menghayati Islam dengan sepenuhnya sehingga mencorakkan tindak-tanduk mereka dalam semua urusan, termasuk politik, jauh berbeza dengan sikap yang ditunjukkan seorang MP UMNO baru-baru ini. MP UMNO ini menyatakan bahawa janji Syurga adalah rasuah politik yang terbesar! Kenyataan sebegini mungkin adalah hasil dari UMNO berguru dengan MCA dalam soal agama sehingga ganjaran dan hadiah yang Allah sediakan bagi orang-orang yang beriman yang patuh dan taat pada perintahNya boleh disifatkannya sebagai rasuah terbesar! Maka adakah ini dengan sendirinya bermakna bahawa Allah adalah perasuah terbesar dan Rasulullah (SAW) adalah agen perasuah terbesar!? Astaghfirullah Al-‘Azeem!!

Bagi PAS, orang Islam perlu diingatkan akan janji Allah dan dididik sehingga menerima janji ini sebagai perkara yang terpenting dalam hidup mereka. Semua amalan mereka adalah bertujuan untuk mencapai kereDhaan Allah, samada ianya ‘amalan dunia’ ataupun ‘amalan akhirat’. Pada hakikatnya semua akan mempunyai kesan kepada kedudukan kita di akhirat kelak.

Sedih apabila difikirkan, aneh tetapi benar. MP UMNO yang tidak mahu Syurga (ataupun kereDhaan Allah) dijadikan sebagai matlamat amalan ummat Islam dalam berpolitik sehingga digelar ‘janji syurga’ sebagai rasuah sambil UMNO dianggap parti yang memperjuangkan kepentingan Islam. DAP yang ingin ummat Islam berpegang kepada Islam sehingga memberikan galakan dan sokongan tetapi DAP pula digelar musuh Islam!
Hakikatnya, yang merosakkan ummat Islam bukan semestinya orang bukan Islam. Kebiasaannya, ianya adalah bermula dari para pemimpin yang beragama Islam tetapi ingin ummat Islam menjauhi ajaran Islam, khususnya dalam soal berpolitik. Mereka lakukan ini kerana mereka ingin memanfaatkan kekuasaan mereka tanpa dibataskan oleh syara’. Rasuah, penyelewengan, maksiat dan kerosakan menjadi amalan biasa disambil Masjid-masjid besar dibina disetiap pelusuk. Projek pembinaan Masjid-masjid indah mendatangkan ‘komisyen’ dan pada masa yang sama rakyat serta ummat Islam boleh ditipu dengan projek keagamaan seperti ini. Sambil itu, kekayaan Negara terus dirompak.

Semoga ummat Islam di Malaysia dapat memahami hakikat yang sebenar dan menyedari penipuan yang dilakukan oleh UMNO dan BN. Semoga dengan itu akan Malaysia dibebaskan dari kongkongan jahat para pemimpin yang beragama Islam tetapi menghalang penghayatannya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Sunday, January 22, 2012

Politik Roti..!!!

Oleh Khalid Samad

http://1.bp.blogspot.com/_Cm8hEGlcx-k/S4soq9-UccI/AAAAAAAABq8/K0_DF1QwPrE/s400/roti+gardenia.jpgBeberapa hari lepas sempat juga saya membaca, mengenai kisah persaingan di antara roti Gardenia dan Mossimo. Roti pun menjadi bahan politicking di Malaysia ini!

Katanya Gardenia adalah pro UMNO dan Mossimo pula ‘pro Cina’. Maka pembeli Cina khususnya disaran untuk memulau Gardenia. Tidak saya sangka pula selama ini Raja Gula, Robert Kouk pemilik Roti Mossimo tidak pro-UMNO. Kalau dia tidak pro-UMNO, bagaimana dia dapat monopoli AP gula? Mungkin dia gula-gulakan UMNO sahajakah?

Mungkin itulah sebabnya mengapa soal pro-PR tidak ditimbulkan. Kerana Raja gula pun pro UMNO juga. Maka kempennya diubah kepada soal perkauman. “UMNO kata Cina tak penting, mari kita tunjuk kuasa ekonomi Cina dan boycott roti Melayu UMNO iaitu Gardenia. Kita tak pro-PR tapi kita pro-Cina”, seolah-olah itulah apa yang dikatakan mereka.

Saya secara peribadi tidak boleh terima seruan yang berbau perkauman yang sebegini. Saya harap semua rakyat Malaysia terutamanya kawan kita yang berbangsa Tiong Hua pun menolaknya. Semangat perkauman tiada tempat dalam masyarakat negara ini. Lebih-lebih lagi di kalangan orang Islam kerana Nabi tidak mengaku ummat. Begitu juga harapnya kesedaran yang wujud di kalangan masyarakat bukan Islam.

Dalam kita berusaha untuk membina budaya politik baru, kita kena berhati-hati dengan golongan yang menggunakan sentimen yang sebegini. Ianya merosakkan suasan harmonis di kalangan rakyat. Semangat perkauman mampu mengaburkan mata sehingga kebaikan pihak lain langsung tidak kelihatan.

Sekiranya roti Mossimo itu sedap, murah dan berkhasiat, saya pasti ianya mampu menembusi pasaran roti Gardenia tanpa bantuan semangat perkauman yang terkutuk ini. Adakah kualitinya begitu buruk sehingga terpaksa menggunakan kaedah perosak yang seperti ini? Saya pasti tidak. Sudah pasti raja gula mampu mengula-gulakan pembeli tanpa menggunakan racun yang pahit seperti ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Saturday, December 10, 2011

Dan tercabarnya kuasa politik Melayu

Khalid Samad

Kebelakangan ini, gendang perang perkauman hangat dipalu tanpa henti oleh para pemimpin UMNO. Kedengaran di perhimpunana Agung UMNO dan juga Himpunan Perdana Pekida Malaysia, suara yang ingin ‘menggegarkan’ bangsa Melayu dengan pelbagai amaran, kononnya masa depan kekuasaan politik Melayu sedang dicabar dan ingin dihapuskan. Gambaran yang segelap mungkin dilakarkan oleh para ‘pemimpin Melayu’ ini dengan bertujuan menghasilkan persepsi bahawa sekiranya UMNO/BN dijatuhkan dan PR berkuasa; lebih-lebih lagi sekiranya di peringkat Pusat, maka alamatnya Melayu akan turut terpupus di bumi sendiri.

MELAYU ATAU UMNO YANG TERCABAR?
Pada hakikatnya, yang dicabar adalah kepimpinan UMNO dan juga BN, BUKAN kepimpinan Melayu! Kepimpinan UMNO dan BN dicabar atas sebab kedurjanaan, pengkhianatan dan tidak amanahnya mereka. Walaupun mereka telah diberi amanah untuk memimpin dan memerintah selama 54 tahun, apa yang telah dihasilkan adalah budaya kepimpinan rasuah, pegampuan dan kronisma. Pemimpin bergelumang dengan maksiat dan kekayaan sedangkan rakyat, terutamanya orang Melayu, hidup terhimpit di kota dan di desa.

Sekiranya seseorang membuat tinjauan pada hujung minggu lepas di persekitaran PWTC, maka dia akan melihat segala jenis kenderaan mewah yang terdapat di muka bumi diguna pakai oleh mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pejuang’ bangsa. Tersusun rapi barisan Vellfire, Hummer, Mercedes, BMW, Porsche Cayenne dan berbagai lagi kenderaan mewah milik para ‘pejuang’ ini. Kemewahan ini diketengahkan sebagai bukti ‘pengorbanan’ mereka dalam ‘perjuangan’ yang begitu lama dan ‘sukar’. Yang anehnya, si ‘pejuang’ semakin mewah sambil yang kononnya diperjuangkan terus miskin dan semakin tertekan.

