Oleh: WFAUZDIN NS
ADA desakan yang meminta PAS mendesak DAP agar memecat Pengerusinya Karpal Singh kerana Karpal dilihat lantang menentang hukum Hudud. Pertamanya secara peribadi aku tidak bersetuju dengan cara Karpal yang langsung tidak berhikmah atau bijak di dalam menyuarakan pendapatnya. Ada yang mahu menyamakan isu Karpal ini dengan isu pemecatan Hasssan Ali oleh PAS.
Mereka mendakwa jika PAS boleh pecat Hassan Ali, mengapa DAP tidak boleh pecat Karpal Singh? Benarkah isu ini boleh disamakan? Apa salah Karpal Singh terhadap DAP dan apa pula salah Hassan Ali terhadap PAS?
Baiklah, kita semua tahu sejak dahulu lagi bahawa DAP tidak pernah bersetuju dengan hukum Hudud dan hal ini PAS pun maklum lama sudah. PAS pula konsisten untuk memperjuangkan hukum Islam termasuk hukum Hudud walaupun dengan berbagai pendekatannya. Pendirian PAS yang tegas ini pun DAP sudah lama tahu.
Apabila Karpal sejak dari dahulu lagi lantang menentang hukum Hudud, apakah kerana itu Karpal mesti dipecat? DAP memang tidak menyokong hukum Hudud, dan Karpal menyebut benda yang selari dengan prinsip DAP, salahkah Karpal? Begitu juga PAS tetap tegas memperjuangkan hukum Hudud, dan pendirian PAS ini dipertahankan secara lantang oleh Ketua Pemuda PAS, Us Nasruddin Tantawi. Salahkah Us Nsdruddin? Jawapannya, kedua-duanya tidak salah kepada parti masing-masing TETAPI amat tidak bijak di dalam pendekatannya terutama oleh Karpal Singh.
Ketidak bijaksanaan Karpal itu tidak sampai ke peringkat DAP perlu memecat beliau. DAP boleh bertindak dengan menegur Karpal Singh di atas ketidak bijaksanaan beliau itu. Karpal tidak boleh memaksa PAS berpendirian sama seperti DAP kerana PAS mempunyai dasarnya yang tersendiri. Buat Us Nadruddin Tantawi pula, beliau bertindak bijak apabila terus lantang bersuara SELAGI Karpal Singh bersuara mengkritik dasar PAS tersebut.
Mengapa mahu disamakan dengan apa yang menimpa Hassan Ali? Amat jauh bezanya. Hassan Ali dipecat kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan keputusan Majlis Syura PAS. Beliau mengkritik Dasar Negara Berkebajikan yang telah dipersetujui oleh Majlis Syura sebagai satu pendekatan PAS tanpa menggadaikan matlamat penubuhan Negara Islam termasuk hukum Hudud. Itu bezanya.
Karpal Singh memang tidak bijak langsung di dalam menyuarakan dasar partinya tanpa menghormati dasar PAS. Ketua Pemuda PAS pula bertindak bijak membela PAS dari terus dikritik oleh Karpal. Maka, di dalam isu ini tiada kena mengena langsung dengan Hassan Ali. Menyamakan isu ini dengan isu Hassan Ali hanyalah kerja puak-puak yang mahu melihat PAS dan DAP terus berbalah, dan kerja ini biasanya adalah kerja pihak yang spesisnya lebih kurang Umno juga.
Sebelum aku tutup bicara, mari kita fikirkan secara lojik iaitu seandainya Karpal Singh atau DAP menyokong hukum Hudud, adakah kita fikir Umno akan terima dan laksanakan Hudud? Kalau DAP konsisten sejak dahulu menentang rasuah, itu pun Umno tidak mampu untuk menghalang rasuah di kalangan pemimpinnya, adakah Umno mampu laksanakan perkara lebih besar seperti hukum Hudud ini? Jadi yang lebih penting buat kita adalah kuburkan Umno dahulu kerana Umno lah sebenarnya penghalang hukum ini.
No comments:
Post a Comment