Wednesday, July 27, 2011

'Isu rumah rakyat bukti kegagalan manifesto'

ALOR SETAR - Kegagalan Kerajaan Negeri menyiapkan beberapa projek perumahan rakyat di Kedah membuktikan jawapan buku pencapaian manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang dikeluarkan baru-baru ini retorik politik semata-mata.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya mengambil contoh satu projek pembinaan 100 perumahan rakyat di Yan yang didapati masih tidak dibangunkan walaupun kerja meratakan tanah telah dibuat sejak dua tahun lalu dan kegagalan projek itu membuktikan jawapan Kerajaan Negeri mencapai lebih 80 peratus daripada janji manifestonya amat meragukan.

Beliau juga menyuarakan kekecewaan terhadap Kerajaan Negeri kerana tidak membincangkan soalan lisan berhubung isu perumahan rakyat di dalam sidang DUN sebelum ini walaupun isu tersebut penting demi pembangunan rakyat Kedah terutamanya penduduk setinggan yang tertunggu-tunggu sampai bila ‘perumahan rakyat’ dapat disiapkan.

“Dalam bajet tahunan Kerajaan Negeri yang dibentangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini, ada dinyatakan perumahan rakyat akan dibangunkan di Yan, Kampung Berjaya dan juga Jitra dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini rakyat masih tidak nampak sebarang pembangunan projek perumahan rakyat sebagaimana yang diuar-uarkan dan saya yakin rakyat akan menghukum rentetan kegagalan Kerajaan Negeri ini pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahdzir berkata, UMNO Kedah akan mengeluarkan buku jawapan balas pencapaian manifesto Kerajaan Negeri dalam masa terdekat selain mendedahkan lebih banyak janji Kerajaan Negeri yang tidak terlaksana bagi menyedarkan mengenai keadaan sebenar politik semasa di Kedah.

“Kita akan mendedahkan segala kegagalan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa dan ianya tidak akan berhenti sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13,” katanya.

1 comment:

  1. sudah-sudahlahhhh... masa ko perintah dulu ada ko buat kebajikan rakyat ker kalau tak da telan komisen... sekarang ko nak berkokok plak... apa punya bangnag lah melayu macam ko ni...

    ReplyDelete