Friday, February 11, 2011

Harga padi di Kedah kekal RM1,050 satu tan

ALOR SETAR 11 Feb. - Pesawah di negeri ini akan menikmati harga jualan padi yang sama seperti musim lalu iaitu pada kadar RM1,050 satu tan metrik.

Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Radin berkata, ketetapan harga jualan bagi Musim II 2010 itu dipersetujui menerusi perbincangan antara semua pihak yang terlibat dalam industri padi di negeri ini pada 25 Januari lalu.

Katanya, selain PPK MADA, turut serta dalam perbincangan tersebut ialah pengilang-pengilang beras bumiputera dan swasta di seluruh Kedah, wakil syarikat Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) dan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara.

"Setelah meneliti pelbagai aspek, satu persetujuan bersama dicapai iaitu harga jualan padi bagi musim ini ditetapkan sama seperti Musim I 2010," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad berkata, harga yang dipersetujui itu diterima baik oleh para pesawah kerana sehingga kini PPK MADA tidak menerima sebarang rungutan mengenainya.

Menurutnya, antara kawasan yang hampir selesai menuai padi adalah di Wilayah IV MADA (Yan) dan sebahagian di Wilayah III MADA (Pendang dan sebahagian Kota Setar).

"Kawasan-kawasan ini tidak terjejas dengan banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis awal November lalu manakala di wilayah lain proses penuaian sedang berlangsung," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad menasihatkan kepada pesawah-pesawah yang belum menuai tanaman mereka supaya berhati-hati dengan ancaman sejenis kulat dikenali sebagai karah padi yang boleh mengakibatkan kemusnahan kepada pokok padi.

Katanya, ancaman itu dikesan di beberapa kawasan apabila daun padi bertukar menjadi perang dan serangan kulat berkenaan boleh menyebabkan akar pokok padi mati.

''Penyakit karah padi boleh merebak dengan cepat sama ada melalui tiupan angin atau aliran air. Sehubungan itu, saya meminta para petani supaya mengambil perhatian serius dan mencegahnya daripada merebak.

"Jika ancaman karah padi didapati merebak dengan cepat, mereka boleh memaklumkan kepada PPK masing-masing agar tindakan segera dapat diambil bagi memulihkan pokok padi," katanya.

No comments:

Post a Comment