Sekiranya yang dimaksudkan dengan ‘politik Melayu’ adalah politik rasuah, fitnah dan rasis yang bercanggah dengan ajaran dan nilai agama Islam, maka politik jenis itu sememangnya ingin kita tumpaskan. Akan tetapi, adakah politik Melayu bersifat begitu? Bagi UMNO, itulah politik Melayu yang mereka ingin orang Melayu pertahan dan banggakan. Sekiranya ada yang menentang politik yang sedemikian rupa, maka mereka ini dikatakan penentang ‘politik Melayu’! Pada hakikatnya ianya bukan politik Melayu tetapi sebaliknya politik UMNO!

Mereka yang mentakrifkan politik Melayu sebagai politik rasuah, fitnah dan rasis serta ingin terus mempertahankannya pada hakikatnya ingin membunuh masa depan politik Melayu. Lihat sahaja pada wanita UMNO yang mengerumun Shahrizat, menyatakan sokongan mereka terhadap dirinya walaupun beliau terbabit dengan skandal Feedlot Negara. Adakah kepimpinan Melayu sebegitu rupa yang ingin dipertahankan? Di manan maruah dan wawasan kepimpinan yang adil dan bertaqwa di sisi UMNO?

KUASA MUTLAK ADA PADA ORANG MELAYU?
Berkata pemimpin UMNO bahawa di dalam BN, UMNO berkuasa sepenuhnya. UMNO yang dominan dan boleh melakukan apa jua yang UMNO inginkan. Tiada yang boleh menghalang dan itulah bukti politik Melayu berkuasa! Sedangkan dalam PR, parti politik Melayu adalah minoriti dan tiada kuasa, terpaksa akur kepada kehendak DAP menurut mereka lagi.

Hakikatnya sebenarnya keadaan berkuasa secara dominan dan tanpa halangan adalah punca masalah politik Negara. Telah dikatakan berulang kali bahawa “power corrupts and absolute power corrupts absolutely” atau “kuasa merosakkan dan kuasa penuh tanpa batasan merosakkan secara menyeluruh tanpa batasan”. Inilah sebabnya mengapa budaya rasuah, kronisma dan rasis dapat diamalkan oleh UMNO tanpa bantahan. Lihat sahaja pada skandal Feedlot. Tidakkah penyelewengan sebanyak RM 250 Juta itu berlaku tanpa apa-apa tindakan atau hukuman? Malahan ada juga yang berusaha keras mempertahankannya. Melalui pembelaan ini, mereka ingin merosakkan ummat dan bangsa.

Adakah kuasa mutlak diperlukan sekiranya apa yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil? Biasanya, yang terpaksa bersandar kepada kekuasaan yang mutlak adalah pemimpin ‘dictator’ dan mereka yang ingin melebar-luaskan kerosakan di atas muka bumi. Maka apabila mereka ingin melaksanakan kezaliman dan ianya dibantah, maka kuasa mutlak digunakan untuk mengalahkan golongan yang membantah.

Sebaliknya, apabila yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil, maka sokongan rakan dan rakyat umum akan menentukan ianya terlaksana. Seperti pada zaman Rasulullah (SAW) di mana ummat Islam minoriti pada awalnya di Madinah, namun kepimpinan Baginda (SAW) telah diterima semua atas sebab keadilan Baginda.

ADAKAH KUASA POLITIK MELAYU AKAN HANCUR?
Maka ditanya pula, “adakah dengan hilangnya kuasa mutlak maka akan hilang juga kuasa politik Melayu?” Jawapannya “Tidak”! Yang akan hilang adalah hanya kemampuan melakukan rasuah dan kezaliman! Dan dengan itu akan dibebaskan politik Melayu dari budaya perosak yang telah diasaskan sekian lama oleh UMNO dan BN di kalangan bangsa Melayu. Akan subur seterusnya politik Melayu dengan budaya keislaman yang sebenar, bebas dari rasuah, penyelewengan, kronisma dan rasisma.

Pada hakikatnya dalam PR tiada pihak yang akan mempunyai kuasa mutlak dan oleh itu dasar semak dan timbang (check and balance) akan lebih bermakna. PAS tidak boleh melakukan sesuka hatinya. Begitu juga DAP dan begitulah juga PKR. Semua berkuasa dan apa sahaja yang ingin dilakukan mesti mendapat persetujuan dari semua pihak. Tidak perlu PAS akur pada kehendak DAP atau DAP kepada kehendak PAS. Apa yang diperlukan ialah menentukan sesuatu dasar yang benar dan adil yang akan dipersetujui bersama.

Maka sebagai contoh, sekiranya ada yang ingin mengurangkan jumlah penjawat awam, sepertimana yang didakwa Najib, ianya tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan ketiga-tiga parti. Dan sepertimana yang diulangi, PAS dan PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu. Begitu juga dengan sebahagian pemimpin DAP.

Sebaliknya, apa yang ingin diusahakan adalah keberkesanan perkhidamatan awam dengan ditingkatkan mutu perkhidmatan. Bukti nyata ialah apa yang dilakukan di bawah kerajaan Negeri PR. Berapa ramaikah kakitangan kerajaan Negeri yang dibuang kalau ada? Jawapannya tidak walau seorang.

Jelas UMNO hanya ingin membohongi bangsa Melayu seperti biasa supaya UMNO kekal berkuasa.

PAS TUNDUK PADA DAP?
Dikatakan juga bahawa PAS terpaksa akur kepada kehendak DAP kerana kalau tidak orang bukan Islam tidak akan mengundi PAS di dalam Pilihan Raya. Maka mereka akan undi siapa? Kalau di Parlimen Shah Alam, sebagai contoh, calonnya dari PAS dan UMNO. Kalau mereka tidak undi PAS, adakah mereka akan undi UMNO? Atau mereka akan mengundi DAP yang tidak bertanding?

Kalau undi DAP maka dikira undi rosak dan sekiranya undi UMNO, maka lagi teruklah akibatnya. Selagi PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam dan menghormati hak bukan Islam seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri, masyarakat bukan Islam akan terus mengundi PAS. Ini adalah kerana UMNO adalah jauh lagi teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Dengan merosakkan Melayu, UMNO merosakkan Negara dan masyarakat bukan Islam memahami perkara ini.

Jelas bahawa sekali lagi UMNO ingin membohongi bangsa Melayu dan bukan Melayu.

KEDUDUKAN KUASA POLITIK MELAYU
Sekiranya PR memerintah di Pusat, kerusi perwakilan Melayu di Parlimen akan tetap seperti sekarang iaitu lebih ramai dari yang bukan Melayu, apabila dijumlahkan keseluruhannya iaitu pemerintah dan pembangkang. Oleh itu, tiada undang-undang atau dasar yang merugikan orang Melayu akan dapat diluluskan sekiranya ada yang berniat melakukannya sekalipun. Maka orang Melayu tidak perlu khuatir atau takut akan masa depan mereka.

Dengan itu mereka boleh turut sama dalam usaha membasmi negara dari budaya politik rasuah, kronisma dan rasis yang dijuarai UMNO dan BN. Ini akan membebaskan masyarakat Melayu dari penjajahan minda Melayu yang dilakukan UMNO selama ini sehingga Melayu terpaksa redha dengan rasuah dan penyelewengan ‘pemerintah Melayu’ atas alasan ‘ingin menjaga kuasa politik Melayu’. Dengan itu bangsa Melayu akan sebenarnya bebas.

Dan akan turut berkembang segar politik Melayu selepas itu setelah dibebaskan dari belenggu yang menghimpitnya selama ini; bebas untuk dicorakkan politik Melayu tanpa rasuah dan kronisma; bebas untuk menuju keredhaan illahi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Friday, December 2, 2011

Khalid Samad: Keluar dewan bantahan paling keras

Pada 26 November yang lalu saya telah selamat tiba ke tanah air dari Gaza dan Mesir pada jam 6 petang. Setelah pulang ke rumah berehat; pada keesokan harinya 27 November saya telah hadir ke majlis walimah di Sek 17 pada sebelah tengah hari, program semarak hijau di Selayang pada sebelah petang dan program Maal Hijrah di Masjid As-Solihin Sek 17 pada waktu malam. Pada hari Isnin 28 November pula saya sempat bersama dengan Dr.Rani untuk bersarapan dan pada waktu malam berkesempatan menghadiri Barbeque bersama unit Amal di Seksyen 19.

RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN

Pada 29 November saya telah hadir ke Parlimen. Rang Undang-undang yang ingin dibahas adalah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011. Amat jelas dari awal lagi, bahawa RUU ini bertujuan bukan untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi sebaliknya bertujuan untuk menyulitkannya. Sedangkan gambaran yang diberi oleh pihak kerajaan ialah ianya bertujuan untuk menjamin hak rakyat untuk berhimpunan secara aman akan lebih terjamin! Seperti biasa, ianya indah khabar dari rupa!

RUU ini telah dibentang pada hari Khamis 24 November oleh PM di Parlimen. Ia telah menghasilkan berbagai respon negatif dari berbagai pihak, sehingga pada hari Selasa, awal pagi lagi diletakkan pindaan kepada RUU yang baru sahaja dibentang itu. Namun, malangnya, pindaannya terlalu bersifat kosmetik sambil mengekalkan semangat asalnya, iaitu untuk mengongkong hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan bersuara. Sehingga ada yang menyatakan peraturan ini adalah jauh lebih teruk dari Negara Myanmar, iaitu sebuah Negara yang diperintah junta tentera!

Ketidak ikhlasan pihak BN dalam membahas RUU ini jelas terbukti apabila masa yang diperuntukkan hanya sehingga jam 4 petang dan hanya 3 orang sahaja dari PR dibenarkan berhujjah, iaitu Anwar Ibrahim, Lim Guan ng dan Hadi Awang. Sedangkan, seperti yang disebut oleh wakil rakyat Gombak, RUU berhubung Kenaf pun diberikan tempoh selama 2 hari! Selain dari RUU Perhimpunan Aman 2011 ini, 5 lagi RUU hendak dibahas pada hari itu!

Jam 12.30 tengah hari kami telah keluar dari dewan untuk menyambut pihak Majlis Peguam yang berarak ke Parlimen untuk membantah RUU ini. Lebih dari seribu peguam telah menyertainya. 10 wakil dibenarkan masuk ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan membantah RUU berkenaan yang mengharamkan terus perarakan dan menyulitkan perhimpunan aman.

Pendirian PR adalah RUU perlu ditarik balik dan diserah kepada sebuah PSC (Parliament Select Committee) untuk dibahas dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan. Ini adalah kerana RUU ini digubal secara tergesa-gesa dan dengan niat yang jahat untuk mengongkong rakyat. Maka, setelah menyatakan pendirian ini, kami telah memutuskan untuk meninggalkan dewan kerana tidak bermakna untuk kita menyatakan ianya perlu ditarik balik dan dibahas di peringkat PSC tetapi kita terus membahasnya di dalam dewan! Sekiranya PR terus membahaskannya di dalam dewan, maka tindakan tersebut akan bercanggah dengan pendirian yang telah dibuat sendiri!

Ada yang menyatakan bahawa ahli parlimen PR perlu terus membahasnya dan menentangnya sehingga ke peringkat pengundian. Apabila kita keluar dewan dengan melakukan "walk-out" maka dianggap bahawa kita tidak menentangnya habis-habisan. Mereka yang bertanggapan sebegini mungkin tidak memahami bahawa "walk-out" merupakan bentuk bantahan yang paling keras yang boleh digunakan oleh Ahli Parlimen di dalam sebuah negara yang berpelembagaan. Ianya menunjukkan bahawa perbahasan isu dalam keadaan sedemikian sebagai sia-sia serta tidak bermakna kerana pihak kerajaan tidak mahu mendengar apa jua hujjah dan akan menggunakan majoriti mereka untuk memaksa RUU yang zalim itu untuk terus diluluskan.

Perancangan mereka jelas kelihatan apabila Ahli Parlimen BN mula kembali dari Perhimpunan UMNO di PWTC pada jam 3.30 petang. Mereka hadir di Perhimpunan UMNO, tidak dengar apa jua hujjah dan datang sebelum pukul 4 untuk mengundi menyokong RUU tersebut.

RANG UNDANG-UNDANG PERUMAHAN RAKYAT 1 MALAYSIA

Pada hari Rabu 30 November pula, RUU yang dibahas adalah RUU berhubung Perumahan Rakyat 1 Malaysia atau PR1MA. Sekali lagi ianya merupakan RUU yang indah khabar dari rupa. Kononnya ianya bertujuan untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat termasuk persoalan projek perumahan terbengkalai dan harga rumah yang meningkat jauh lebih tinggi dari apa yang mampu dibeli rakyat. Namun itu hanya suatu "mirage" atau jelmaan imej yang ingin ditonjolkan. Pada hakikatnya, ianya hanya RUU untuk menubuhkan satu lagi perbadanan tanpa adanya kaedah dan pendekatan penyelesaian masalah yang telah dikenal pasti.

Sedangkan badan-badan untuk menangani persoalan ini sudah sedia ada, seperti SPNB dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Yang tiada bukan satu perbadanan, tetapi yang tiada adalah hala tuju yang jelas dan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah. RUU ini kelihatan bertujuan untuk menipu rakyat, memberikan gambaran kerajaan perihatin sedangkan pada hakikatnya tiada apa yang dilakukan.

Ketua Pembangkang menyebut tentang suatu pakatan durjana atau dikenali sebagai "unholy alliance" yang terdiri dari pihak pemaju, bank dan pemimpin politik yang terus menindas rakyat demi kepentingan golongan yang berada. Dan inilah di antara faktor terutama mengapa masalah ini dihadapi oleh rakyat. Perbadanan baru ini tidak akan menghasilkan apa-apa perubahan selain dari perbelanjaan yang lebih kerana membayar gaji CEO dan kakitangan perbadanan ini. Penyelesaiannya terletak pada pemusnahan pakatan durjana ini sehingga kepentingan rakyat diutamakan.

Hakikat bahawa RUU ini merupakan suatu pembohongan di siang hari semakin terserlah apabila wakil rakyat Indera Mahkota menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam Bajet 2012 untuk pembinaan rumah "PR1MA" yang diwawar-wawarkan!

Amat jelas bahawa semua yang dilakukan BN dewasa ini adalah bertujuan untuk memulihkan imej UMNO/BN dalam menghadapi Pilihan Raya ke-13. Ini merupakan pengakuan yang jelas dan muktamad bahawa imej UMNO/BN sememangnya sudah teruk tercalar dan usaha demi usaha perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Namun, saya yakin insyaAllah penipuan UMNO/BN tidak akan berkesan dan rakyat terus menyedari wajah UMNO sebenar.

*Tulisan ini dipetik dari blog Khalid Samad (gambar kiri), wakil rakyat Shah Alam.

Friday, September 30, 2011

UTUSAN kantoi lagik..!!

Mahkamah dapati Utusan bersalah fitnah Khalid Samad

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Utusan Malaysia bersalah memfitnah ahli parlimem Shah Alam, Khalid Samad dalam kenyataan yang disiarkan di muka akhbar berkenaan.

Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham Prasad berkata plaintif (Khalid) telah berjaya membuktikan kenyataan itu - yang diambil dari blog ahli parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin - adalah salah.

Hakim bagaimanapun menarik perhatian mengapa ahli parlimen Bandar Baru Kulim itu tidak dinamakan sebagai defendan.

Mahkamah menolak pelindungan bersyarat sebagai pembelaan dalam kes tersebut kerana hakim berkata kehidupan di Malaysia perlu mengambilkira sensitiviti semua kaum, tidak seperti undang-undang di Australia atau United Kingdom.

