Karnival Gaya Hidup Pemadam 14-16 September di Stadium Darul Aman
ALOR SETAR - Masalah keruntuhan moral dan penagihan dadah semakin menjadi-jadi di begara ini. Disebabkan itu, kerajaan negeri Kedah dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia mengambil inisiatif mengadakan Karnival Gaya Hidup Pemadam di Stadium Darul Aman.
Exco Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat & Komunikasi, YB Dr Ismail Salleh berkata, bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat Kedah mengenai masalah penagihan dadah yang sedang kini serius maka kerajaan negeri akan mengadakan program ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sidang media berkenaan dengan Karnival Gaya Hidup Pemadam, di sini.
“Kita nak beritahu kepada masyarakat bagaimana cara nak mengatasi masalah yang serius ini.
“Dulu masalah penagihan dadah hanyalah melibatkan heroin, candu dan ganja tetapi kini penagihan dadah juga melibatkan penggunaan pil-pil seperti pil khayal, ecstacy dan banyak lagi,” terangnya.
Katanya lagi, berikutan Kedah berdekatan dengan Thailand dan mempunyai pantai yang panjang ianya memudahkan kemasukan pelbagai jenis dadah.
Oleh itu, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat maka kerajaan negeri akan menjalankan program ini selama tiga hari berturut-turut iaitu pada 14,15,16 September, bertempat di Stadium Darul Aman.
“Program tersebut akan bermula pada lapan pagi sehinggalah tengah malam. Antara aktiviti pada hari pertama, di sebelah siang adalah kayuhan basikal di setiap daerah terpilih bagi mengedarkan risalah berkaitan dengan dadah, pertandingan mewarna, memasak, gubahan, pertandingan futsal dan net ball serta kuliah agama oleh Ustaz Azhar Idrus pada sebelah malam.
“Pada malam ke duanya pula akan diadakan malam kesenian Islam yang akan diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid terkenal iaitu kumpulan Hijjaz atau Rabbani,” katanya.
Sambungnya, sebelum itu, pertandingan nasyid dan dikir barat akan diadakan. Kumpulan yang menang akan dapat bersama dengan kumpulan nasyid Rabbani atau Hijjaz pada malamnya.
Pada petang hari penutup 16 September, Menteri Besar juga akan turun padang dan dijangkakan 200 hingga 300 ribu hadirin akan hadir program ini.
No comments:
Post a Comment