Muhammad Adam Lee bin Abdullah,
Sejak 55 tahun kemerdekaan Malaya/Malaysia, sering kita didendangkan dengan pelbagai isu sensitif yang menyentuh soal-soal perkauman dan keagamaan, seolah-olah kita masih belum bersatu padu sebagai warga negara yang aman lagi prihatin, terutamanya menjelang pilihan raya.
Namun begitu, sepanjang pengamatan saya perkara dasar yang menimbulkan segala kekusutan ini ialah pertentangan di antara yang haq (benar) dan yang batil (palsu). Pertentangan ini berlaku meskipun diperjuangkan oleh para kepimpinan sebangsa lagi seagama, sekaligus akan kelihatan masing-masing pihak cuba mengheret rakan taulan daripada bangsa dan agama lain ke arah agenda mereka.
Fakta sejarah telah membuktikan hal ini dengan tertubuhnya PAS pada tahun 1951, 6 tahun pra-merdeka, akibat keinsafan golongan ulama prihatin dalam Umno. ketika itu Umno yang yang direstui British ini sedikit demi sedikit mulai melencong daripada dasar perjuangan asal -- menuntut kemerdekaan total.
Mungkin dari satu sudut, taktik Umno ketika itu adalah baik dan boleh diterima majoriti, namun, dengan dasar sekularisme yang kemudiannya dijadikan sebagai tonggak perjuangan, seterusnya ditegarkan lagi dengan fahaman asabiyah keterlaluan, menjerumuskan parti ini ke kancah jati diri yang sehingga kini tak terselesai. Malah, ia semakin kalut apabila satu-persatu tembelangnya berderai dipukul gelombang perubahan massa yang semakin terjaga dan celik maklumat.
Kini, permintaan dan cadangan Tun Mahathir agar PAS bersatu kembali dengan Umno dan melaksanakan hudud sudah tidak memberi makna sewajarnya. Saya sendiri pernah mendengar kenyataan tidak bertanggungjawabnya sebagai pemimpin tertinggi negara itu pada salah satu slot Bulletin Perdana TV3 pada Februari, 1996.
Kepada Mahathir dan Umno, andainya diri jahil, lebih baik diam. Dibimbangi sekalian amal kalian yang dirasakan bertimbun banyaknya itu tertolak lagi sia-sia kerana mensyirikkan Allah dan mentakwilkan sesuatu yang bukan haknya, atau dengan ertikata lain, mentafsir agama menurut kepentingan peribadi kalian semata-mata.
Kepada seluruh saf kepimpinan PAS dan PR, saya merayu agar kalian tidak goyah, patah semangat serta bercerai-berai dengan pelbagai taktik jijik ini, sekaligus, saya juga sentiasa mendoakan agar Putrajaya itu nanti dapat kalian tawan dengan penuh hikmah.
No comments:
Post a Comment