Ditulis oleh AMELIA HASHIMALOR SETAR, 6 Februari - Kumpulan pertama iaitu seramai 154 pelajar Kedah yang sedang menuntut di Mesir telah berjaya dipindahkan ke Jeddah pada 4 Februari lalu.
“Sehingalah awal pagi tadi kumpulan terakhir terdiri daripada 155 pelajar Kedah selamat dipindahkan dari Mesir ke Jeddah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Pelajaran, Koperasi Negeri YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul pada sidang media yang diadakan pejabat Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di sini.
Menurutnya, kini seramai 866 daripada 1,016 pelajar Kedah yang belajar di Mesir selamat dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dan kini sedang menunggu giliran untuk dibawa ke Malaysia.
Semua pelajar dilaporkan dalam keadaan selamat dan sihat dan beliau menasihatkan agar ibu bapa dan waris pelajar supaya jangan bimbang.
Katanya, pihak YINK turut menerima laporan mengenai 17 pelajar enggan pulang dan mahu menetap di Kaherah dengan kebenaran keluarga masing-masing sementara 133 orang lagi tidak diketahui statusnya.
Ujarnya lagi, 17 pelajar ini mempunyai pelbagai alasan untuk terus tinggal di situ kerana masalah pengajian, kewangan selain berasa selamat kerana kawasan penginapan Asrama Darulaman agak jauh dari lokasi pergolakan.
Sehubungan itu mengenai 133 pelajar Kedah yang tidak dapat dikesan ini dipercayai sudah pulang sendiri ke tanah air atau sedang bercuti di luar negara.
Beliau menasihatkan semua pelajar itu menghubungi YINK bagi memaklumkan status mereka bagi memudahkan urusan membawa pulang mereka ke Malaysia
“Sejak tercetusnya pergolakan di Kaherah, Mesir pihak YINK menerima banyak panggilan daripada ibu bapa yang risau akan keselamatan anak-anak mereka disebabkan terdapat segelintir di kalangan mereka tidak dapat menghubungi keluarga masing-masing.
“Jadi dengan memaklumkan status mereka dapat memudahkan pihak YINK mengatur persediaan membantu mereka,” katanya.
Ekoran kejadian itu YINK menghantar empat pegawainya ke Kaherah sejak 3 Februari lepas bagi memantau dan membantu Kedutaan Malaysia terutama pelajar dari Kedah.
Sementara itu Pengurus Besar Yink Haji Abdul Rahman Ismail pula berkata, YINK membuka Bilik Gerakan di pejabatnya 31 Januari lepas bagi membantu ibu bapa mendapatkan maklumat semasa tentang keselamatan anak-anak mereka di Mesir.
Ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menghubungi anak mereka atau ingin mendapatkan status terkini tentang anak-anak mereka boleh datang ke YINK di Jalan Telok Wanjah atau hubungi di talian 04-7302703.[WartaKedah]
No comments:
Post a Comment