Monday, February 7, 2011

Kedah, Perlis perlu darah

ALOR SETAR 7 Feb. - Pusat Darah Wilayah Utara memerlukan lebih 42,000 unit darah dalam tahun ini bagi memastikan kes pembedahan dan kecemasan di sembilan buah hospital di Kedah dan sebuah hospital di Perlis berjalan lancar.

Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, permintaan darah untuk kes kecemasan dan pembedahan di setiap hospital juga meningkat setiap tahun.

"Di HSB sahaja kami memerlukan antara 90 hingga 100 unit darah dalam sehari dan kira-kira 150 unit darah diperlukan setiap hari untuk dibekalkan ke hospital di Kedah dan Perlis.

"Oleh itu, kami ingin menyeru orang ramai agar tampil untuk menderma darah bagi membantu pihak hospital," katanya selepas merasmikan kempen derma darah anjuran Hotel Holiday Villa dan Lembaga Pelawat HSB di dewan hotel itu di sini hari ini.

Menurutnya, bekalan darah yang mencukupi diperlukan di HSB kerana hospital tersebut merupakan hospital negeri dan menjadi rujukan pesakit di wilayah Utara.

"Pembedahan utama, kes kemalangan dan kes tumpah darah antara kes yang memerlukan bekalan darah yang banyak setiap hari.

"Tambahan pula sekarang adalah musim perayaan dan banyak kes kemalangan berlaku serta menyebabkan bekalan darah berkurangan di hospital," katanya.

Tambahnya, orang ramai juga perlu membuang perasaan takut untuk menderma darah kerana setiap kali mereka menderma darah ujian saringan tahap kesihatan akan dilakukan.

"Hanya mereka yang benar-benar sihat boleh menderma darah dan setiap kali selepas menderma darah badan akan menjadi lebih sihat.

"Saya nasihatkan kepada mereka yang belum menderma darah supaya berbuat demikian untuk kesihatan diri dan membantu orang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment