Sunday, July 24, 2011

Datuk Seri Azizan - Bincang dengan Datuk Bandar

Bincang dengan Datuk Bandar

ALOR SETAR - Persatuan Penyewa-penyewa Gerai Stadium Darul Aman disaran mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berhubung ketidakpuasan hati terhadap penutupan jalan berdekatan Stadium Darul Aman, pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kemungkinan persatuan terbabit boleh berbincang mengenai implikasi positif mahupun negatif membabitkan penutupan jalan utama sekitar stadium bagi penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, tahun depan.

“Mereka perlu bincang secara semuka dengan Datuk Bandar, sama ada menyarankan lokasi diubah atau tidak perlu tutup kesemua laluan yang menghubungkan jalan ke stadium. Kejohanan Cub Prix pun sudah berakhir semalam, dan kita tidak boleh sesuka hati ubah laluan di saat akhir, kelak menyusahkan banyak pihak, terutama penganjur,” katanya.

Walaupun prihatin dengan kesulitan dialami peniaga sekitar stadium itu, namun pihaknya perlu mengadakan perbincangan dengan banyak pihak, dan berharap pada penganjuran akan datang, masalah ini tidak timbul lagi.

“Ini tahun ketiga penganjuran sukan ini diadakan di tempat yang sama. Sejak dua tahun lalu, tiada pula bantahan dibuat. Saya harap pihak berkenaan dapat bincang secara elok terutama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Pada 18 Julai lalu, Persatuan Penyewa-penyewa Gerai Stadium Darul Aman mengadakan perhimpunan aman membantah penganjuran Kejuaraan CubPrix Malaysia AAM Petronas di kawasan Stadium Darul Aman kerana mendakwa menjejaskan pendapatan mereka ekoran penutupan jalan pada 22 dan 23 Julai lalu.

Pengerusinya, Jafree Don berkata, pendapatan 123 peniaga terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1 juta kerana tidak dapat beroperasi selama seminggu.

Sebelum itu, pihaknya menyerahkan surat bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Datuk Bandar Alor Setar termasuk Perbadanan Stadium-stadium Negeri Kedah, meminta agar lokasi penganjuran program dipindahkan ke Suka Menanti atau lokasi lain yang lebih sesuai.

1 comment:

  1. LHDN - jangan lupa pasang meja disini.Purata pendapatan harian bersih depa RM1200.00.
    LHDN KL dah pasangkah meja di Masjid India,peniaga sana rugi akibat BERSIH 2.0 hampir RM100 juta.

    ReplyDelete