Dalam penghakiman lisannya, hakim berkata semua defendan bersalah memuat-turun artikel dari blog tersebut tanpa memeriksa kandungannya (berhubung sensitiviti).

generation 709 220711 khalid samadHakim Sandosham menetapkan 11 Oktober untuk mendengar penghujahan tentang gantirugi.

Beliau berkata, mahkamah mendapati menggelar seseorang sebagai Abu Jahal dan sebagai kafir adalah fitnah.

Dalam saman yang difailkan tahun lalu, Khalid (kiri), dari PAS, menamakan Utusan Malaysia dan ketua pengarang kumpulan
Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak dan penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Ahli parlimen Shah Alam itu mendakwa bahawa pada 11 September 2009, Aziz - selaku ketua pengarang kumpulan kedua-dua akhbar tersebut - dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan fitnah terhadapnya di muka depan akhbar berkenaan.

Beliau juga mendakwa bahawa artikel bertajuk 'Zulkifli bidas Pak Janggut' secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun namanya tidak disebut.

Tuesday, August 16, 2011

Pendekatan UMNO Berbanding Pas

oleh Khalid Samad

Dalam soal menangani persoalan murtad yang hangat diperkatakan ini, pendekatan UMNO dan Pas jelas berbeza. Bagi UMNO, sekiranya mereka berkuasa, maka yang menimbulkan persoalan ini akan ditahan di bawah ISA. Sekiranya mereka tidak berkuasa, seperti di Selangor ketika ini, mereka akan mengapi-apikan semangat orang Melayu supaya bertegang leher dengan pihak Gereja dan dengan masyarakat Kristian secara keseluruhannya.



Bagi Pas, samada berkuasa atau sebaliknya, masalah murtad perlu ditangani dengan usaha mengukuhkan pemahaman Islam di kalangan ummat Islam itu sendiri. Pendidikan Islam mesti diwajibkan di kalangan umat Islam dari peringkat sekolah rendah lagi. Sekolah agama rakyat dibantu dan jangan dicekik dan ditindas sepertimana yang dilakukan UMNO. Kuliyyah agama diperbanyakkan dan institusi Masjid dan Surau dihidupkan semula setelah ianya diusaha untuk dimatikan oleh UMNO. Masalah murtad adalah masalah keyakinan yang tergugat oleh kerana kurangnya ilmu. Maka pemantapan ilmu adalah kaedah yang paling penting.



Pada masa yang sama usaha kebajikan di kalangan ummat Islam dan rakyat ditingkatkan supaya tiada yang terdesak atas kesempitan hidup sehingga sanggup menukar agama mereka. Sepertimana maksud Hadith ‘Ke fakiran membawa kepada kekufuran’. Maka dihayati konsep negra berkebajikan dengan tindakan bersepadu dari kesemua pihak. Untuk memaksimakan manfaat bantuan kepada rakyat, maka rasuah dan pembaziran ditegah sama sekali. Bukan Pas yang membelanjakan RM65 juta untuk mengubah suai kediaman mana-mana pemimpin. Duit sebegitu banyak lebih wajar digunakan untuk menyelesaikan masalah kebajikan rakyat. Dan begitu juga dengan RM12 Billion yang dilenyapkan di PKFZ dan bebagai lagi kebocoran yang berlaku.



Apa yang lebih penting ialah contoh yang dizahirkan dari segi perwatakan pemimpin. Kesederhanaan, ketaatan kepada perintah Allah dan sikap yang adil kepada semua yang menzahirkan kebenaran dan ketinggian Islam. Bukan hanya sekadar retorika tetapi dizahirkan dalam kehidupan politik dan masyarakat secara praktiknya. Sehingga bukan sekadar yang Islam yang telah goyang keyakinannya tertarik kembali, tetapi yang bukan Islam pun akan turut sama hormat dan menghargai.



Pada masa yang sama, sambil itu semua perkara di atas dilaksanakan, dalam suasana percaya mempercayai dan hormat menghormati, maka pihak bukan Islam turut diingatkan akan perjanjian yang termaktub di dalam perlembagaan bahawa usaha memurtad orang Islam ditegah dan dilarang demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang terdapat di negara kita.



Maka adalah jelas, kaedah Pas lebih menyeluruh dan bersepadu dan ia bukan sekadar untuk mengambil kesempatan politik semata-mata. Heboh dicanang apabila ingin diambil kesempatan, tetapi pada masa yang lain berusaha merosakkan ummat Islam melalui fahaman sekular dan assobiyyah. Pendekatan Pas adalah pendekatan penyelesaian yang ikhlas dan bukan bertujuan mengambil peluang untuk menyerang lawan.



Dipetik daripada blog Khalid Samad

Thursday, July 14, 2011

BERSIH 2.0 : Pengalaman Khalid Samad...

Khalid Samad: Bersih 2.0, pengalaman saya

Pengalaman saya bersama Perhimpunan BERSIH 2.0 bermula pada jam 11 pagi apabila saya dengan seorang teman dari PAS Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur. Pada mulanya kami mencuba Lebuh Raya Persekutuan. Ianya sesak dari sebelum Tol Batu 3. Kami cuba pintas melalui Glenmarie. Trafik sesak di hadapan kilang pengedar kereta BMW. Kami memutuskan untuk berpusing balik dan mencuba pula melalui ELITE/PLUS menuju ke KLIA. Masuk di Batu 3, keluar di Tol USJ. Seterusnya menuju ke arah Puchong. Seterusnya kami menyusuri Jalan Gasing dan melalui kawasan Universiti Malaya sehingga keluar di Jalan Pantai. Dari situ terus menuju ke KL Sentral.

Sekatan jalan oleh polis di merata tempat. BN menyusahkan rakyat semata-mata kerana hendak menghalang program yang menegur mereka. Turut bersimpati dengan pihak polis, berpanas dan mendapat sumpahan rakyat berbakul-bakul semata-mata kerana UMNO/BN. Hanya pencuri dan BN yang bergembira dengan penggunaan polis secara sebegini. Tetapi, kalau difikirkan, memang terdapat persamaan di situ. Pencuri mencuri secara ‘illegal’, BN mencuri harta rakyat melalui cara ‘legal’.

Setibanya kami di jalan Brickfields, saya turun di tepi jalan dan berjalan kaki menuju ke KL Sentral. Terserempak dengan sahabat bermotosikal dan membonceng ke hadapan kawasan KL Sentral. Berjalan kaki pula menuju ke Hotel Hilton yang berada di sebelahnya. Saya berjalan berhampiran beberapa anggota polis tetapi mungkin oleh kerana saya bertegur sapa seorang pelancong dari Australia dan bersembang sambil berjalan dengan beliau, mereka tidak perasan akan saya. Mungkin juga saya dianggap sebagai ‘pemandu pelancong’ ataupun tourist guide.

Saya masuk ke Hotel Hilton dan dari lobi, terus menuju ke atas untuk bersama pimpinan. DSAI telahpun berada di situ bersama Dato Ambiga dan Lim Kit Siang. Beberapa pimpinan PAS juga sudah di situ apabila saya sampai. TG Hj Abdul Hadi sampai pada jam 1 tengah hari. PC dibuat dan mereka menyatakan secara jelas apa itu BERSIH 2.0 dan matlamat yang ingin dicapai. PR juga menyatakan sokongannya terhadap BERSIH 2.0.

Selepas solat Zohor yang diimamkan TG Hj Abdul Hadi kami mula bergerak ke bawah. Sampai sahaja kami ke Lobi, pelanggan di restoran di kawasan Lobi hotel itu tiba-tiba berdiri dan menepuk tangan menunjukkan sokongan. Termasuk pelancong-pelancong yang mengikuti perkembangan Negara, mereka semua faham apa yang kami inginkan akan membawa kebaikan untuk Negara. Hanya UMNO tidak mahu faham kerana mereka lebih pentingkan kebaikan diri mereka sendiri!
Ada dikalangan pelanggan, bangun untuk turut bersama. Sambil menunggu tadi, mereka minum di restoran hotel, membawa business juga pada hotel tersebut nampak gaya!

Kami keluar pintu utama Hotel dan terus tuju ke bangunan KL Sentral. Sambil keluar saya menoleh ke belakang dan mata saya mengesahkan, tiada meja yang diterbalikkan, tiada kerusi yang dicampak dan tiada bahagian yang dibakar di Hotel Hilton! Kami himpunan aman, bukan perusuh.

Sambil keluar saya melihat hari sedang hujan. Hujan rahmat yang akan mengurangkan kesan keperitan gas pemedih mata, terfikir saya. Bila tiba di salah satu pintu masuk KL Sentral, ada anggota polis yang cuba menghalang kami dari masuk, tetapi tidak berjaya. Kami masuk ke dalam dan tiba-tiba, orang ramai yang berada di dalam bersorak menyambut ketibaan kami. Jumlah yang asalnya hanya berpuluh, tiba-tiba disertai ramai yang telah berada di dalam, menjadi beratus! Kami terus mara dan keluar dari bangunan KL Sentral, dibawa melalui tangga besi ke tingkat bawah.

Yang menyertai kami di KL Sentral terdiri dari rakyat biasa yang menyokong kami. Mereka menunggu kami dan sambil menunggu, mereka membeli minuman dan makanan di kedai-kedai di KL Sentral. Semasa mereka bangun untuk menyertai kami, tiada kedai yang dibakar, kerusi yang dibaling atau meja yang dipecahkan. Kerana kami berhimpunan secara aman yang ingin menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, bukan perusuh. Kami ingin lawan melalui pilihan raya, bukan melalui huru hara. Itu sebab pilihan raya perlu adil dan bersih.

Di tingkat bawah, kami berada di kawasan yang bagaikan sebuah terowong, kiri kanan berdinding. Mereka yang di depan membawa kami terus mara lagi menuju ke jalan keluar untuk ke Stadium Merdeka. Bila sampai di pintu ‘terowong’ tiba-tiba kelihatan satu barisan anggota FRU menghalang jalan. Kami berada lebih kurang 20 meter dari mereka. Kami berhenti, pimpinan berada di saf hadapan. Saya di saf yang ketiga. Tiba-tiba berbunyi siren dari belakang. Landrover FRU menuju ke arah kami dari belakang, inginkan laluan untuk ke depan. Kami memberinya laluan tanpa apa-apa tindakan khianat dari pihak kami.

Setelah landrover tersebut berada di hadapan, saya menoleh ke belakang, ingin melihat sekiranya ada pasukan FRU yang sedang mara ke arah kami. Orang sudah ramai, beresak-esak, dalam keadaaan kebimbangan kerana kami terperangkap dalam terowong tanpa adanya jalan keluar. Di depan FRU dan di belakang pun sudah begitu. Kami datang bukan untuk berentap dengan FRU tetapi BN menghantar FRU untuk menyerang kami.

Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan dan dengan serta-merta, cermin-mata saya terpelanting ke depan. Asap gas pemedih mata mula berkepul-kepul. Tembakan datang dari depan dan belakang. Pada saat itu saya terfikir saya perlu mencari cermin-mata kerana semua menjadi kabur tanpanya. Tetapi suasana kelam kabut menyedarkan saya bahawa itu tidak mungkin saya lakukan. Gas pemedih mata mula terhidu. Saya teringat beg plastik yang berada di dalam kocek seluar saya dan dengan segera membukanya sehingga dipenuhi udara serta bernafas melaluinya dengan menutup hidung dan mulut saya dengannya. Beg plastik itu adalah pembalut baju BERSIH 2.0 yang diberikan kepada saya semasa diatas.

Pada ketika itu saya tidak sedar bahawa kepala saya terkena kelonsong gas pemedih mata dan sudah mula berdarah. Saya bersama rakan saya dari Shah Alam, saudara Zainal, yang ditugaskan untuk menemani saya, bergegas ke belakang dan ternampak ‘lubang’ di tepi dinding di sebelah kanan kami. Kami menuju ke lubang tersebut.

Sambil ke sana saya melihat A. Samad Said terduduk tersandar di tepi dinding. Beliau orang lama, pasti umurnya lebih 70 tahun. Dia tentu tidak mampu untuk beredar dari terowong yang semakin penuh dengan gas pemedih mata. Turut kelihatan beberapa pemuda yang duduk bersama beliau.

Semasa sidang akhbar sebentar tadi A. Samad Said turut bercakap. Beliau berkata, telah tiba masanya untuk sasterawan terlibat dalam pencorakan Negara kerana kerosakan yang semakin melanda. Saya kagum dengan beliau. Kebiasaannya, orang seperti dia akan berehat di rumah, bermain dengan anak cucu. Malangnya kebobrokan pemerintah memaksa beliau ke jalan raya, walaupun sudah cukup berusia. Mengapa? Kerana dia tidak ingin mewariskan kepada yang muda suatu negara yang hancur dan budaya politik yang muflis dari segi akhlak dan amanah! Celaka BN kerana merampas ketenangan zaman usia emas darinya!

(Khalid Samad sejurus selepas terkena botol gas pemedih mata yang ditembak ke atas kepalanya. Ketika gambar diambil, kepala sudah berbungkus dengan kain puteh)

Kelihatan juga beberapa wanita yang terduduk di atas jalan, tercungap-cungap kepedihan, hadiah dari BN yang ingin terus mempertahankan proses pilihan raya yang kotor. Mereka sedar akan risikonya tetapi mereka ingin juga melihat perubahan dan keadilan. Apa akan mereka warisi sekiranya kepincangan diteruskan dan kekayaan negara terus disalah-gunakan? Oleh itu mereka datang walaupun tahu kemungkinan mereka akan dilayani sebegitu rupa oleh BN.

Pada ketika itu saya tersedar bahawa beg plaktik yang saya bernafas melaluinya sudah mula basah, berisi dengan sesuatu cecair yang berwarna gelap. Sahabat saya lantas memberitahu saya bahawa saya telah terluka di bahagian kepala. Beg plastik dipenuhi darah!

Saudara Zainal membawa saya terus menuju ke lubang yang kelihatan tadi. Terpaksa kami melalui di bawah dua batang paip air untuk sampai ke lubang tersebut. Sebaik sahaja melalui lubang itu, kami dapati kami memasuki kawasan pembinaan. Ada beberapa pekerja di situ. Kami bertanya jalan keluar dan dengan segera mereka menunjukkan kami jalan untuk melepas diri.

Zainal meminta saya berhenti dan baju Bersih 2.0 yang saya pakai di atas baju T-shirt saya digunakan untuk membalut kepala saya untuk mengurangkan pendarahan. Pada masa itu kelihatan baju saya penuh dengan kesan darah. Saya duduk sambil dia dan beberapa lagi rakan seperjuangan membalut kepala saya. Ada bersama pemuda dari kawasan Selayang. Ada juga pemuda dari Sarawak! Pemuda dari selayang memberikan saya tuala kecil yang sudah dibasahkan untuk membersihkan muka dari kesan darah.

Sambil itu semua dilakukan, dua orang lagi pemuda keluar dari kawasan pembinaan tersebut untuk mendapatkan teksi untuk saya. Bila ada teksi ditahan, maka mereka memanggil saya untuk menaiki teksi tersebut. Zainal menutup kepala saya dengan beg plastic kuning yang dia bawa bersama. Takut luka dibasahi hujan. Pemuda Sarawak memberi pula jaket hitamnya untuk menutup kepala saya juga, takut air hujan akan membasahi luka saya.

Saya dan Zainal menaiki teksi dan meminta pemandu membawa kami ke Hospital. Pemandu itu melihat pada saya dan terus menyedari saya salah seorang yang menyertai perhimpunan BERSIH. Dia nampak saya sedang cedera dan dengan segera dia membawa kami pergi. Sambil dalam perjalanan dia cukup berhati-hati, mengelak kawasan yang dijaga polis.

Setibanya kami di Hospital, di bahagian kecemasan, saya dibawa untuk bertemu doktor yang bertugas. Pembantu Hospital (HA) ramai bertanya akan keadaan di Kuala Lumpur sambil menunjukkan sokongan mereka terhadap apa yang diusahakan. Sambil berbincang saya dicucuk dengan cucukan anti-tetanus, tekanan darah dibaca dan keadaan jantung diperiksa melalui ECG. Orang biasa yang berada di hospital turut bertanya apa yang sedang berlaku. Sambil menunggu keluarga mereka yang dirawat, sokongan mereka terhadap apa yang dituntut oleh BERSIH jelas disuarakan.

Ada seorang peserta himpunan aman BERSIH yang cedera telah tiba di Hospital sebelum saya. Beliau lagi parah. Kelongsong gas pemedih mata terkena di dadanya dan melantun ke atas melanggar dagunya. Tulang dagunya patah menyebabkan dia tidak boleh bercakap dengan jelas.

Para doktor dan jururawat yang merawat saya begitu bersimpati dengan usaha kami. Sambil menjahit luka saya setelah kepala di x-ray, ada yang bertanya kehairanan terhadap cara perhimpunan itu ditangani. “Apa salahnya? Kenapa tidak dibenarkan sahaja? Apa yang diminta sememangnya patut” kata salah seorang doktor sambil menjahit 6 jahitan dikepala saya. “Kami sokong, tapi terpaksa menikus” katanya lagi.

Itulah Malaysia, negara kesayangan kita semua. Bumi di mana golongan bijak pandai ditakut-takutkan. “Kalau bersama himpunan BERSIH, tindakan akan diambil! Semua pegawai kerajaan diharamkan untuk berserta! Mahasiswa, mahasiswi, pensyarah, cikgu-cikgu, kalau terlibat, nahas kamu!” kata-kata perangsang pemerintah yang memerintah melalui penindasan dan ugutan. Ya Malaysia, bukannya Myanmar ataupun Kampuchea di bawah Pol Pot. Kehebatan negara ini dan segala kelebihannya hancur di tangan pemerintah yang mementingkan diri.

Itulah sebabnya perubahan itu perlu. Perubahan demi membebaskan Malaysia dari barisan pemimpin yang sudah lupa diri, tenggelam dalam harta dan kemewahan yang dicuri dari rakyat. Ianya hanya dapat dilakukan sekiranya pilihan raya itu adil dan bersih. Itulah sebabnya mengapa usaha BERSIH perlu diteruskan.

(Kesan jahitan pada kepala Khalid Samad)

Pada masa itu waktu sudah pukul empat petang. Saya menerima sms bahawa TG Hj. Abd Hadi telah ditahan. DSAI dihantar ke hospital kerana turut cedera. Lebih kurang 1,400 orang ditahan polis. Tetapi, LKS tidak mampu ditahan polis walaupun beliau ‘separuh rabun’ kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata! Sedangkan beliau bersama di saf hadapan. Adakah ini merupakan sebahagian dari tipu muslihat mereka? Ingin ditonjolkan kononnya bahawa hanya Melayu sahaja yang terlibat sambil mengelakkan kemarahan masyarakat Cina?

Namun demikian, maklumat seterusnya yang saya terima melalui SMS menyatakan, himpunan BERSIH 2.0 berjaya dihadiri berpuluh ribu rakyat berbilang kaum di beberapa tempat termasuk di Stadium Merdeka dan Pudu Raya! Sambil itu, perhimpunan turut diadakan di beberapa bandar utama di serata dunia!

Saya kembali ke rumah selepas itu, walaupun perit gas pemedih mata masih terasa dan luka di kepala masih menyengit, tetapi hati tetap gembira dengan kejayaan perhimpunan tersebut. Saya kemudiannya dikunjungi beberapa sahabat yang kembali dari Kuala Lumpur. Mereka menceritakan pengalaman mereka sambil ingin tahu keadaan saya. Semua merasa bangga dengan kejayaan perhimpunan tersebut dan tiada sesiapa, termasuk saya, merasa kesal kerana telah bersama. Ini adalah kerana, kami telah turut menyertai suatu perhimpunan yang telah melakar sejarah dalam mencorak masa depan tahah air. InsyaAllah, angin perubahan kencang akan terus kekal bertiup di bumi Malaysia ini!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Thursday, June 23, 2011

Lifeline for Gaza - betulkah terselit kelaku Hudoh UMNO/BN dalam program ini..???

Flotilla 2, Lifeline for Gaza (LL4G) dan Penglibatan Saya

Oleh Khalid Samad

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2011/january/23/j23shah_alam_mp_khalid_samad_.jpgSaya dihubungi oleh beberapa sahabat dari NGO Islam pada sekitar bulan Mei dan ditanya samada saya berminat untuk menyertai misi Life Line for Gaza ke-2. Saya diberitahu ianya akan seperti misi yang pertama dan kapal Mavi Marmara akan turut digunakan sepertimana sebelum ini. Ahli Parlimen dan NGO ‘Islamist’ dari seluruh dunia akan turut menyertainya. Tarikh yang dianggarkan adalah pada bulan Jun. Saya turut dimaklumkan bahawa penyertaan Ahli Parlimen PAS amat dialu-alukan.

Program ini, seperti yang dahulu, dianjurkan LL4G, satu pakatan atau gabungan (coalition) NGO Islam yang telah lama istiqamah dengan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Palestine seperti Haluan Palestine, Muslim Care, Yayasan Amal dan Aqsa Syarif. Pada masa yang sama, saya turut dimaklumkan bahawa NGO Turkey, IHH, akan memainkan peranan utama, sepertimana dahulu.

Berdasarkan maklumat ini, maka saya telah menyatakan persetujuan saya untuk bersama. Penderitaan rakyat Palestine diketahui umum. Oleh itu tidak perlu saya ceritakan di sini. Mereka mengharapkan dunia, khususnya dunia Islam dan pencinta keadilan untuk membela nasib mereka. Kita tidak boleh membenarkan dunia lupa kezaliman yang sedang dialami rakyat Palestine. Misi yang seperti ini mampu menjadikan kezaliman Zionis berita muka depan akhbar seluruh dunia. Dengan itu, penyelesaian yang adil bagi rakyat Palestine akan diusahakan, termasuk membatalkan sekatan ke atas Gaza.

Tergambar dalam pemikiran saya suasana yang diceritakan kumpulan sahabat yang telah bersama dengan misi LL4G pertama. Saya dimaklumkan bahawa siang dan malam semasa mereka berada di atas kapal Mavi Marmara telah dipenuhi dengan program-program tazkirah, dzikir serta solat sunnat, termasuk Tahajjud. Suasana sebegitu memberikan mereka kekuatan untuk menghadapi cabaran yang bakal dihadapi mereka dengan penuh keyakinan akan pertolongan Allah. Sehingga, apabila berlaku apa yang telah berlaku, mereka langsung tidak gentar, walaupun berhadapan dengan tentera Israel yang bengis dan lengkap bersenjata. Ini adalah berkat dari keikhlasan mereka itu.

Pada 12 Jun, saya telah memohon restu pimpinan tertinggi PAS untuk saya mewakili parti dalam misi ini. Saya turut memaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah dijemput berucap bersama Perdana Menteri dalam program pelancaran misi ini. Berdasarkan maklumat tersebut, permohonan saya itu telah dipersetujui dan saya merasa gembira di atas restu serta sokongan yang diberikan.

Sehari selepas itu, saya diberitahu sahabat yang bergiat dalam sebuah NGO bahawa kapal Mavi Marmara dan dua lagi kapal besar telah menarik diri. Oleh itu, jumlah peserta dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, terpaksa dikurangkan dari 20 (saya difahamkan pada asalnya) kepada 10 orang sahaja. Seterusnya saya juga dimaklumkan bahawa misi kali ini tidak akan seperti yang pertama. Beberapa NGO yang telah memainkan peranan utama sebelum ini tidak akan menyertainya. Saya mula kedengaran ketidak terlibatan Haluan Palestine, Yayasan Amal, Aqsa Syarif dan lain-lain. NGO Turkey yang ke depan dalam misi pertama, iaitu IHH juga tidak akan lagi memainkan peranan utama sepertimana dulu. Ini dikatakan ada kena-mengena dengan suasana pelarian dari Syria yang memasuki Turkey.

Walaupun dalam suasana seperti itu, saya tetap meletakkan harapan misi ini akan dapat diteruskan dengan semangat yang sama seperti dulu. Pada masa itu, saya mengharapkan program pelancaran yang akan dilakukan pada 18 Jun akan meletakkan misi ini atas satu asas yang kukuh dari sudut keikhlasan perjuangan membela nasib rakyat Palestine. Hakikat bahawa program itu akan dilancarkan oleh PM dan Timbalan Presiden PAS akan turut berucap mewakili PR serta Khairy Jamaluddin mewakili BN adalah, bagi saya, bukti bahawa perkiraan politik diketepikan sama sekali dalam usaha ini.

Pada 17 Jun, sehari sebelum pelancaran misi LL4G (2), saya dimaklumkan secara peribadi oleh pihak LL4G bahawa mereka dihubungi pihak PM dan diberitahu bahawa Timbalan Presiden PAS tidak dibenarkan berucap! Sekiranya terus ingin membenarkan beliau berucap, maka PM tidak akan hadir dan Aman Malaysia akan menarik diri dari menyertai misi tersebut. Pihak LL4G memaklumkan kepada saya, “sebagai NGO, kita amat memerlukan penglibatan PM dan Aman Malaysia serta kerjasama Wisma Putra dan sebagainya. Apa harus saya lakukan?” Saya hanya mampu menyebut bahawa ianya terpulang kepada dirinya untuk memutuskannya. Sebagai NGO, maka beliau harus berkecuali dan ucapan dari kedua-dua pihak akan membuktikan bahawa LL4G tiada affiliasi politik. Itulah sebabnya mengapa beliau menjemput kedua pihak pada asalnya.

Saya seterusnya bertolak ke Perak pada petang itu kerana mempunyai program di Batu Kurau pada malam 17 dan di Bukit Gantang pada 18 Jun.

Pada 18 Jun, semasa saya di Bukit Gantang, saya telah dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah tidak hadir kerana telah diberitahu bahawa dia tidak akan dibenarkan berucap. Malahan, sepanduk-sepanduk di tempat program pelancaran turut diubah-suai dengan meletakkan pita bagi menutup nama Tuan Haji Mohd. Sabu dan Khairy. Lencana NGO-NGO tertentu turut ditutup kecuali lencana LL4G dan Aman Malaysia. Kawan-kawan saya yang hadir ke program tersebut memaklumkan ianya berjalan bagaikan program UMNO.

Ketidak-ikhlasan pihak PM dengan menuntut supaya Timbalan Presiden PAS tidak berucap amat menduka-citakan. Ianya jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai motif politik dan ini mencemarkan niat disebalik misi ini. Tindakan mereka untuk mendapatkan keuntungan politik dari penderitaan rakyat Palestine dengan percubaan menenggelamkan keterlibatan PAS dan hanya menonjolkan peranan mereka dianggap keterlaluan.

Sejurus itu saya telah dihubungi beberapa rakan NGO dan ahli parti untuk menarik diri. Saya hanya mendiamkan diri. Namun ianya jelas bahawa UMNO ingin membersihkan nama mereka melalui misi ini setelah dipalitkan dengan Israel melalui perlantikan APCO sebagai penasihat kerajaan BN. Hakikatnya, UMNO TIDAK PERNAH menyokong perjuangan Hamas, parti politik pilihan rakyat Palestine. Sebaliknya, mereka bersama Fatah, parti Yasser Arafat. Sedangkan Gaza dikenakan sekatan kerana ianya dibawah Hamas. Sehingga hari ini kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf Hamas.

Pada 20 Jun saya telah bertolak ke Saudi. Pada ketika itu, tarikh bertolaknya misi LL4G (2) masih tidak disahkan. Menurut sumber yang tertentu, mungkin 23 atau 26 Jun, tetapi mungkin ditangguh seminggu.

Pada 21, setibanya saya di Saudi, saya telah dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah menafikan bahawa dia telah diberikan tekanan untuk menggugurkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohd. Sabu sebagai penceramah pada malam pelancaran misi. Saya terkejut dengan kenyataan beliau kerana beliau sendiri yang telah bercakap dengan saya mengenai tekanan tersebut! Kenapa dia perlu menipu? Tidak cukupkah dengan pengguguran tersebut, adakah perlu dirosakkan lagi suasana dengan penipuan demi membela Najib? Maka jelas, pada mulanya ditekan supaya menggugurkan Tuan Haji Mohd. Sabu dan kemudiannya ditekan sekali lagi untuk menafikan berlakunya ugutan serta tekanan!

Dalam masa yang saman, penafian beliau menjadikan kenyataan Tuan Haji Mohd. Sabu seolah-olah tidak benar dan bermotifkan politik. Sedangkan merekalah yang berniat jahat dan mengugut penganjur demi kepentingan politik mereka dengan menipu membenarkan Najib serta menjadikan orang lain sebagai mangsa.

UMNO membuktikan sekali lagi bahawa ianya parti yang sentiasa berusaha untuk menipu rakyat dan menghalang kebenaran dari terserlah. Saya masih ingin menyertai walaupun misi ini walaupun ketika ini dikelilingi dengan pemainan politik, penipuan serta ketidak ikhlasan. iAllah saya akan ke Mekah pada petang ini (22 Jun) dan di hadapan Kaabah saya akan beristikharah mengenai penglibatan saya dalam misi ini. Misinya penting seperti yang saya sebutkan di atas, namun tidak perlu saya terlibat sekiranya ia bermatlamatkan kepentingan politik UMNO dan untuk dijadikan hujjah untuk menipu rakyat. Kononnya mereka membela rakyat Palestine sedangkan sumbangan mereka kepada APCO sebanyak RM 147 Juta dalam tempoh dua tahun amat disyukuri Israel.

Misi yang semulia ini tidak sepatutnya dicemari melalui putar-belit politik serta penipuan dan pembohongan seperti yang telah berlaku. Belum apa-apa lagi, ianya sudah jelas, misi LL4G (2) tidak akan seperti yang pertama. Sebenarnya, Flotilla pertama dahulu tidak diambil tahu pun oleh pihak kerajaan BN sehinggalah apa yang telah berlaku. Sekembalinya mereka, maka mereka disambut oleh Najib dan segala kepura-puraan bermula selepas itu. Cuma bezanya pada kali ini, ianya bermula dari awal lagi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Sunday, June 19, 2011

Misi Palestin: Umno-BN tidak ikhlas, cari nama

http://www.7iber.com/wp-content/uploads/viva-palestina1.jpeg
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kesal dengan tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengambil kesempatan mencari nama sehingga lupa tujuan utama membantu umat Islam Palestin dalam misi kemanusiaan ke Gaza hujung bulan ini.

Khalid mendakwa Umno-BN mempunyai agenda tertentu dalam “International Freedom Flotilla 11″ sehingga beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Pakatan Rakyat digugurkan dalam Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia malam tadi di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, dekat sini.

