Saturday, July 30, 2011

Penyakit tiga serangkai dilapor terus meningkat

ALOR SETAR-Jumlah bilangan pesakit yang mengidapi penyakit tiga serangkai dilaporkan terus meningkat tanpa mengira usia dipercayai berpunca daripada faktor pemakanan serta kurang mengamalkan senaman.

Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, penyakit tiga serangkai berkenaan adalah kencing manis, darah tinggi serta jantung yang mudah menyerang individu tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk tampil menganjurkan lebih banyak program kesedaran bagi meningkatkan kesihatan di kalangan orang ramai.

“Sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan setiap individu perlu memastikan mereka mengambil bekalan air secukupnya dan memastikan kandungan gula dalam darah memenuhi keperluan.

“Tabiat seperti malas bangun sahur perlu dielakkan kerana keesokan harinya mereka akan terasa cepat letih apabila melakukan aktiviti seharian,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jom Sihat di Menara Alor Setar, semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan pengarah urusan Menara Alor Setar, Hariyati Tahir.

Menurutnya, dari segi kesihatan makanan akan dihadam dalam tempoh empat jam manakala segala nutrian makanan akan keluar secara sedikit demi sedikit dan makanan sewaktu berbuka tidak mencukupi untuk memastikan kesegaran badan pada keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment