Oleh Aspan Alias
Sudah empat hari Ramadhan berlalu dan semua umat Islam merayakan kejayaan sebulan berpuasa dengan sambutan hari raya. Semua pemimpin dan rakyat yang bercakap melalui corong-corong radio dan TV serta media cetak memperkatakan kejayaan melawan nafsu dan belajar dengan sungguhnya untuk tidak mengikuti kehendak nafsu kita. Setiap tahun menjelangnya Syawal semua bercakap perkara yang sama dan sesungguhnya itu semuanya adalah seruan yang benar.
Saya jarang-jarang bercakap tentang kejayaan melawan nafsu dan membuat seruan kepada ramai supaya kita tidak melakukan apa-apa nafsu dan kehendak amarah serta mulhimah itu, kerana saya adalah orang yang lemah dan saya rasa tidak layak untuk membuat seruan itu. Bagi saya usaha memperbaiki diri saya di sisi Tuhan itu adalah untuk diri saya sendiri dan tidak payah berkempen untuk mengerjakan perkara baik seperti yang diserukan di bulan Ramadhan dan ibadah-ibadah dan amalan kita yang lain.
Saya adalah insan yang lemah dan tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan saya tidak layak untuk membuat seruan kerana saya mesti membuat seruan itu kepada diri saya sendiri.
Persoalannya apakah kerja-kerja yang wajar kita tinggalkan di dalam bulan Ramadhan dan seterusnya kepada bulan-bulan dan tahun yang seterusnya itu? Ramadhan mensyaratkan kita untuk melakukan ibadah yang telah disyariatkan agama, Tuhan dan Rasul kita. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima itu. Rukun itu merupakan pra syarat untuk kita menjadi seorang Muslim. Ini semua kita tahu.
Tetapi yang tidak terlerai sehingga hari ini ialah sama ada apa yang diserukan oleh pemimpin-pemimpin terutamanya benar-benar dilakukan dan dilaksanakan dengan sesungguhnya? Saya bertanya kerana saya dan semua orang mendengar seruan yang sama oleh pimpinan yang sama sejak puluhan tahun yang lalu tetapi pimpinan yang sama juga yang melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan seruan mereka sendiri.
Walaupun berulang-ulang kali perutusan hari raya disiarkan oleh saluran TV setiap siang dan malam sejak lima hari yang lepas, tidak ada sekali pun saya mengikutinya sampai habis kerana saya dan ramai lagi yang berpendapat itu hanya merupakan seruan retorik yang hanya dilakukan kerana semata-mata untuk melakukannya. Seruan itu tidak serius. Mungkin lebih dari itu ialah hanyalah sebagai usaha memancing sokongan politik rakyat semata-mata.
Nasib baiklah kita mempunyai saluran TV yang banyak. Apabila perutusan itu disiarkan saya menukar kepada saluran yang lain yang belum menyiarkan perutusan itu. Saya tidak tahan dengan hipokrasi yang terpancar di depan saya itu.
Saya tahu rasuah yang merupakan tindakan nafsu tamak haloba yang ditegah agama itu tetap juga akan berlaku selepas Ramadhan itu. Seruan PM kita untuk berbelanja secara wasatiyah itu tidak akan beliau lakukan. Pemborosan tetap berlaku dan kita boleh melihat bagaimana wang kita semua dibelanjakan di depan mata kita tanpa had untuk berbelanja hari raya.
Seruan untuk menyeru rakyat berbilang kaum untuk bersatu kerana itu adalah tuntutan agama kita juga tidak terlaksana kerana di belakang dada media kita melihat dan mendengar bagaimana UMNO memainkan isu perkauman dan agama dilakukan oleh penyokong-penyokong UMNO dan BN di mana-mana. Orang-orang UMNO di bawah-bawah memainkan isu Cina…cina…dan cina, tetapi di corong radio dan saluran TV seruan bersatu berkumandang yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpi rasis ini.
Perpecahan terus-terusan dicipta dan dilakukan dengan tahap ‘gila-gila’ dan kita pun berfikir sampai bilakah kita hendak dipecahkan belahkan oleh isu rasis mainan Melayu UMNO yang amat merbahaya ini?
Kalau benarlah kerajaan inginkan perpaduan nasional seperti yang diretorikkan, kenapa masih ada isu-isu rasis yang diperbesarkan oleh penyokong-penyokong kerajaan sekarang ini. Kenapa begitu tamak seolah-olah Putrajaya itu hanya untuk BN dan UMNO sahaja untuk mendudukinya?
Kita mesti ingat mereka yang menduduki Putrajaya itu bukannya duduk di atas tanak hak milik kekal. Mereka semuanya itu ibarat duduk di tanah TOL (temporary occupancy license) sahaja.
Jika mereka yang mendiami tanah TOL di Putrajaya itu melanggar syarat dan moral yang telah ditetapkan, rakyat wajar menghalau mereka dari tanah TOL itu. Mereka (BN) tidak ada hak untuk menentukan siapa yang rakyat hendak pilih untuk mendudukinya.
Putrajaya itu rakyat yang punya. Najib dan semua pemimpin UMNO dan BN mesti memasukkan hakikat sebenarnya ini ke dalam kepala dan pemikiran masing-masing.
Lagi sekali kita ingatkan, pejabat-pejabat di Putrajaya itu hanyalah premis yang bertaraf TOL (temperory occupancy license) sahaja dan ia bukannya hak milik kekal. - http://aspanaliasnet.blogspot.com
No comments:
Post a Comment