Showing posts with label Mohamed Taulan Mat Rasul. Show all posts
Showing posts with label Mohamed Taulan Mat Rasul. Show all posts

Thursday, November 22, 2012

Isu PAPUA NEW GUINEA - SPRM dah angkat semua file.. jika ada yg bersalah sila dakwa

Tiada dakwaan rasuah atau penyelewengan isu balak di Papua


ALOR SETAR – Masih belum terdapat dakwaan rasuah mahupun penyelewengan terhadap kegagalan projek pembalakan di Papua New Guinea yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, sekiranya terdapat dakwaan membabitkan rasuah dan penyelewengan, kerajaan negeri tidak akan melindungi mereka yang bersalah.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah masuk dan sebahagian besar fail bukan di tangan kita (kerajaan), telah diberi kepada SPRM.

“Ingin saya tegaskan di sini, sekiranya ada terbabit apa-apa dengan rasuah, kita terbuka untuk dibawa ke muka pengadilan,” jelas beliau ketika menjawab soalan lisan yang dikemukan oleh YB Dato’ Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak).

YB Dato’ Dr Ku Abdul Rahman mahukan penjelasan apakah tindakan kerajaan negeri terhadap kegagalan ini dan juga kepada pihak pengurusan yang terlibat.

Dalam laporan audit, penemuan mendapati kedudukan kewangan Kedah Corporation Berhad (KCB) adalah lemah kerana mencatat kerugian pada tahun 2008 hingga 2010, yang mana kerugian dialami akibat daripada kerugian yang ditanggung dalam projek pembalakan di Papua New Guinea.

Menurut YB Dato’ Ir Amiruddin, jumlah RM134 juta yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 itu merupakan jumlah pinjaman dibuat oleh KCB dengan firma Capital Investment Agency yang berpusat di London.

Pinjaman tersebut bagi membiayai pengambilalihan 70 peratus kepentingan dalam MAS Incorporated (PNG) Ltd yang memperolehi kawasan pembalakan di negara Papua New Guinea.

“Setelah melihat perkembangan usaha untuk majukan projek ini tak berkesudahan, terlalu banyak kewangan perlu diletakkan untuk memastikan ia berjalan, maka lembaga pengarah memutuskan untuk hentikan projek ini.

“Berlakunya kegagalan projek ini adalah disebabkan pelaksanaan projek yang banyak dipengaruhi maklumat-maklumat yang tidak betul dan disembunyikan oleh pemegang asal saham (MAS Incorporated),” jelas beliau.

Bagi menjawab soalan tambahan YB Dr Leong Yong Kong (BN-Gurun) mendakwa sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan sejak Mac 2008, banyak penyelewengan didedahkan.

“Tahun kita (PR) memerintah masih tiada kes-kes rasuah dan penyelewengan dikemukan dan dibuktikan oleh SPRM,” ujar beliau.

Thursday, November 17, 2011

Kedah Tunggu Kelantan Untuk Laksanakan Hudud

ALOR SETAR, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah akan menunggu Kelantan melaksanakan undang-undang hudud terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah diberitahu Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Taulan Rasul berkata mereka mahu melihat kejayaan pelaksanaan undang-undang itu di Kelantan ia telah diluluskan di negeri itu.

"Kelantan dah luluskan Enakmen Jenayah Syariah dan menunggu kebenaran kerajaan pusat. Kerajaan pusat masih belum memberi kebenaran," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Sultan Kedah ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah dan Rang Undang-Undang Peruntukan 2012 oleh Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata undang-undang Islam adalah satu kewajipan terhadap umatnya dan perkara itu tidak sepatutnya dipermainkan oleh mana-mana pihak.

"Apa yang berlaku di Kelantan adalah masalah pelaksanaan. Kalau Kelantan boleh melaksanakannya, ia boleh berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan Datuk Amiruddin Hamzah berkata Kulim Hi-Tech Park masih mampu menarik pelaburan, walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa kawasan perindustrian baru terutama Senai Industrial Park.

Beliau berkata beberapa syarikat telah membesarkan operasi mereka dan menambah pelaburan di kawasan itu.

"Kadar penyewaan tanah di kawasan itu meningkat daripada 59 peratus tahun lepas kepada 88 peratus tahun ini. Ini menunjukkan Kulim Hi-Tech Park masih ada tarikan kepada pelabur," katanya.

Amiruddin berkata bagi tempoh 2008 hingga 2011, dalam keadaan terpaksa bersaing hebat dengan kawasan industri lain, jumlah tanah yang dimasuki pelabur adalah 35.2 hektar berbanding 2004 hingga 2007 iaitu sebanyak 42.8 hektar.

"Dalam misi pelaburan, Kulim Hi-Tech Park berbelanja secara berhemah. Dakwaan satu misi perdagangan Kulim Hi-Tech Park sampai RM1 juta adalah tidak benar," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, August 11, 2011

Sumbangan untuk fakir miskin dan pelajar sekolah

PENDANG – Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pendang telah memberi sumbangan hari raya kepada 94 orang penerima bantuan am dan 123 orang pelajar-pelajar sekolah.

Selain itu sebanyak 10 buah basikal turut disumbangkan kepada pelajar-pelajar sekolah yang terpilih.



