Monday, August 27, 2012

Kupasan Isu Nasharudin dan Karpal oleh Khalid Samad

Khalid Samad: Isu Nasharudin dan Karpal
Khalid Abdul Samad
Khalid Samad
 
SAMBIL kita tengah sibuk menghayati bulan Ramadan, tercetus pula isu baru, Ustaz Nasharudin Mat Isa meminta Pas keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan menuduh Karpal Singh sebagai anti-Islam kerana menolak hudud!

Soal Ustaz Nasha bersama Najib di Makkah dan bertindak sebagi penterjemah hanya menzahirkan betapa Umno ketandusan ulama.

Tiada orang lainkah dalam Umno? Sama ada ia sandiwara atau sebaliknya, kita tidak perlu memikirkannya. Kalau Ustaz Nasha hendak berumrah bersama Rosmah pun tidak menjadi masalah bagi saya.

Hanya yang menjadi pertikaian ialah kenyataan beliau berhubung Pas agar perlu keluar dari PR dan bagaimana Pas tunduk pada DAP.

Lagu dan irama lama, didendangkan kembali untuk menutup peristiwa pergolakan di Sabah. Kalau benar beliau ikhlas, mengapa tidak dibawanya ke dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat? Sebaliknya mendiamkan diri seribu bahasa sambil bergendang di luar di dalam pangkuan Umno/BN.

Bukan lagi menjadai satu rahsia bahawa beliau sudah lama tidak bersama Pas dari segi semangatnya. Semenjak terlibat dalam perundingan Pas Umno pasca-PRU 2008 beliau kelihatan berbeza.

Mungkinkah ada umpan yang terkena dan tidak dapat dilupai rasanyakah? Bertambah pula dengan kekalahannya dalam pertandingan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang digambarkan oleh wartawan ‘The Star’ sebagai kali pertama melihat beliau kehilangan senyuman yang bagaikan sentiasa terpahat di bibirnya, sehingga menurutnya lagi terus tidak hadir pada hari terakhir muktamar Pas pada tahun itu.

Pendedahan Pas Kelantan bahawa beliau tidak lagi disenaraikan sebagai calon sudah pasti diketahui lebih awal oleh dirinya sendiri.

Masa depannya bersama Pas seolah-olah semakin malap dan jalan permaidani merah yang biasa dilaluinya sudah tidak lagi kelihatan.

Maka oleh itu tidak mustahil beliau mencari pilihan yang lain bagi diri dan masa depannya. Mungkin sepertimana Hassan Ali, beliau menganggap dirinya tidak lagi dihargai Pas dan sebaliknya lebih dihargai pihak sebelah sana.

Dalam pada itu, pertelingkahan beliau dengan Karpal pula boleh dianggap agak melucukan. Dituduhnya Karpal ‘anti-Islam’ kerana menolak Hudud! Wooooit! Hudud ditolak oleh Karpal seorang sahajakah?

Untuk makluman semua, Umno/BN sudah lama menolak hudud dan itulah sebabnya ia tidak dilaksanakan di negara kita! Mengapa pula tidak diistihar Umno/BN sebagai anti-Islam? Kerana mungkin itu tidak menepati ‘game-plan’ Umno/BN?

Orang bukan Islam menolak hudud, malahan agama Islam itu sendiri, adalah perkara biasa. Nama pun bukan Islam. Tetapi persoalannya, mengapakah Umno yang mengaku Islam menolak? Tidakkah sepatutnya beliau mengistiharkan yang di sebelahnya dalam gambar di Mekah itu sebagai anti-Islam terlebih dahulu sekiranya penolakan hudud adalah hujjah untuk mengisytiharkan seseorang itu anti-Islam!
* Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

No comments:

Post a Comment