Menurutnya, antara NGO itu termasuklah Aman Palestin dan Cakna Palestin (wakil daripada Kelantan).

Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam misi itu berkata sepatutnya isu berkaitan Palestin adalah isu bersama dan umat Islam perlu bersatu.

“Saya dukacita kerana Umno-BN tidak menunjukkan keikhlasan untuk anjur program ini kerana mereka sedar Pakatan dan NGO daripada

Pakatan turut serta dan berjaya mengumpulkan semua pihak dan bersatu dalam misi ini.

“Jelas Umno-BN ada agenda merencanakan sesuatu untuk ambil alih program ini sehingga wakil PAS, Timbalan Presiden kami Mohamad Sabu digugurkan daripada berucap ketika majlis malam tadi.

“Tindakan Umno-BN ini juga dilihat mahu membersihkan nama selepas pendedahan Apco. Jadi mereka mahu jadi hero di mata rakyat dan ambil kesempatan asalkan niatnya tercapai,” katanya ketika dihubungi FMT.

Menurut Khalid, beliau masih mempertimbangkan penyertaannya dalam misi itu yang dijadualkan pada 23 Jun ini.

Khalid berkata beliau merasa ‘berat hati’ untuk turut serta walaupun sudah memasang niat menyertai misi itu sejak Fortilla 1 lagi.

“Saya masih memikirkan hal ini kerana rasa berat hati untuk turut serta. Saya akan berbincang dengan sahabat-sahabat PAS lain untuk membuat keputusan selanjutnya,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

LL4G adalah sebuah gabungan NGO Malaysia, akan menyertai bersama lebih 600 sukarelawan antarabangsa daripada pelbagai bangsa dan agama, dalam Misi Kemanusiaan “International Freedom Flotilla 11” ke Gaza hujung bulan ini.

Kesemua kapal antarabangsa ini dijangka berada di lautan pada 27 atau
28 Jun ini.FMT

Friday, June 10, 2011

UMNO tidak faham konsep perjuangan Pas: Khalid Samad

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/02/Pm-Umno.jpg

UMNO dikatakan tidak memahami konsep yang diperjuangkan oleh Pas berikutan dakwaan yang mengatakan Pas telah menyimpang dari dasarnya selepas menggunakan cogan kata ‘Negara Berkebajikan’.


Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad ketika menulis dalam blognya berkata,istilah ‘Negara Berkebajikan’ bagi ahli Pas ialah ‘sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’ (Perlembagaan PAS fasal 5).

Menurutnya, sejak cogan kata tersebut diperkenalkan, pelbagai isu yang dilaung-laungkan.

"Antaranya ialah bahawa kononnya Pas sudah menggugurkan matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR serta DAP. Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan Pas adalah ‘Negara Berkebajikan’ dan bukannya ‘Negara Islam’.

"Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan kata tertentu, sebaliknya ia mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut.

"Selagimana perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir berdasarkan perlembagaan yang digunapakai," katanya.

Khalid yang menulis dalam entri bertajuk "Coretan Muktamar Pas ke 57 turut berkata, istilah ‘Negara Berkebajikan’ digunapakai kerana Pas ingin memberi penegasan kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat.

"Istilah ‘Negara Islam’ tidak digunapakai kerana penekanan melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan Pas. Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk menghasilkan kebajikan kepada manusia, termasuk dalam takrif ‘berkebajikan’ itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan.

"Dalam erti-kata yang lain, istilah ‘Negara Berkebajikan’ membawa rakyat untuk melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah ‘Negara Islam’ memperlihatkan mekanisma dan perundangannya.

"Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya adalah ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur’ atau ‘Negara yang baik serta pengampunan dari Tuhan’. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak," tambahnya lagi.

Beliau yang turut mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia yang mendakwa Pas menolak kepimpinan ulama berkata, pemilihan merupakan pimpinan parti bukan pertandingan ‘Anugerah Ulama’ terbesar di dalam Pas.

"Ianya pemilihan untuk memilih orang yang dianggap paling mampu membuat kerja tertentu. Dalam soal ini, Ulama’ atau bukan ulama’ tidak relevan sama sekali. Yang relevan, siapa yang boleh membuat kerja-kerja berkenaan. Soal kepimpinan ulama’, ianya telah diinstitusikan dalam Pas melalui terbentuknya Majlis Syura Ulama’. Jika ingin memilih ahli Majlis Syura, barulah persoalan ulama’ atau tidak diambil kira," katanya.

Dengan adanya Majlis Syura Ulama, Pas dikatakan akan sentiasa dibawah kepimpinan ulama.

"Inilah sebabnya perlembagaan Pas dipinda pada tahun 80an dahulu dan ditambah peruntukan ‘Majlis Syura Ulama’.Oleh yang demikian, Majlis Syura inilah sebenarnya yang paling berpengaruh kerana ia memantau dan menentukan semua yang dilakukan PAS tidak bercanggah dengan Islam," kata Khalid dalam blognya.


Sumber dari blog Khalid Samad

Tuesday, June 7, 2011

Bidas 'Pak Janggut': Permohonan Utusan ditolak

Perbicaraan penuh saman fitnah yang difailkan ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad terhadap Utusan Melayu (Malaysia) ialah pada 25 Julai.

NONEPesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Prasad Sandosham Abraham menetapkan dua hari bermula 25 Julai untuk mendengar saman itu setelah menolak permohonan Utusan Melayu mengenai isu permulaan sama ada perkataan aduan dalam artikel itu merujuk kepada Khalid (atas, kiri).

Peguam Rohanidah Shafee yang mewakili Utusan Melayu memberitahu pemberita bahawa mahkamah memutuskan perkataan yang disiarkan dalam artikel itu boleh merujuk kepada plaintif (Khalid), dan mahkamah menetapkan dua hari untuk mendengar saman itu.

Mahkamah membuat keputusan itu dalam kamar setelah mendengar hujah-hujah daripada Rohanidah dan peguam Mohamed Hanipa Maidin untuk Khalid.

NONEDalam saman itu yang difailkan tahun lalu, Khalid daripada PAS, menamakan Utusan Malaysia dan Ketua Pengarang Kumpulan Mingguan Malaysia Datuk Aziz Ishak dan penerbit Utusan Malaysia serta Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Khalid mendakwa bahawa pada 11 Sept, 2009, Aziz, sebagai Ketua Pengarang Kumpulan untuk kedua-dua akhbar itu, dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan memfitnah terhadap beliau di muka hadapan akhbar tersebut.

Beliau juga berkata bahawa artikel itu bertajuk "Zulkifli bidas "Pak Janggut" secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun nama beliau tidak disebut.

Khalid mendakwa bahawa perkataan itu merujuk kepadanya kerana beliau adalah ahli parlimen Shah Alam dan beliau seorang yang berjanggut.

NONEBeliau mendakwa bahawa perkataan itu, dalam interpretasi asal dan biasanya, bermakna beliau bersedia untuk memanipulasi surah dalam Al-Quran untuk mempertahan perkara pembinaan sebuah kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam; beliau tidak menghormati Al-Quran; dan beliau seorang yang menyeleweng.

Katanya perkataan, yang tidak benar, telah memfitnah beliau dan menyebabkannya mengalami penghinaan dan mereka dengan sengaja menyiarkan perkataan-perkataan itu tanpa membuat sebarang pengesahan.

Khalid berkata artikel itu dibuat dengan niat jahat untuk mensensasikan berita bagi menjual kedua-dua akhbar tersebut.

Beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan kemudaratan teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Defendan, dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 7 Jan, berkata berita itu diterbitkan oleh mereka berdasarkan komen ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dalam blognya pada 9 Sept, 2009.

Mereka mendakwa bahawa berita itu diterbitkan lagi sebagai kenyataan awam Zulkifli.

- Bernama