ALOR SETAR – Kemeriahan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar pada tahun ini amat terasa apabila menerima kunjungan orang ramai di luar jangkaan, dianggarkan lebih 40 ribu menghadirinya.
Jika sehari sebelum (Jumaat) sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar hujan di bumi Kedah begitu lebat dan berterusan selama sehari. Namun, dengan izin dan kurniaan Allah, pada hari Sabtu, cuaca amat baik tidak mengahalang rakyat Jelapang Padi menziarahi kediaman rasmi Menteri Besar ini.
Malah, kesesakan lalulintas juga tidak menghalang mereka untuk berkunjung ke rumah terbuka ini. Ada di kalangan mereka yang sanggup berjalan sejauh lima kilometer untuk ke Seri Mentaloon.
Orang ramai dari pelbagai kaum mula membanjiri Seri Mentaloon seawal jam 9 pagi walaupun masa yang dijadualkan bermulanya majlis sekitar 11 pagi bagi membuktikan kesejahteraan di kalangan rakyat Kedah. Walaupun terpaksa berasak-asak mereka tetap gembira dan berpuas hati kerana dapat berkunjung ke kediaman pemimpin yang dekat di hati rakyat. Hidangan yang disajikan juga disediakan seawal pagi untuk tidak membuatkan orang ramai menunggunya dengan lebih lama.
Majlis yang berlanjutan sehingga 5 petang menyediakan pelbagai menu makanan seperti nasi dagang, sate, murtabak, laksa, soto, lontong, bihun sup, mee goreng mamak, tapai, koey teow kerang, keropok lekor, kuih raya, buah-buahan, ketupat dan rendang dan lain-lain.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, pihak penganjur memastikan makanan yang disediakan mencukupi dengan kehadiran orang ramai yang di luar jangkaan.
Kemeriahan majlis turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Bendahara Kedah (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah), Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Bendahara Kedah serta Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri turut hadir bagi memeriahkan majlis ini sekaligus rakyat Kedah dapat melihat dengan lebih dekat pemimpin-pemimpin mereka.
Rata-rata pengunjung yang setiap tahun datang majlis ini merasakan tahun ini adalah yang lebih meriah dan mereka berpuas hati dengan layanan serta keadaan suasana yang terkawal sepanjang berlangsungnya majlis ini.
Para petugas juga tidak kenal erti penat lelah untuk melayan serta menyambut tetamu yang tidak henti-henti mengunjungi rumah terbuka ini.
Rumah terbuka tidak meriah jika tidak diserikan dengan kegembiraan dan keriuhan kanak-kanak untuk mendapat duit raya. Maka, pihak penganjur menyediakan puluhan ribu ringgit untuk diberikan kepada kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment