Sunday, February 6, 2011

PEMIKIRAN PEMIMPIN UMNO DAH SEWEL KE ?

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa Najib memberi respons kepada kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu di negara ini. Najib perlu menyatakan pendiriannnya mengenai isu itu sama ada beliau turut menerima kenyataan Dr Mahathir atau berpandangan sebaliknya. Pendirian tegas itu perlu diambil kerana kenyataan Dr Mahathir sama sekali bercanggah dengan konsep 1 Malaysia.

Pada satu wacana anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Selasa lalu, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu. Oleh sebab itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu. Bekas perdana menteri itu turut menyatakan bahawa nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu. Selaras dengan itu, Dr Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, masyarakat Cina dan India mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding soal kaum dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia. Sehubungan itu Dr Mahathir menambah, jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, bermakna mereka adalah imigiran di negara ini. Najib tidak boleh kekal berdiam diri dalam perkara ini. Dia perlu memberi respons kepada kenyataan Dr Mahathir.

Semua rakyat Malaysia ingin melihat apa pendirian yang hendak diambil oleh Najib, dan sama ada beliau bimbang dengan kesan sekiranya beliau tidak bersetuju dengan pendirian Dr Mahathir itu. Harus diingat bahawa pandangan ahli politik veteran itu secara konsisten memperlihatkan bahawa beliau menentang dasar-dasar yang dibawa oleh Najib seperti konsep 1 Malaysia.

Dari sudut pandangan yang lain, kita dengan jelas boleh melihat bahawa Dr Mahathir tidak gembira dengan Najib. Dari satu segi, Najib telah gagal untuk memahamkan rakyat tentang konsep 1 Malaysia. Jika Dr Mahathir sendiri tidak boleh menerima atau memahaminya, bagaimana rakyat jelata boleh memahami perkara itu? Oleh sebab itu, PR tidak mengiktiraf atau menyokong sebarang pandangan yang tidak menghormati hak kaum-kaum lain dan yang tidak menyumbang kepada proses pembinaan negara.

Kes terbaru ini menyebabkan DAP melabelkan Dr Mahathir sebagai ‘supremacist’. Pada hakikatnya, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyokong pandangan bekas presiden Umno itu. Jika ada, Najib dan Mahathir harus menunjukkan kepada rakyat Malaysia di mana letaknya konsep ‘supremacist’ dalam Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh nenek moyang kita. Najib juga perlu menjelaskan bagaimana konsep 1 Malaysia beliau secocok dengan pandangan yang dibawa oleh Dr Mahathir.

Menurut DAP lagi, Dr Mahathir memperlihatkan “percanggahan” memandangkan beliau bukan sahaja bertindak bertentangan dengan konsep 1 Malaysia, tetapi juga gagasan “Bangsa Malaysia” yang diperkenalkan ketika era kepimpinannya. Dakwaan terbaru itu penuh dengan percanggahan sama ada dengan gagasan Bangsa Malaysia (dibawa Dr Mahathir sendiri) mahupun 1 Malaysia.

Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan rakyat yang komited kepada negara. Kesemua negara bekerja menerusi platform yang sama. Di samping itu, Dr Mahathir berkata gagasan 1 Malaysia dan Wawasan 2020 berbeza kerana beliau mahu mewujudkan satu identiti nasional yang bersifat inklusif. Apabila kita bercakap mengenai 1 Malaysia, orang ramai bercakap mengenai kesaksamaan bagi semua kaum. Mungkin bagi Melayu maksudnya menghapuskan sekolah-sekolah vernakular. Bagi orang Cina dan India pula, 1 Malaysia bermakna menghapuskan hak orang Melayu. Jika begini keadaannya, apa sudah jadi?

Para pemimpin UMNO sudah hilang pertimbangan sekarang ini. Mereka diserang sindrom melalut-lalut sejak dipinggirkan oleh orang Melayu. Apabila orang Melayu tidak menyokong UMNO, mereka mencipta satu istilah untuk menakut-nakutkan orang Melayu, iaitu perpecahan Melayu. Mitosnya ialah kuasa politik Melayu terancam dan bukan Melayu semakin naik tocang. Penyebab-penyebabnya ialah Tuk Guru Nik Aziz dan Anwar Ibrahim. Hakikatnya perebutan kuasa dalam UMNOlah yang menyebabkan perpecahan itu. Parti Melayu Semangat 46 muncul apabila Team B pimpinan Tengku Razaleigh kalah. Parti Keadilan muncul kerana Anwar disingkirkan. Orang lain makan nangka, orang lain yang kena getahnya.

Orang Melayu sudah hilang kepercayaan kepada parti yang dikatakan busuk hingga ke usus itu. Mereka bukan sahaja tenggelam dalam rasuah, pengkhianatan, dan penyalahgunaan kuasa malahan juga berpegang kepada nasionalisme sekularis yang mencorakkan jahiliah moden. Kini mereka cuba memperjuangkan suprimasi Melayu pula. Harus diingat bahawa assabiah juga merupakan satu lagi ciri jahiliah. Mengapa UMNO tidak mahu menjadikan Islam sebagai asas perjuangan? Sekularisme mengajar mereka mengesampingkan dosa dan pahala serta syurga dan neraka.
Semakin hari semakin ramai orang Melayu yang mencintai Islam. Semakin hari semakin ramai golongan non-Muslim yang memahami Islam. Situasi ini menjadikan sokongan terhadap PAS semakin meningkat. Mereka meyakini keadilan Islam. Mereka meyakini tiada perjuangan bangsa dalam Islam. Hanya golongan yang sependapat dengan Dr. M sahaja yang masih mempertahankan perkauman sempit. Ketika semua rakyat Malaysia memperjuangkan keadilan untuk semua, UMNO terus memutarkan isu Ketuanan Melayu tanpa memperhitungkan rakyat telah mengetahui tembelang mereka sebagai pengkhianat bangsa sendiri.

UMNO telah mengetahui orang Melayu tidak sukakan mereka lagi. Jika ada pun yang suka, kewujudannya terhad kepada rebung yang sudah menjadi buluh. Hal ini dapat dilihat di merata tempat. Johor yang menjadi kubu UMNO pun telah mula berubah. Petempatan FELDA dan FELCRA pun tidak lagi menjadi fix deposit UMNO. Kesemua inilah yang mendorong mereka dihinggapi histeria politik ketika ini.

Posted by Drs. Harun Jaafar

No comments:

Post a Comment