SINGAPURA - Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mahu benteng pertahanan tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan mudah sehingga dibolosi lima gol malam kelmarin.
Meskipun tewas 3-5 kepada Singapura pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, di sini malam kelmarin, Rajagobal tetap yakin Malaysia akan mara ke pusingan ketiga.
"Kita beri Singapura gol-gol mudah hasil kesilapan sendiri. Kita tak boleh buat begini lagi pada aksi kedua nanti. Kita perlu bangkit untuk menang sekurang-kurangnya dua gol.
"Tapi kita perlu sentiasa positif. Dalam tiga atau empat hari ini, saya akan fikir sesuatu untuk aksi kedua nanti dan tetap yakin kita akan layak," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan malam kelmarin.
Kelonggaran benteng pertahanan gandingan Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli dan Asraruddin Putra Omar menyebabkan gawang Sharbinee Allawee Ramli bolos empat kali pada babak pertama dan satu lagi pada babak kedua.
Khidmat Aidil Zafuan Radzak yang diketepikan akibat kecederaan buku lali pasti ditagih pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini sambil 'tangan emas' Khairul Fahmi Che Mat mungkin kembali menjadi harapan.
Namun Rajagobal perlu mencari pengganti sesuai apabila kapten, Safiq Rahim tidak dapat beraksi akibat kad merah diterimanya pada minit ke-49 selepas melakukan terjahan keras terhadap Harris Harun.
"Safiq seorang pemain tengah yang cukup berpengaruh. Ketiadaannya memaksa saya mencari pengganti sesuai. Saya perlu positif, yakin dan percaya dengan pemain lain yang ada," ujar Rajagobal.
Berkemungkinan Ismail Faruqi Ashari yang diletakkan sebagai penyerang kedua di belakang Safee Sali akan mengisi tempat Safiq untuk bergandingan dengan Amar Rohidan di bahagian tengah.
Atau Rajagobal mungkin meletakkan Baddrol Bakhtiar memandangkan dua lagi pemain yang ada, Shakir Shaari dan K. Gurusamy lebih berperanan sebagai pemain tengah bertahan seperti Amar.
"Saya tagih kehadiran 90,000 penyokong Malaysia kerana ia bakal memberi motivasi dan semangat kepada pemain kita di Bukit Jalil nanti. Kita kena yakin bahawa kita mampu menang di laman sendiri," tegas Rajagobal.
No comments:
Post a Comment