KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
USAH DISEKAT KEINGINAN RAKYAT SAMBUT MERDEKA
12 Syawal 1433 bersamaan 30 Ogos 2012
Himpunan Janji Demokrasi telah diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram oleh Polis DiRaja Malaysia kerana gagal memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan berlangsung di Dataran Merdeka pada malam ambang merdeka. Hanya kerana notis serta kebenaran menggunakan Dataran Merdeka, menyebabkan Himpunan Janji Demokrasi yang turut sama mahu menyambut merdeka tidak diizinkan berlangsung. Walhal, kerajaan awal-awal lagi promosikan sambutan hari kemerdekaan negara dengan mengajak seluruh rakyat hadir bagi memberikan sokongan sebagai tanda kemeriahan sambutan itu.
Sambutan Hari Merdeka adalah milik rakyat Malaysia yang cintakan negaranya. Sesiapa sahaja perlu digalakkan menyambutnya sebagai tanda mengingati negara yang mendapat kemerdekaan penuh pada tarikh 31 Ogos setiap tahun. Malangnya, dengan pengharaman ini, ada sebilangan rakyat ternafi untuk menyambut kemerdekaan negara dengan cara mereka. Apakah sambutan hari kemerdekaan hanya untuk versi yang direstui oleh kerajaan semata-mata?
Sepatutnya, PDRM memberikan sokongan penuh kepada himpunan ‘Janji Demokrasi’ yang bertujuan menghidupkan sentimen patriotik terhadap rakyat negara ini. Bukan mudah mendapatkan ‘crowd’ yang hadir dengan ikhlas dan sukarela tanpa imbuhan atau paksaan sepertimana himpunan ‘Janji Ditepati’ yang dianjurkan oleh kerajaan.
Dalam keadaan kerajaan berhabis duit jutaan ringgit untuk promosikan hari merdeka dengan memujuk rayu dan berkempen agar rakyat mengibarkan jalur gemilang, rakyat masih memandang dingin kempen tersebut. Malah, dikerah hadir pula ramai golongan penjawat awam bagi menjayakan sambutan Himpunan Janji Ditepati. Mengapa pula apabila ada sekelompok rakyat yang membantu menjayakan promosi kerajaan ini pula mahu disekat?
Mungkin tema Janji Demokrasi agak berlainan sedikit dari tema utama kerajaan UMNO-BN, namun yang penting mereka juga merayakan hari merdeka dan mengiktiraf tarikh 31 Ogos 2012 sebagai hari bersejarah negara. Yang utamanya adalah PDRM hanya perlu pastikan himpunan Janji Demokrasi tidak melanggar batas undang-undang dan perlembagaan negara. Jika itu dapat dipatuhi, tiada salahnya rakyat merayakan hari kemerdekaan negara mengikut versi mereka.
Disebalik kesemua ini, mungkin timbul satu persoalan, apakah kerajaan sebenarnya takut jika himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka lebih berjaya dari Himpunan Janji Ditepati? Mungkin apa yang dibimbangkan sangat jika Himpunan Janji Demokrasi lebih mendapat sambutan, kerajaan pasti menanggung malu yang amat besar kerana rakyat memilih untuk bersama himpunan Janji Demokrasi berbanding himpunan Janji Ditepati. Mungkin itu signal yang jelas tahap kebersamaan rakyat dengan BN dan mungkin akan menangguhkan terus tarikh PRU ke 13 sehingga ke waktu penamatnya pada bulan April 2013 kelak.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment