Wednesday, July 27, 2011

Tiada satu pun kerajaan di dunia yang cekap

SHAH ALAM - “Tiada satu pun kerajaan dalam dunia ini yang cekap,” kata Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin ketika ditanya mengenai kemungkinan ketidakcekapan jabatan kerajaan menjadi punca utama sistem pilihan raya negara ini dianggap tidak telus.

Menurut Shamsul, setiap kerajaan mempunyai masalah tersendiri tetapi apa yang perlu difokuskan adalah tahap dan jenis ketidakcekapan yang berlaku.

“Memang terlalu sukar untuk menghapuskan sama sekali ketidakcekapan dalam mana-mana badan kerajaan tetapi apa yang lebih penting adalah kita memantau tahap ketidakcekapan itu. “Pada pandangan saya, inilah yang dilakukan oleh gabungan Bersih 2.0 iaitu cuba memantau tahap kecekapan sistem yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan proses pilihan raya,” katanya.

Isu tahap kecekapan suruhanjaya itu disentuh pada sesi Wacana Sinar Harian siri kelima di sini semalam apabila panel jemputan membincangkan mengenai ketepatan daftar pemilih yang bergantung kepada interaksi beberapa jabatan kerajaan sebelum dapat dikemaskini oleh SPR.

No comments:

Post a Comment