Sunday, April 17, 2011

Tunjuk perasaan bermotif politik, bukan untuk kepentingan penduduk

http://wartakedah.net/images/stories/April2011/guaneng.jpg

ALOR SETAR, 17 April - Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kota Darulaman YB Encik Lee Guan Aik menyifatkan tunjuk perasaan oleh segelintir penduduk Batu Satu, Seberang Keretapi di sini adalah berniat jahat terhadap Pejabat Daerah Kota Setar.

Ini berikutan Pejabat Daerah Kota Setar telah memberi surat jawapan kepada surat rayuan mereka bagi mengekalkan lokasi jejambat projek landasan keretapi berkembar Ipoh-Padang Besar yang melintasi Bandaraya Alor Setar.

Menurut YB Lee Guan Aik, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pihak kerajaan telah melakukan kajian dan merancang yang terbaik untuk penduduk kawasan terlibat.

Katanya, menurut surat jawapan itu, laluan bawah jambatan yang dicadangkan ini akan dinaiktaraf yang membolehkan kenderaan ringan melalui jalan itu termasuklah lori kecil, kereta dan motosikal.

“Laluan bawah jambatan hanya sejauh 500 meter sahaja dari tapak jejambat yang dibatalkan pembinaannya disebabkan teknikal dan kepentingan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau yang dibesarkan sekitar kawasan itu menegaskan kampung itu terdiri daripada 350 buah keluarga dan kebanyakan aktiviti harian mereka menggunakan laluan jalan di Simpang Kuala.

Katanya, rancangan menaiktaraf laluan bawah jambatan keretapi itu dibuat setelah pihak terlibat mengadakan mesyuarat dan berbincang setelah mengambil kira kepentingan penduduk setempat dan dari segi teknikal.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana terdapat pihak tertentu yang berkepentingan politik mempengaruhi penduduk terlibat mengadakan perhimpunan menentang projek naik taraf laluan bawah jambatan keretapi.

“Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana bukan semua penduduk kampung-kampung berkenaan tidak setuju. Saya tahu kerana saya membesar di situ dan mereka bagi alasan bimbang laluan itu akan ditenggelami banjir.

“Ujarnya lagi, kita tidak boleh elak dari banjir. Lebuhraya sekalipun terputus apabila dilanda banjir besar dan laluan yang akan dinaitaraf itu akan mengambil kira semua aspek termasuklah banjir,” katanya.

1 comment:

  1. UMNO Kedah dah kehabisan modal, inilah akibatnya berketuakan orang yang sempit akal.
    Sepatutnya UMNO Kedah membersihkan emej mereka yang tercalar, lihat tepi kain sendiri dulu sebelum mengata orang.

    ReplyDelete