Sunday, July 24, 2011

NAJIB nak mai Guar Chempedak nak buat kenduri kahwin anak dia kot?

Najib Sertai Kenduri Rakyat Di Kedah Khamis Ini

ALOR SETAR, 24 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan makan tengah hari dengan duduk bersila bersama-sama rakyat Kedah, adalah antara program yang disusun sempena lawatan beliau ke negeri ini Khamis ini.

Acara makan tengah hari masakan kampung dalam Program Kenduri dijadual berlangsung di Padang Awam Guar Chempedak, yang dijangka dihadiri 10,000 orang.

Menurut pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah lawatan rasmi sehari Perdana Menteri itu bermula dengan lawatan ke Masjid Taman Wira, Mergong pada sebelah pagi.

Masjid tersebut mendapat peruntukan kerajaan pusat untuk pembesarannya sebanyak RM1.2 juta.

Najib kemudian akan bertemu orang ramai di tapak Pasar Tani Taman Wira, berdekatan masjid tersebut dan bersarapan bersama mereka di gerai di pasar tani berkenaan, kata Ahmad Bashah.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pula mengadakan pasar tani mega di Taman Wira, selama tiga hari berturut-turut mulai Rabu ini sempena sambutan ketibaan Ramadan, katanya dalam kenyataan media di sini.

Beliau berkata Perdana Menteri akan menghadiri majlis bersama masyarakat Cina di Sekolah Menengah Keat Hwa, Jalan Kuala Kedah serta sambutan 100 tahun penubuhan sekolah tersebut dan selepas itu menghadiri kenduri rakyat di Padang Awam Guar Chempedak.

"Semua hadirin akan duduk secara bersila bersama Perdana Menteri pada majlis jamuan ini. Pada majlis ini juga upacara menaikkan kain rentang gergasi Barisan Nasional (BN) akan dilakukan," kata Ahmad Bashah.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dijadual menghadiri perjumpaan dengan 10,000 belia di Stadium Mini Pendang dan diikuti pertemuan dengan rakan facebook beliau di Hotel Holiday Villa, Alor Setar.

Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, Najib akan menyertai jamuan makan malam bersama-sama 3,000 orang di Dewan Wawasan Jitra yang terbuka kepada orang ramai, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment