Friday, July 29, 2011

Arab Saudi tiada kaitan keganasan

YAN 29 Julai - Kerajaan tidak pernah menganggap negara di rantau Asia Barat termasuk Arab Saudi sebagai negara yang mempelopori keganasan serta ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebaliknya kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara di rantau itu kerana tidak bukti yang boleh mengaitkan mana-mana negara dengan aktiviti keganasan.

"Bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menjaga hubungan yang terjalin antara negara luar termasuk Arab Saudi, Jordan, Iraq dan sebagainya.

"Selain itu, kita ambil pendekatan berhati-hati agar unsur-unsur keganasan tidak cuba dibawa masuk ke negara ini kerana ia akan membawa perpecahan," katanya selepas merasmikan projek Nadi Kasih di Bukit Besar di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan Felo Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady baru-baru ini yang mengaitkan Arab Saudi dengan keganasan atau fahaman sesat.

Selain itu, dalam taklimat sama, 40 ulama muda termasuk bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin didedahkan sebagai mempunyai kaitan dengan fahaman Wahabi dengan Arab Saudi bertindak sebagai dalang di sebalik jaringan fahaman itu.

Ekoran pandangan itu, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya mencabar Dr. Muhammad Uthman untuk tampil berdialog secara ilmiah dalam tempoh terdekat, terutama dalam Ramadan untuk menjernihkan kekeruhan yang ditimbulkan hasil pandangannya itu.

Menurut Jamil, secara umumnya keganasan pada waktu ini bukan atas nama kumpulan atau negara tetapi ia kadang-kadang datang daripada individu-individu tertentu.

"Seperti Osama Laden (yang berasal dari Arab Saudi), kita tidak boleh kaitkan dia dengan Arab Saudi sebab dia bergerak sendiri dan tidak melibatkan negara tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment