KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan agar peguam Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin memfailkan notis taksiran ganti rugi saman beliau terhadap Utusan Malaysia.
Arahan tersebut telah dikeluarkan oleh timbalan pendaftar, Mazuliana Abd Rashid di pejabat pendaftar mahkamah pagi ini.
Menurut peguam Mohammad Zamri Ibrahim, timbalan pendaftar telah melapangkan tarikh agar peguam-peguam Nizar memfailkan taksiran ganti rugi mengikut di bawah akta yang baru diwartakan.
[Gambar: Zamri (kiri) bersama Nizar dan peguam di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.]
"Kita diarahkan agar memfailkan taksiran ganti rugi dan selepas itu barulah tarikh ditetapkan untuk pendengar taksiran berapa ganti rugi bagi kes tersebut," katanya kepada media di lobi mahkamah.
Menurutnya lagi pada waktu pendengaran tersebut barulah ditetapkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh Utusan Malaysia.
"Penghakiman telah kami perolehi dan sekarang hanya perlu failkan taksiran ganti rugi," sambung beliau lagi.
Dalam pada itu, perbicaraan tidak akan berlaku kerana Utusan Malaysia tidak pernah memfailkan permohonan mengenepikan penghakiman tersebut.
Manakala bagi kes saman TV3 ditetapkan pada 19 September nanti untuk tujuan pegurusan kes bagi peguam plantif, Nizar memfailkan jawapan terhadap pihak defenden, TV3.
Hakim Datin Yeoh Wee Siam menetapkan tarikh tersebut di kamarnya pagi tadi.
Mohammad Zamri menjelaskan perjalanan kes saman terhadap TV3 itu masih panjang melainkan pihak TV3 bersetuju untuk menyelesaikannya pada 19 September nanti.
"Jika TV3 ingin membuat penyelesaian kita akan pertimbangkan sebaik-baiknya tetapi jika mereka ingin meneruskan maka perbicaraan akan diteruskan," tambah beliau.
Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu telah memfailkan saman fitnah pada 10 Julai lalu kepada dua media pro Umno iaitu Utusan Malaysia dan TV3 berhubung isu bidaan plat kenderaan WWW 1.
Namun pihak Utusan Malaysia dan TV3 tidak memberi respons untuk memohon maaf dalam tempoh yang telah diberikan.
No comments:
Post a Comment