Sumbangan-sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB Mohamed Taulan Mat Rasul dan Ahli Parlimen Pendang, YB Dato’ Dr Hayati Osman.



Majlis yang diadakan di Pejabat JKM Daerah Pendang turut dihadiri oleh Pegawai JKM Daerah Pendang.



http://wartakedah.net/images/stories/OGOS2011/sumbangan%20jkm%20pendang.jpg




Sunday, May 15, 2011

Pas dahului UMNO tubuhkan kolej


ALOR SETAR - Cadangan menubuhkan Kolej UMNO atau menawarkan biasiswa UMNO bukanlah suatu pembaharuan kerana Pas sudah lama menubuhkan kolej bagi menyediakan peluang pendidikan.

Exco Agama, Pendidikan dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, Pas menganggap cadangan itu bukanlah sesuatu yang istimewa, sebaliknya hanya cadangan biasa.

“Pas tiada masalah jika UMNO mahu tubuh kolej di bawah parti itu seperti dilakukan MCA sebelum ini. Pas sendiri menubuhkan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (Smidu) di Pokok Sena bersama Kolej Islam Darul Ulum (Kidu),” katanya.

Menurutnya, mana-mana parti politik berhak untuk membuka kolej milik persendirian atau gabungan, dan kemungkinan UMNO baru tergerak hati untuk turut memeriahkan institusi pendidikan negara.

“Sekolah yang diasaskan pada 1992 oleh bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Noor itu kemudian digabungkan dan dikenali sebagai Muassasah Darul Ulum. Sekolah ini bawah pentadbiran Badan Perhubungan Pas Negeri Kedah atas nama Markas Tarbiah Watta’lim. Pada 1998, nama sekolah ini dengan rasminya ditukar kepada nama Sekolah Menengah Islam Darul Ulum,” katanya.

Mohamed Taulan mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir supaya UMNO menawarkan biasiswa dan menubuhkan Kolej UMNO bagi menyerlahkan peranannya dalam pembangunan belia di negara ini.

Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, berkata, kemudahan itu kelak bukan hanya ditawarkan kepada anak ahli UMNO semata-mata tetapi terbuka kepada umum.

Mohamed Taulan berkata, cadangan itu mungkin dibuat setelah UMNO menjadi pembangkang di Kedah dan mahu membuat saranan yang dilihat boleh membawa kebaikan kepada semua pihak.

Sunday, February 6, 2011

17 anak Kedah enggan pulang, 133 tidak dapat dikesan

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 6 Februari - Kumpulan pertama iaitu seramai 154 pelajar Kedah yang sedang menuntut di Mesir telah berjaya dipindahkan ke Jeddah pada 4 Februari lalu.

“Sehingalah awal pagi tadi kumpulan terakhir terdiri daripada 155 pelajar Kedah selamat dipindahkan dari Mesir ke Jeddah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Pelajaran, Koperasi Negeri YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul pada sidang media yang diadakan pejabat Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di sini.

Menurutnya, kini seramai 866 daripada 1,016 pelajar Kedah yang belajar di Mesir selamat dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dan kini sedang menunggu giliran untuk dibawa ke Malaysia.

Semua pelajar dilaporkan dalam keadaan selamat dan sihat dan beliau menasihatkan agar ibu bapa dan waris pelajar supaya jangan bimbang.

Katanya, pihak YINK turut menerima laporan mengenai 17 pelajar enggan pulang dan mahu menetap di Kaherah dengan kebenaran keluarga masing-masing sementara 133 orang lagi tidak diketahui statusnya.

Ujarnya lagi, 17 pelajar ini mempunyai pelbagai alasan untuk terus tinggal di situ kerana masalah pengajian, kewangan selain berasa selamat kerana kawasan penginapan Asrama Darulaman agak jauh dari lokasi pergolakan.

Sehubungan itu mengenai 133 pelajar Kedah yang tidak dapat dikesan ini dipercayai sudah pulang sendiri ke tanah air atau sedang bercuti di luar negara.

Beliau menasihatkan semua pelajar itu menghubungi YINK bagi memaklumkan status mereka bagi memudahkan urusan membawa pulang mereka ke Malaysia

“Sejak tercetusnya pergolakan di Kaherah, Mesir pihak YINK menerima banyak panggilan daripada ibu bapa yang risau akan keselamatan anak-anak mereka disebabkan terdapat segelintir di kalangan mereka tidak dapat menghubungi keluarga masing-masing.

“Jadi dengan memaklumkan status mereka dapat memudahkan pihak YINK mengatur persediaan membantu mereka,” katanya.

Ekoran kejadian itu YINK menghantar empat pegawainya ke Kaherah sejak 3 Februari lepas bagi memantau dan membantu Kedutaan Malaysia terutama pelajar dari Kedah.

Sementara itu Pengurus Besar Yink Haji Abdul Rahman Ismail pula berkata, YINK membuka Bilik Gerakan di pejabatnya 31 Januari lepas bagi membantu ibu bapa mendapatkan maklumat semasa tentang keselamatan anak-anak mereka di Mesir.

Ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menghubungi anak mereka atau ingin mendapatkan status terkini tentang anak-anak mereka boleh datang ke YINK di Jalan Telok Wanjah atau hubungi di talian 04-7302703.[WartaKedah]