Friday, August 31, 2012

Kemeriahan dari Jalan Sultan ke Dataran Merdeka

 
KUALA LUMPUR 31 OGOS: Rakyat Malaysia berbilang kaum dan dari semua lapisan semalam memilih untuk menyambut ambang Hari Merdeka dengan caranya tersendiri – dengan berbaju kuning dan berarak dari Jalan Sultan hingga ke Dataran Merdeka.

Sekitar 3000 peserta berpakaian kuning dan hijau menyertai perarakan “Selamatkan Jalan Sultan” dengan meriah dan bersemangat sebelum bergabung dengan ribuan lagi peserta himpunan Janji Demokrasi yang siap menanti di sekitar kawasan Dataran Merdeka.

Himpunan tersebut berarak memenuhi sepanjang Jalan Sultan sambil melaungkan slogan-slogan ‘Merdeka’, ‘Bersih’ dan ‘Selamatkan Jalan Sultan’. Turut kelihatan bersama ialah Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Pengerusi gabungan NGO Pertahankan Warisan Kita Haji Ishak Surin dan beberapa orang wakil NGO yang lain.

 Dataran Merdeka ‘dikuningkan’
Biarpun tiada bunga api dan konsert anjuran kerajaan, Dataran Merdeka tetap meriah walaupun tiada sebarang acara rasmi malam tadi seperti tahun-tahun yang lalu. Malah, rakyat yang berkunjung ke Dataran Merdeka disambut dengan papan tanda “Kawasan ini di tutup di tutup untuk semua aktiviti”.

Walau bagaimanapun, pagar penghadang, papan tanda, kawalan polis dan penguatkuasa DBKL tidak berjaya menghalang perkumpulan rakyat pelbagai kaum untuk duduk bersama meraikan malam ambang Hari Merdeka dengan laungan Merdeka! Demokrasi! dan Bersih!

Perhimpunan di Dataran Bangunan DBKL tersebut turut menyaksikn tokoh sasterawan Negara A.Samad Said mendeklamasikan sajak beliu berjudul “Janji Demokrasi”.


Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,
kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.
Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya
kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.
Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!
Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang
mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang;
dan seragam gelombang kuning – diri kita yang sejati –
menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti,
menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!
Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;
di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.
Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.
Kita laungkan jerit senyaringnya: “Janji Demokrasi!”
sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!

Roketkini.com mengucapkan selamat menyambut

Hari Merdeka ke 55. “Sebangsa, Sejiwa, Senegara” – Roketkini.com


No comments:

Post a Comment