Saturday, July 30, 2011

Ramai tidak ikut arahan do pakai topi 'KURA-KURA'

JKJR: Ramai tidak ikut arahan

KOTA KUALA MUDA – Walaupun topi keledar ‘kura-kura’ sudah tidak dibenarkan penggunaannya, namun Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dapat mengenal pasti masih ramai penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak mengikuti arahan berkenaan.

Pengarah JKJR Negeri Kedah, M Surentharan berkata, melalui Kempen Advokasi Penguatkuasaan bersama agensi polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom, Badan Persatuan AAM serta rakan keselamatan jalan raya yang dijalankan di Jambatan Merdeka mendapati masih ramai yang tidak mengikut arahan itu.

Menurutnya, kerajaan sudah memberi arahan supaya penggunaan topi keledar jenis itu sudah tidak lagi selamat digunakan tetapi arahan berkenaan tidak diambil serius orang ramai.

“Kalau kita lihat, masih ramai pengguna jalan raya yang masih tidak ambil berat dengan arahan itu malah mereka terus memakainya seolah-olah tiada kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Menurutnya, dalam kempen sama polis dan JPJ turut melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dan ada saman dikeluarkan kepada mereka yang didapati bersalah.

Selain itu, katanya, daerah Kuala Muda mencatatkan kematian paling tinggi dalam kemalangan berbanding daerah lain di negeri ini menjadi faktor kempen itu difokuskan dalam daerah ini.

“Kita juga sempat mengedarkan risalah dan pelekat cahaya keselamatan selain 100 helmet kepada orang dewasa serta 20 kepada kanak-kanak.

“Selain itu, seramai 200 pengguna jalan raya turut diberikan baju keselamatan jalan raya secara percuma selain nasihat dan amaran disampaikan supaya keselamatan semasa memandu terjamin,” katanya.

Surentharan berkata, misi yang dijalankan pada kali ini dianggap berjaya kerana menerima respons yang baik daripada pengguna terutama apabila pegawai bertugas membantu memakaikan tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang selain penerangan dan taklimat diberikan untuk tujuan itu.

“Kita akan terus laksanakan kempen sama pada masa akan datang namun di negeri lain sama ada di Perak, Pulau Pinang, Perlis kerana pelaksanaan ini merangkumi empat negeri terlibat termasuk Kedah,” katanya.

No comments:

Post a Comment